Berita

Ahli Melayu terus sokong DAP, sanggah putar belit media

PUCHONG, 6 JUN – Laporan akhbar Sinar Harian dan Utusan Malaysia yang mendakwa kononnya 64 ahli Melayu DAP keluar parti untuk menyertai UMNO adalah tidak benar sama sekali.

“Bagaimana boleh mereka kata 64 ahli keluar parti sedangkan ahli-ahli DAP yang ada di Lembah Kinrara hanya 60 orang sahaja,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara Teresa Kok.

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaaan DAP kesal dan hairan dengan mainan media yang melaporkan fakta salah.
“Kita akan menemui kesemua 60 ahli DAP di kawasan ini untuk mengetahui sama ada mereka benar-benar mahu keluar parti atau masih kekal dengan DAP,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi DAP Cawangan Lembah Kinrara Azhar Shapawi berkata hanya beberapa ahli sahaja yang mengikut bekas pengerusi cawangan Harun Abdul Wahab yang menyertai UMNO.

“Saya terkejut apabila nama saya dikaitkan sedangkan kami langsung tidak dimaklumkan tentang penyertaan kami ke dalam UMNO dan perkara ini tidak pernah dibincangkan sama sekali,” katanya.

Pada 31 Mei lalu akhbar Sinar Harian dan Utusan Malaysia melaporkan seramai 64 ahli DAP keluar menyertai UMNO di mana Harun dipetik sebagai berkata beliau keluar DAP kerana “…apa jenis peruntukan dan projek pun tak pernah dapat. Dengan rela hati saya keluar DAP dan berjuang demi kepentingan orang Melayu.”

Azhar yang baru dilantik memegang jawatan itu, kesal dengan kenyataan Harun yang mengutuk Teresa Kok yang didakwanya tidak pernah melawat kawasan sedangkan Exco Kanan Kerajaan Selangor itu kerap mengadakan program bersama penduduk kampung Lembah Kinrara.

Jelas beliau lagi, pelbagai program telah dianjurkan oleh Teresa untuk penduduk di sini antaranya Bantuan Skim Mikrokredit untuk peniaga kecil yang mana Harun sendiri turut mendapat bantuan tersebut.

Selain itu, Teresa juga menganjurkan program untuk penduduk Kg Lembah Kinrara termasuk:
1. Majlis berbuka puasa di Kg Lembah Kinrara
2. Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan sumbangan kepada warga emas dan orang-orang miskin
3. Sumbangan buku latihan sekolah (600 naskah buku) sempena program ‘Back to School’
4. Seminar keusahawanan untuk orang Melayu dari Kg Lembah Kinrara dan Puchong di Bukit Jalil Golf Club
5. Tuisyen percuma kepada pelajar SPM di Lembah Kinrara
6. Sumbangan kepada ibu-ibu tunggal sempena Hari Ibu.

Azhar tetap akan memperkuatkan lagi DAP dengan mempelawa seramai mungkin Melayu menyertai parti dalam masa terdekat ini.

“Kami ahli Melayu DAP sangat berterima kasih kepada segala bantuan dan keprihatinan Teresa Kok dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh selama ini,” katanya.

Beliau yang mewakili ahli DAP di sini berkeras dengan pendirian menolak politik kotor UMNO yang suka mempermainkan isu kaum dan agama sehingga merosakkan masyarakat di negara ini.

Azhar turut menyampaikan borang keahlian baru kepada Teresa membuktikan lagi kepercayaan penduduk dengan perjuangan DAP selama ini.

“Kami sokong perjuangan DAP yang menjaga kepentingan semua kaum dan kami akan terus bersama dengan DAP,” katanya. – Roketkini.com