Berita

UMNO kata benci komunis tapi jalin hubungan komunis China

IPOH, 5 SEPT – UMNO bersikap hipkorit apabila mengecam Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kerana kononnya membela komunis dalam kejadian Bukit Kepong 1950 sedangkan UMNO sendiri bersekongkol dengan Parti Komunis China.

Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming berkata putar belit sejarah oleh UMNO membahayakan hubungan harmoni antara kaum di Malaysia kerana cuba menggambarkan fakta melalui fitnah.

Katanya, Mohamad atau Mat Sabu cuma merujuk kepada sejarah negara sebelum Merdeka sedangkan UMNO kini mempunyai hubungan rapat dengan komunis di China melalui perjanjian kerjasama antara parti.

“Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sendiri telah menandatangani perjanjian atau memorandum kerjasama antara Parti Komunis China dan UMNO pada bulan Ogos, tahun 2010.

“Memorandum tersebut ditandatangani di Beijing, China dan pernah mendapat laporan meluas oleh akhbar tempatan.

“Adalah jelas ini terbukti bahawa apabila UMNO mengutuk komunis dan melemparkan segala fitnah terhadap Parti Komunis Malaya serta cuba menodai nama baik Mat Sabu, UMNO secara terbuka telah menjalin hubungan intim dengan bapa komunis kepada PKM iaitu Parti Komunis China,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, Parti Komunis China juga sering diundang menjadi tetamu kehormat khas perhimpunan agung UMNO.

Nga yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata UMNO bersikap seperti meludah ke langit, akhirnya kena pada muka sendiri, iaitu akibat melakukan fitnah.

Beliau berharap rakyat semua kaum tidak mudah termakan fitnah UMNO yang disebarkan secara meluas melalui media kawalan UMNO-BN. – Roketkini.com