Berita

Pelbagai pihak sokong larangan guna pembesar suara sebelum azan subuh

GEORGETOWN, 15 OGOS – Larangan menggunakan pembesar suara sebelum azan subuh di Pulau Pinang adalah keputusan penuh Majlis Fatwa Negeri tanpa campur tangan pimpinan kerajaan negeri.

Exco Hal-Ehwal Agama Abdul Malik Kassim menjelaskan kerajaan negeri tidak pernah campur tangan dalam sebarang keputusan Majlis Fatwa Negeri yang dipengerusikan oleh Mufti Sahibul Samahah Datuk Seri Haji Hassan Ahmad dan dianggotai oleh para ulama,  professional agama serta wakil daripada istana.

“Justeru, saya menolak dengan sekeras-kerasnya tohmahan pihak yang mengaitkan pimpinan kerajaan negeri terlibat dengan keputusan Majlis Fatwa tersebut.”

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang  menghormati keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang  bil. 2/2011 yang bersidang  pada 7 April 2011, mengenai  hukum membaca Al-Quran sebelum subuh dengan menggunakan pembesar suara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan bahawa mesyuarat Majlis Fatwa Bilangan 2/2011 yang dipengerusikan oleh Mufti kemudiannya disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Bil.3/2011 pada 6 Jun 2011 yang memutuskan bahawa bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara dari surau dan masjid sebelum waktu subuh adalah dilarang menurut hukum syara’.

“Namun, kerajaan negeri berpendirian pentadbiran masjid dan surau boleh  mempertimbangkan sama ada  mahu meneruskan tradisi dan amalan sedia ada atau sebaliknya, setelah menerima pemberitahuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) tentang keputusan Jawatankuasa Fatwa,” tambah beliau.

Abdul Malik berkata mereka sebagai pentadbir institusi agama sewajarnya menghormati keputusan Majlis Fatwa yang membuat keputusan berdasarkan hukum Islam, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Menurutnya, Majlis Fatwa memutuskan bahawa perbuatan tersebut boleh mengganggu orang lain sama ada yang berada di dalam atau di luar masjid demi maslahah ummah.

“Demi kepentingan politik sempit, pihak-pihak tertentu akan mengambil peluang mengekploitasi keputusan Majlis Fatwa tersebut. Pihak berkenaan pastinya akan menabur fitnah kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang anti-Islam.

“Dalam semangat  Ramadan Al-Mubarak ini, demi kepentingan umat Islam, kerajaan negeri sentiasa membuka pintu rundingan dan mengalu-alukan muzakarah dan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi memartabatkan Islam di negeri bertuah ini.

“Malah, saya mengalu-alukan pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa bermuzakarah  dengan pihak terbabit dalam semangat saudara seagama,” katanya.

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya yang turut menyokong langkah Majlis Fatwa Pulau Pinang dilaporkan berkata bahawa amalan membaca Al-Quran dengan menggunakan pembesar suara pada waktu subuh adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.

“Kami sokong kenyataan itu dan Perlis sudah lama menguatkuasakan larangan itu di masjid dan surau,” katanya.

Sementara itu, agensi berita Bernama melaporkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai berkata pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang itu.

“Kami menghormati keputusan itu kerana ia adalah hasil mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 7 April lepas dan surat pekeliling mengenai larangan sudah dikeluarkan pada 3 Ogos lalu,” katanya di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang turut menyokong langkah Majlis Fatwa Pulau Pinang, menjelaskan bahawa umat Islam hanya dibenarkan melaungkan suara ketika azan untuk mengerjakan solat.

“Oleh itu, saya tidak bersetuju jika masjid menggunakan pembesar suara sehingga menjejaskan orang lain yang sedang tidur atau sakit,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu.

Pakar hadis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula menjelaskan keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang itu tidak harus dianggap sebagai isu politik kerana ia adalah arahan Rasulullah SAW bagi menjaga Islam yang harmoni.

“Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya. Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak,” katanya dalam satu kenyataan. – Roketkini.com