Wawancara

Mengenali Tunku Aziz – Bahagian Kedua

Wawancara wartawan Roketkini Amaluddin Zhafir bersama Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim

19 SEPTEMBER – Bagi Tunku Abdul Aziz, kalangan orang Melayu yang tebal semangat perkauman mereka hingga menidakkan hak-hak kaum lain di Malaysia berpunca dari propaganda UMNO.

Secara berterus-terang, beliau berkata, adalah lebih baik jika orang Melayu tidak mengikuti langsung berita-berita TV dan akhbar yang dikawal UMNO.

“Kalau orang Melayu betul-betul tak faham tentang apa-apa isu, lagi baik kalau mereka cuba bertanyakan kepada orang yang lebih berpengetahuan. Ini lebih baik daripada mengikut saja propaganda UMNO.

“Cuba tengok UMNO, apa dia buat? Budak-budak Melayu sekarang masuk kolej, universiti, mereka ini bukan bodoh. Tetapi bila mereka keluar hendak cari kerja, sangat susah,” jelasnya bersungguh.

Jelas Tunku, ini adalah kerana pada suatu masa dahulu, ramai orang Melayu mampu  bersaing dengan kaum dan bangsa lain, sama ada di Malaysia atau di luar negara.

Bahasa Melayu Bahasa Inggeris

“Kerana apa? Kerana kita ada Bahasa Inggeris. Kita sudha pandai Bahasa Melayu tapi kita tambah kehebatan kita dengan Bahasa Inggeris.

“Tetapi bila UMNO dapat kuasa yang bertambah, Bahasa Inggeris sudah direndahkan martabatnya. Jadi budak Melayu kita, kebanyakannya rugi dan masyarakat Melayu secara keseluruhan juga terkena tempias itu,” katanya.

Beliau memberi contoh dirinya sendiri, seorang anak jati dari kampong Kedah yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa, semuanya bermula dengan penguasaan bahasa Inggeris.

“Ya, sehingga saya boleh menyaingi bangsa-bangsa lain di peringkat antarabangsa dan diberi kepercayaan menjadi Penasihat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan.

“Bukan pasal saya orang Melayu, bukan pasal DEB. Kita kena bersaing dengan orang lain bukan dengan negara kita saja, tetapi dengan bangsa-bangsa luar, kerana penguasaan Bahasa Inggeris.

“Bagaimana pun, saya rasa sayanglah kerana budak-budak Melayu kita ini pandai tetapi Bahasa Inggeris sudah tidak diajar secara serius lagi di sekolah,” ujarnya sedikit kecewa.

Persoalannya sekarang, bagi Tunku, adalah untuk bersaing bukan sahaja di peringkat nasional tetapi di arena antrabangsa. Bagi beliau, Bahasa Inggeris harus dijadikan satu daripada bahasa utama dan wajib di setiap sekolah tanpa menidakkan penggunaan Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil, Iban dan Kadazandusun.

“Ini bukan susah nak buat. Saya ada seorang anak, 10 tahun umurnya, dia boleh menguasai Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina.

“Tetapi, masalahnya sekarang, guru-guru pun tak berapa pandai mengajar Bahasa Inggeris. Itu pun bukan salah mereka. Ada yang tak kena dengan sistem pengajaran dan pembelajaran kita,” katanya.

Oleh itu, menurut Tunku, sistem pendidikan harus diubah jika rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memegang tampuk kuasa Kerajaan Pusat. Jika tidak, sistem pendidikan akan semakin parah dan rakyat akan menanggung masalah.

Minat berpolitik

Pada awalnya, walau pun Tunku mempunyai kemahiran dalam bidang sains politik dan sejarah serta pengalaman luas di peringkat antarabangsa, secara merendah diri akui, beliau lebih selesa dan merasakan lebih berguna untuk negara jika tidak menyertai mana-mana parti politik.

“Jadi, apa yang saya kata, orang akan dengar,” ujarnya.

“Tetapi saya dok fikir jugak, kalau kita betul-betul nak ubah situasi, kita kena aktif, jangan dok asyik bercakap sahaja.

“Ya, memang senang nak cakap dan tulis. Tapi itu ertinya kita tak ada apa-apa komitmen. Tapi kalau kita masuk mana-mana parti, kita akan sendiri ada tanggungjawab.

“Macam orang putih kata, kita stand up and ready to be counted. Jadi orang akan tahu kewujudan kita. Orang tahu saya adalah orang DAP,” katanya.

Mengapa DAP menjadi pilihan

Apabila menyoal pandangan Tunku berhubung sensitiviti orang Melayu terhadap DAP, beliau akui agak susah untuk menjelaskan kepada orang Melayu tentang prinsip dan dasar DAP.

“Memang susah. Ingat mereka akan percaya? Sebab apa susah? Dan kita tak boleh salahkan orang Melayu walau pun ia hasil propaganda UMNO.

“Ini kerana DAP zaman dulu memang dilihat menjuarai isu-isu kaum Cina. Bukan kerana DAP parti kaum Cina tetapi isu-isu Cina yang tidak dipedulikan oleh MCA dan Gerakan, isu-isu itu telah diperjuangkan oleh DAP,” katanya berterus terang.

Bagaimana pun, Tunku akui kepimpinan dan dasar perjuangan DAP sekarang sudah banyak berubah, tidak seperti dahulu. DAP sekarang lebih benar-benar mengamal dan melaksanakan prinsip perjuangan asalnya sebagai parti untuk semua kaum.

