Berita

Bebaskan rakyat yang memakai t-shirt kuning (dan merah)!

KUALA LUMPUR, 27 JUN – DAP mendesak kerajaan membebaskan 30 ahli Parti Sosialis Malaysia termasuk Ahli Parlimennya Dr Michael Jeyakumar yang ditahan di Pulau Pinang pada Sabtu lalu atas tuduhan mahu melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata mereka yang ditahan perlu dibebaskan serta-merta berikutan tuduhan karut pihak polis yang mendakwa ahli-ahli PSM itu mahu menghidupkan komunisme.

Dalam laporan media, ahli-ahli PSM berkenaan dikatakan menaiki bas yang dalam perjalanank menghadiri satu majlis di Pulau Pinang yang berkaitan dengan perhimpunan aman Bersih 2.0.

Laporan media juga memetik pihak polis sebagai menyatakan mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan; peruntukan undang-undang yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan kerajaan semasa dijamin mendapat taat setia dan patrotisme saya serta DAP dalam apa-apa bentuk perang menentang Seri Paduka.

“Tetapi kami tidak akan membenarkan diri kami dipergunakan untuk mempertahankan dakwaan karut bagi menghalalkan salah guna kuasa dan pelanggaran hak asasi manusia terhadap rakyat Malaysia patriotik untuk menghakang mereka daripada mengamalkan hak kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun,” kata Kit Siang dalam satu majlis di Johor Bahru semalam.

Beliau yang terkejut dengan berita itu berkata ia juga menimbulkan kemarahan besar rakyat yang kini mempersoalkan bagaimana negara sudah merudum ke tahap yang amat memalukan itu.

“Saya menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memastikan kerajaan beliau bertindak waras walau pun menghadapi perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini yang mahu kepada pilihan raya bebas, adil dan bersih – bahawa perhimpunan aman itu tidak boleh disamakan secara tidak munasabah dengan ‘perang terhadap Agong’,” tambahnya.

Sebelum ini, pada tahun 2000, kumpulan Al-Ma’unah telah didakwa mengikut seksyen Kanun Keseksaan yang sama, setelah mereka didapati, antara lain, merampas senjata di kem askar di Gerik, Perak, melakukan pertempuran bersenjata dengan anggota keselamatan dan melakukan penderaan serta pembunuhan terhadap orang-orang tawanan termasuk polis.

Polis juga merampas senapang, peluru, parang, alat perhubungan radio serta uniform tentera yang digunakan oleh kumpulan Al-Ma’unah.

Dalam tangkapan terhadap ahli-ahli PSM pada Sabtu lalu, polis telah merampas beberapa sepanduk, risalah dan t-shirt yang turut memaparkan imej Che Guevara sebagai bahan bukti.

Setiausaha Agung PSM S. Arutchelvan menjelaskan bahawa PSM sebagai parti berdaftar yang menjalankan aktiviti secara sah berhak untuk mengiktiraf sumbangan parti-parti kiri yang telah menyumbang kepada kemerdekaan negara seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Katanya tindakan polis adalah tidak berasas dan tidak masuk akal kerana cuba mengaitkan PSM dengan komunis semata-mata terjumpanya beberapa t-shirt dan bahan-bahan bacaan yang mempunyai imej idola sosialis dan komunis.

“Untuk makluman polis, ini adalah skrip zaman Perang Dingin di mana hari ini semua bahan ini boleh didapati di pasaran dan dijual secara umum tanpa sebarang sekatan. Selain itu, kerajaan Malaysia juga mempunyai hubungan politik dengan Parti Komunis Cina, Vietnam, Cuba dan lain-lain,” katanya.

Semalam di Ampang, Selangor, polis menahan lapan lelaki di depan masjid Taman Kosas kerana memakai t-shirt kuning yang bertulis “Bersih 2.0”. Lima ahli PKR yang memakai t-shirt yang sama juga ditahan polis sewaktu bersiar-siar di pusat membeli belah Klang Parade petang semalam.

Sebelum itu, timbalan ketua pemuda PKR Khairul Anuar Zainuddin ditahan pada Sabtu lalu, juga kerana memakai t-shirt berkenaan. – Roketkini.com