Wawancara

10 Minit: Pakatan prihatin Pulau Pinang

Rosidi Husain, 41, merupakan seorang peguam terlatih, punya firma guaman yang sudah berkembang menjadi empat cawangan di serata Pulau Pinang dan Kedah. Beliau juga merupakan penyelaras KADUN Penaga dan Ahli Majlis Syura Majlis Agama Islam Pulau Pinang, masuk penggal kedua tahun ketiga, selain punya tugas-tugas di pejabat EXCO Hal Ehwal Agama Islam. Rosidi juga adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Kepala Batas merangkap Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Pulau Pinang. Penyalaras Roketkini Mazir Ibrahim menemu bual beliau tentang hal-ehwal semasa di Pulau Pinang.

Berkenaan dengan kemajuan Islam di Pulau Pinang, bagaimana setakat ini ?

Terdapat perbezaan yang amat ketara di antara zaman pemerintahan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Paling jelas dapat dilihat pada peruntukan kewangan Kerajaan Negeri untuk agama Islam yang meningkat dari tahun ke tahun. Di waktu pemerintahan BN, peruntukan untuk agama Islam hanyalah RM 12 juta. Sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambil alih, Ketua Menteri Lim Guan Eng menaikkan peruntukan itu dua kali ganda pada tahun pertama, sehingga mencecah RM 33.3 juta pada tahun seterusnya, sehingga jumlah peruntukan tersebut kini bernilai RM 64 juta.

Peningkatan ini amat meyakinkan umat Islam yang melihat Pakatan Rakyat lebih baik dalam mengangkat martabat agama. Itu ditambah dengan bantuan untuk pendidikan Islam di Sekolah Agama Rakyat dan juga saguhati untuk makmal sains yang baru-baru ini diberikan oleh Ketua Menteri. Jadi kita lihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif buat semua pihak. Gembar-gembur yang mengatakan DAP meminggirkan Islam dan orang Melayu itu semua hanyalah propaganda.

Bagaimana prestasi Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri?

Beliau ada kekuatan tersendiri, walau pun asyik dilanyak oleh UMNO dan Barisan Nasional. Lagi kuat dia kena, lagi kuat dia buat kerja. Itu yang selalu disebut oleh CM (Chief Minister/Ketua Menteri). Baru-baru ini beliau ke Penaga, hulur bantuan untuk masyarakat Cina di sana dan kepada masyarkat Melayu serta India juga. Rakyat khususnya orang Melayu memang gembira atas usaha Guan Eng dan Pakatan Rakyat.

Kita anggarkan sudah 92% sokongan bukan Melayu tegar untuk Pakatan Rakyat. Malah di Penaga, ketua MCA dan Gerakan pun datang mendengar ucapan wakil PAS dalam acara tersebut. UMNO Kepala Batas paling kuat di Penaga, tapi kita yakin sokongan terhadap kita semakin meningkat. Ini buatkan kita lebih kerja kuat lagi.

CM juga telah melancarkan upacara pecah tanah untuk pembinaan gelanggang futsal di DUN Penaga, setelah berpuluh tahun UMNO perintah, tak ada satu pun gelanggang futsal pernah dibina. Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Dato Azhar dulu jadi Exco apa segala, gelanggang futsal pun tak ada.

Pembangunan infrastruktur di Penaga memperlihatkan bahawa CM tidak menganaktirikan kawasan-kawasan Seberang Perai Utara, walau pun Penaga tu kawasan paling kuat UMNO di Pulau Pinang.

Bagaimana dengan persiapan Pakatan dan PAS untuk pilihan raya umum nanti?

PAS sedang siap melatih PACA (polling agent, counting agent – ejen undi, ejen kira undi), itu benteng terakhir kita dalam mendepani penipuan yang bakal terjadi dalam pilihanraya. Ini kita dah bersedia sepenuhnya, malah kita terus mentarbiah pekerja dan penyokong kita agar bekerja bersungguh-sungguh supaya kita tidak cuai dan mudah dibeli oleh UMNO.

Di samping itu kita sedang menjalankan program ziarah, ini sedang giat kita jalankan. Dalam seminggu kita usahakan supaya dapat menziarahi antara 30 hingga ke 50 buah rumah, setakat di Kepala Batas ini lah. Di kawasan Kepala Batas dan Tasek Gelugor ini media baru tak beri kesan sangat.

Penduduk lebih terdedah dengan maklumat secara terus. Kita mesti turun dan bercakap dengan pengundi. Jadi kita anjur ceramah kelompok untuk bertemu pengundi dan memberi penerangan sejelas-jelasnya tentang isu-isu semasa dan polisi Pakatan Rakyat yang terdapat  dalam Buku Jingga.

Sambil-sambil itu kita buat juga program hi-tea untuk bertemu dengan pengundi dalam skala yang lebih besar. Semua ini kita mahu pastikan bahawa baik penyokong tegar kita atau yang atas pagar terus bersama kita. Kita tidak boleh harap sangat dengan media baru untuk pengundi seperti ini, mereka lebih yakin apabila kita datang dan bertemu dengan mereka.

Betulkah DAP anti-Melayu, anti-Islam?

Di DUN Penaga sendiri saya lihat bahawa apa yang pengundi peduli ialah apabila pemimpin bagi peruntukan dan turun padang. Isu DAP anti Melayu atau Islam hanyalah propaganda Barisan Nasional, pengundi sekarang lebih rasional dan bijak. Tak mudah nak cucuk mereka dengan isu yang tak masuk akal.

Mereka sekarang boleh bezakan antara retorik politik dengan kerja dan usaha bersungguh-sungguh ahli politik. Jadi tentang tu kita tak bimbang, yang kita risau penipuan pilihanraya. Kita harap, kempen pilihan raya kali ini lebih sihat. Malah, apa yang paling kita usahakan sekarang ini ialah dengan menjalankan tanggungjawab kepada pengundi yang telah beri mandat pada kita.

Kalau nak ambil contoh, kita boleh tengok kepimpinan DAP Pulau Pinang sendiri telah buat semua ini dan beramah mesra dengan pengundi Melayu Islam. Macam-macam program, kini dah mula nampakkan hasil. Jadi tak timbul isu anti Melayu atau Islam. Macam yang CM selalu sebut, ‘Kita bukan anti Melayu, Islam. Kita cuma anti BN’. – Roketkini.com