Rencana

Anugerah Ibrahim Ali atau anugerah untuk Ibrahim Ali? – oleh Muhammad Zir

19 JULAI – Jika ada pengiktirafan untuk mahasiswa yang dinamakan Anugerah Pak Sako, Anugerah Usman Awang atau Anugerah Pendita Za’aba bagi mana-mana kolej atau universiti di Malaysia, pasti ibu bapa atau diri si penerima itu akan merasa bangga, kembang berbunga dan mekar mewangi.

Kerana apa? Kerana ikon-ikon itu sememangnya diperakui kehebatan pemikiran, sumbangan idea dan karya mereka yang telah terbukti menjadi suatu tinta mata air ilmu pengetahuah buat anak-anak bangsa.

Begitu juga kisahnya dengan Rural Industrial Development Authority (RIDA) yang ditubuhkan 1950.Ia adalah cetusan idea Dato’ Onn Jaafar untuk membantu meningkatkan taraf hidup orang Melayu.

Menjelang Merdeka, RIDA telah menubuhkan Dewan Latihan RIDA yang menawarkan kursus-kursus perniagaan, perakaunan dan kesetiausahaan. Kemudian, Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama pada 1965 telah mencapai rumusan untuk menukar nama RIDA kepada Majlis Amanah Rakyat atau MARA, dan dengan itu Dewan Latihan RIDA juga bertukar wajah menjadi Maktab MARA.

Pada akhir 1960-an, ia sekali lagi bertukar nama menjadi Institut Teknologi MARA, yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Institut Tolong Melayu’. Sejak tahun 2000, ia telah dinaikkan taraf menjadi Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Hasrat asal penubuhan RIDA tidak lain dan tidak bukan untuk manfaat anak-anak bangsa yang datang dari kaum Bumiputera bagi mendapat latihan secara professional demi membangunkan taraf hidup orang-orang Melayu. Itu hakikat penubuhan dan perjuangannya.

Dato’ Onn sendiri, kita ketahui sebagai seorang nasionalis yang amat mengambil berat tentang tahap pendidikan kaum Melayu zaman itu. Justeru, penubuhan RIDA yang kini dikenali sebagai MARA telah mewujudkan ITM dan UiTM yang merupakan sebahagian dari hasrat murni beliau.

Kini, zaman telah berubah. Niat asal untuk membantu meningkatkan taraf hidup Melayu dan Bumiputera telah bertukar menjadi institusi untuk satu kaum sahaja tanpa mengira paras kemiskinan, kemampuan dan keperluan.

Walau pun UiTM dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui hasil sumber negara dan wang cukai rakyat pelbagai kaum, institusi untuk membantu pelajar Bumiputera dari keluarga berpendapatan rendah telah menjadi medan untuk kumpulan-kumpulan ultra kaum menyebarkan dakyah mereka.

Dengan itu, datang cadangan untuk memberi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar yang “memperjuangkan bangsa”.

Pemberian anugerah pada zaman ini, rata-ratanya sekadar untuk syok sendiri. Dengan kata lain, untuk memuaskan nafsu dan publisiti politik. Tidak ada kewajaran dalam hujah ilmiah.

Namun tidak mengapa, kerana itu adalah hak mutlak universiti terbabit, sama ada anugerah murahan seperti itu akan menjatuhkan imej institusi terlibat, ia terpulang kepada mereka yang bertanggungjawab meluluskannya.

Mungkin dari satu sudut, Anugerah Ibrahim Ali ini sudah kena pada masa dan tempatnya kerana pemimpin Perkasa itu sememangnya seorang tokoh besar dalam politik Malaysia pada masa kini. Beliau antara ahli politik paling banyak melompat parti dan paling kerap mengubah prinsip perjuangan.

Penerima anugerah itu pasti bangga dikaitkan dengan Ibrahim Ali yang mampu membuktikan kepada masyarakat Melayu bahawa politik melompat ke sana dan ke mari mengikut selera peribadi serta menyemai rasa benci dengan kaum-kaum lain adalah sesuatu yang hebat dan patut menjadi teladan.

Sepatutnya UiTM sudah lama mewujudkan anugerah seprestij ini; mungkin perlu diperkenalkan sewaktu Ibrahim Ali meninggalkan UMNO untuk menyertai Semangat 46, atau selepas meninggalkan Semangat 46 untuk kembali bersama UMNO, atau meninggalkan UMNO sekali lagi untuk menziarahi dan mengisytiharkan sokongan kepada Anwar Ibrahim selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan dari penjara.

Atau mungkin, selepas Ibrahim Ali menang pilihan raya umum 2008 atas tiket PAS, dan kemudian mengecam dan mengutuk PAS yang kini bersama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Begitu hebat sekali anugerah ini sehingga dapat kita samakan dengan Hadiah Nobel versi Ketuanan Melayu.

Dan jangan kita lupa bahawa UiTM sememangnya sebuah institusi pengajian tinggi yang paling tepat untuk mengadakan anugerah sebegini. Secara tidak langsung, dengan adanya anugerah ini, Universiti Malaya atau Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya akan semakin jauh ketinggalan dalam arus popular pemberian anugerah.

Mungkin dengan adanya Anugerah Ibrahim Ali ini, rating UiTM akan naik mendadak di kalangan universiti-universiti terkemuka di dunia.

Mahasiswa yang menerima anugerah ini pasti menggegarkan dunia dengan semangat anti-demokrasi, anti-kebebasan, anti-meritokrasi, anti-pilihan raya bebas, adil dan bersih, serta menjadi pendukung Ketuanan Melayu.

Dan secara tidak langsung, UiTM yang lahirnya dari RIDA dan MARA akan menjadi penyumbang kepada penghasilan insan-insan yang akan menjadi ahli dan pewaris Perkasa yang suatu masa nanti bakal mencabar UMNO.

Di sinilah terletaknya kebijaksanaan Ibrahim Ali yang memperkudakan institusi seperti UiTM, demi mencapai cita-cita politiknya.

Mungkin pemimpin Perkasa itu sedar bahawa dengan sekadar, jika ada, Piala Ibrahim Ali bagi pertandingan futsal di peringkat daerah, ia adalah terlalu kecil berbanding dengan kebesaran, ketokohan dan ego kepimpinannya.

Jika Dato’ Onn masih hidup, pasti berlinangan air matanya. – Roketkini.com