Berita

Bukit Kepong: UMNO cakap besar, tapak warisan sejarah terbiar

MUAR, 8 SEPT – Walau pun kecoh dengan sejarah Bukit Kepong, UMNO dan Barisan Nasional tidak serius untuk menjaga tapak warisan sejarah yang menjadi medan pertempuran di antara gerila komunis dan polis Melayu yang berkhidmat dengan British di sini hampir 60 tahun lalu.

Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa yang melawat tapak warisan Balai Polis Bersejarah Bukit Kepong itu berkata ia terlalu usang kerana tidak dijaga dengan baik.

“Sebelum ini terdapat perancangan untuk membaik pulih tapak warisan sejarah ini di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Tetapi, entah mengapa perancangan itu tidak menjadi kenyataan.

“Bangsa yang tidak menghargai sejarah sendiri, ia tidak akan menjadi bangsa yang berjaya,” kataya.

Er yang juga Ketua Pendidikan Politik DAP Johor berkata, beliau yang sedih melihat situasi di tapak telah membangkitkan perkara itu dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Mac lalu.

Bagaimana pun, katanya, Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi Datuk Seri Rais Yatim juga tidak serius dalam memberi jawapan dengan hanya tertawa sewaktu menyatakan bahawa beliau (Rais) tidak menyediakan jawapan untuk soalan lisan Er.

Menurut Er, jawapan bertulis yang diberikan oleh Rais hanya mengatakan bahawa perkara itu bukan di bawah tanggungjawab mereka, sebaliknya merupakan tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri.

“Persoalan saya, adakah Jabatan Warisan Negara terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri?” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa jika benar Bukit Kepong dianggap bersejarah dan penting, ia tidak sepatutnya dikendalikan oleh KDN atau pihak polis kerana ia membebankan tugas polis yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat.

Justeru, Er mengutuk dolak-dalik kerajaan BN sebagai tidak serius mempertahankan khazanah warisan sejarah negara dan sanggup memainkan isu Bukit Kepong sebagai alat politik perkauman.

“Cukuplah bersandiwara. Jangan jadikan nasib balai muzium ini seperti sebiji bola yang boleh ditendang kepada sesiapa sahaja. Tindakan pemuliharaan perlu dilakukan segera.

“Sangat menyedihkan dan malang sekali tatkala kita hebat berbahas di laman maya, di kedai kopi mengenai siapa benar atau siapa salah semasa tragedi Bukit Kepong tetapi monumen dan segala khazanah bersejarah yang tersimpan di Balai Muzium Bukit Kepong tersebut terus terbiar tanpa pembelaan sewajarnya,” katanya.

Tambah Er, di kebanyakan negara luar yang matang demokrasi serta pandai menghargai sejarah, warisan sentiasa dipelihara dan dipulihara agar generasi akan datang dapat melihat, menziarah dan mengkaji sejarah negara.

“Akhirnya, sejarah negara tidak dapat diperkayakan, yang tidak bersalah tidak dapat diperjuangkan dan Malaysia kehilangan satu sumber kekayaan sejarah kebangkitan rakyat menentang penjajah Inggeris,” katanya. – Roketkini.com