Rencana

Tiga pengedar video lucah didenda RM5,500 sahaja

Komentar Roketkini

24 JUN – Tiga lelaki termasuk seorang tokoh UMNO Tan Sri Rahim Thamby Chik didenda sejumlah RM5,500 oleh mahkamah majistret Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan mengedar video lucah.

Mereka mengaku bersalah menayangkan video aksi seks yang mana dalam klip itu seorang pelakonnya dikatakan mirip wajah Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada sekumpulan wartawan kira-kira tiga bulan lalu.

Ketiga-tiga mereka adalah Rahim yang juga Pengerusi Risda serta bekas Ketua Menteri Melaka; ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim yang juga bekas ketua bahagian UMNO Sungai Petani.

Rahim didenda RM1,000 kerana bersubahat dengan Eskay yang didenda RM3,000 dan Shuib RM1,500 atas tuduhan Seksyen 292(a) Kanun Kesiksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang menyatakan mereka dengan niat bersama telah menayang video lucah di tempat terbuka tentang hubungan seks seorang lelaki dan perempuan di antara 10.30 pagi dan 12.30 tengahari pada 21 Mac lalu.

Pada Januari 2008, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara di antara empat dan lima hari serta denda sejumlah RM25,000 terhadap tiga orang yang mengaku bersalah mengedar video aksi seks bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang kini menjadi Presiden MCA.

Chua yang sebelum itu telah meletak semua jawatannya telah mengaku memang beliau adalah lelaki yang dirakamkan mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita dalam video yang disebarkan luas itu.

Baru-baru ini pula, pada 10 Jun lalu, mahkamah sesyen di Melaka menjatuhkan hukuman maksimum tiga tahun mengikut seksyen yang sama – Seksyen Seksyen 292(a) Kanun Kesiksaan – terhadap seorang pemandu bas mengaku bersalah menayangkan video  lucah kepada seorang penumpang wanita.

Dalam rayuannya, tertuduh telah meminta hukuman diringankan atas alasan beliau mempunyai empat anak dalam tanggungannya.

Bagaimanapun, mahkamah menolaknya kerana menganggap kesalahan menayangkan video lucah itu adalah serius di samping menyoal tertuduh tentang perasaannya jika perbuatan itu dilakukan terhadap keluarganya.

Hampir tujuh tahun lalu, pada Disember 2004, seorang bekas pramugara dijatuhkan hukuman penjara 18 oleh mahkamah kerana didapati bersalah membuat dan mengedar video lucah aksi seks yang dilakonnya bersama seorang wanita.

Beliau dihukum mengikut akta yang sama, iaitu Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku hampir sama cara pengedaran dan penayangannya. Tuduhan di mahkamah pula dibuat dengan menggunakan peruntukan undang-undang yang sama.

Namun, hukuman yang dikenakan berbeza-beza. Antara dua darjat?

Wajah-wajah pengedar video lucah yang didapati bersalah hari ini juga tersenyum riang dan ketawa besar. Mungkin ada tersirat di sebalik di kegirangan itu? – Roketkini.com