Berita

Tarif elektrik: kera di hutan disusukan

KUALA LUMPUR, 31 MEI – Kenaikan tarif elektrik tanpa menyemak rundingan berat sebelah dengan syarikat penjana kuasa bebas (IPP) adalah seperti “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” kata Setiausaha Publisiti DAP Toy Pua.

Beliau berkata tindakan kerajaan menaikkan kadar tanpa penstrukturan semula perjanjian pembelian kuasa (PPA) akan membebankan sektor perindustrian dan komersil.

Menurutnya, pengguna besar akan menghadapi kenaikan sehingga 8.4 peratus harga elektrik yang bukan sahaja meningkatkan inflasi tetapi bakal berhadapan dengan “letupan besar” kepada industri eksport yang sudah terbeban dengan ringgit yang kuat.

“Masalahnya, kerajaan memilih untuk menghukum pengguna dan pemilik industri tanpa menghiraukan keuntungan yang dikecapi IPP.

“Ini menunjukkan pentadbiran Najib tidak ada kemampuan untuk mengurus dan menjana ekonomi negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Pua berkata, walau pun harga gas asli di Thailand adalah dua kali ganda tinggi berbanding Malaysia, tarif elektrik komersil di negara jiran itu hanya 0.4 peratus lebih tinggi dari RM37.85 kw/j di Malaysia.

“PPA yang tidak adil mengakibatkan peningkatan yang terlalu tinggi margin rizab tenaga elektrik,” katanya.

Pua menambah bahawa 52.6 peratus margin rizab Malaysia dalam 2010 merupakan dua kali ganda daripada Thailand (25.4 peratus) dan Pulau Jawa, Indonesia (26 peratus).

“Kesannya, TNB terpaksa membeli kuasa elektrik yang mana ia tidak perlukan daripada IPP. Ini mengakibatkan kos-kos TNB melambung dan dalam masa sama meningkatkan keuntungan untuk IPP.”

Oleh itu, katanya, kerajaan didesak mendedahkan segala maklumat berhubung perjanjian dengan IPP supaya kontrak yang berat sebelah itu tidak akan membawa malapetaka ekonomi terhadap rakyat.

Pua turut mengulas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mempertahankan PPA oleh IPP bahawa perjanjian-perjanjian itu ‘suci’ dan kerajaan tidak boleh menstruktur semula perjanjian-perjanjian tersebut.

“Saya cabar Dr Chua supaya membuktikan dakwaannya bahawa kerajaan akan lemah tak bermaya setelah menandatangani perjanjian itu, dengan mendesak perjanjian itu tidak dirahsiakan dari pengetahuan rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Research for Social Advancement (REFSA) Teh Chi Chang juga berpendapat bahawa penyelesaian kepada isu ini ialah dengan tidak merahsiakan PPA supaya dapat diterangkan kepada orang ramai.

“Keterbukaan ini akan membuatkan rakyat memberi perhatian untuk memberi buah fikiran dan analisis, serta menyumbangkan kepakaran untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Oleh itu REFSA menyeru kerajaan untuk tidak merahsiakan perjanjian pembelian kuasa kerana rakyat Malaysia akan mendapat maklumat tepat dan memudahkan lagi akal untuk perdebatan yang membina.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Tenaga, Tenaga Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus bermula esok sebagai usaha mengurangkan subsidi yang ditanggung kerajaan. – Roketkini.com