Mengambil contoh kejayaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor, DAP telah menunjukkan keikhlasan kerana dengan ‘mata’ sahaja baru masyarakat terutamanya Melayu boleh percaya tentang perjuangan DAP.

“DAP dahulunya selalu sebut tentang ideologi sosialisme demokratik. Itu bermaksa sosialisme yang sederhana. Tetapi, bagi orang Melayu, depa ni memang takut. Tengok sosialisme, depa ingat komunisme. DAP pun kena faham orang Melayu punya pemahaman dan corak pemikiran,” katanya.

Jelas Tunku, DAP sekarang sudah berubah sama sekali. Pimpinan utama seperti Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang yang menekankan kepada kepelbagaian kaum, kepelbagaian budaya, yang telah menujukkan bahawa DAP serius sebagai sebuah parti untuk rakyat Malaysia.

Ideologinya juga sudah diperjelaskan, iaitu demokrasi sosial, yang berteraskan kepada keadilan sosial yang mahu memberi peluang kepada semua warga Malaysia di samping menjaga kebajikan mereka yang kurang bernasib baik serta berpendapatan rendah.

“Malaysia untuk rakyat Malaysia adalah sangat berbeza berbanding slogan Najib 1Malaysia. Slogan 1Malaysia ini, kita dengar saja dan orang cakap sedap. Kita perlu ‘makan’ sikit untuk rasa,” katanya, menyambung yang 1Malaysia ini ibarat kuih puding yang belum dirasa.

Dengan prinsip Utamakan Rakyat Malaysia serta pendekatan Jalan Tengah Malaysia di samping urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT), Tunku melihat DAP sebagai alternatif yang terbaik baginya untuk memperjuangkan hak dan peluang untuk seluruh masyarakat.

Malah, beliau mengakui tidak akan menyertai DAP jika parti itu berpegang kepada politik kaum.

“Saya adalah seorang yang anti kepada parti yang bertunjangkan kaum. Jika DAP tidak menujukkan bahawa parti ini adalah untuk semua rakyat Malaysia, saya tidak akan sertainya.

“Apabila saya lihat perubahan yang dibawa oleh DAP benar-benar serius, dan saya dapat rasa kesungguhan mereka yang mengutamakan Malaysia untuk rakyat Malaysia, saya puas hati dengan keputusan saya untuk bersama DAP,” tambahnya.

Mengarusperdanakan DAP

“Kita harus membuka lebih luas keahlian DAP. Tetapi walau pun begitu, saya fikir kita mesti mewakili semua lapisan masyarakat di negara ini secara keseluruhannya. Agar ini dapat menunjukkan bahawa ini adalah falsafah DAP.

“Ini adalah apa yang kita sedang usahakan. Kerana saya percaya tanpa elemen ini, kita tidak akan menjadi sebuah negara Malaysia yang bersatu padu,” ujarnya.

Tambahnya, rakyat yang datang menyertai parti, perlu dipertimbangkan secara serius, untuk mewujudkan apa yang dipanggil sebagai perpaduan nasional dan pendidikan politik agar orang ramai memahami isu-isu yang lebih luas berhubung prinsip dan perjuangan DAP.

“Anda pun tahu, kita mahu Melayu berfikir di luar keMelayuan yang sempit, Cina berfikir di luar keCinaan yang sempit. Kita mesti meyakinkan rakyat perihal perkara ini. Kita harus menjadi masyarakat yang terbuka,” katanya.

Tambah Tunku, ini adalah kerana DAP percaya tanpa elemen seperti yang dijelaskan tentang konsep dan pegangan DAP yang jelas itu, rakyat Malaysia tidak akan bersatu.

“Dengan itu, DAP harus berjaga-jaga bila bertutur dan bersama masyarakat. Kita kena tunjuk sebagai satu contoh dan teladan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Menghadapi pilihan raya umum

Beliau berpendapat peluang DAP dan Pakatan Rakyat cerah untuk mempertahankan Pulau Pinang dan –negeri negeri Pakatan yang lain walau pun akan menghadapi cabaran besar dalam usaha membentuk Kerajaan Pusat.

“Kenapa saya kata begini adalah kerana kita sedang menentang UMNO yang masih memegang tampuk kuasa dan terkenal dengan budaya rasuah terutamanya berhubung sistem pilihan raya,” katanya.

Apakah pandangan ini mencerminkan Tunku tidak yakin dengan kemampuan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU ke-13?

“Siapa tidak suka menang?” jelasnya ketawa, “Kalau menang barangkalilah, mungkin pada pilihan raya yang lagi satu (PRU ke-14),” jelasnya.

Menurutnya, UMNO dan BN telah, sedang dan akan menggunakan pelbagai cara dan taktik kotor untuk mengekalkan kuasa kerana sedar rakyat semakin tidak suka kepada mereka.

“Macam taktik magik, boleh keluarkan apa-apa sahaja dari lengan baju mereka,” jelas Tunku, menambah bahawa UMNO-BN juga mempunyai akses kepada dana kerajaan yang jelas bertentangan dengan politik bersih dan amalan demokrasi.

“Saya harap, rakyat akan mengambil duit pemberian mereka tetapi tidak mengundi BN,” katanya berjenaka, menjelaskan bahawa duit itu juga milik rakyat dan tidak boleh dijadikan sebagai ‘upah’ untuk mengundi BN.

Walau apa pun, Tunku yakin rakyat akan lebih berani daripada PRU yang lepas-lepas kerana mula menyedari hak mereka.

Yang penting, katanya, rakyat perlu membuat pilihan yang tepat tanpa rasa takut atau bimbang serta bebas daripada emosi perkauman yang sempit. – Roketkini.com