Rencana

Harapan baru untuk Sabah

Buku Jingga sebagai agenda Pakatan Rakyat telah menyarankan secara am bahawa semangat Perjanjian Malaysia 1963 akan dijadikan asas kepada hubungan adil di antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.

“Di samping memulihkan imbangan kuasa yang memihak kepada kerajaan pusat, Pakatan Rakyat berjanji membuat penilaian yang adil dan terbuka mengenai persoalan pokok yang kini menghalang kemajuan politik dan sosioekonomi di kedua-dua negeri di Malaysia Timur,” demikian menurut buku itu yang menjadi garis panduan pendirian bersama Pakatan.

Menjelaskan lagi, Buku Jingga menyatakan bahawa Pakatan Rakyat akan:

* Memastikan khazanah negeri Sabah dan Sarawak dinikmati sepenuhnya oleh rakyatnya dengan memperuntukkan royalti 20% daripada pendapatan petroleum mereka;

* Menubuhkan Suruhanjaya Diraja demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk isu pendatang asing;

* Menjamin hak tanah adat Orang Asal tidak dicabuli oleh mana-mana pihak; dan

* Menghentikan dengan serta-merta penindasan terhadap rakyat kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.

20 Perkara yang baru

Bagi menghalusi lagi Buku Jingga di peringkat negeri Sabah, satu konvensyen Pakatan Rakyat Sabah telah diadakan di Kota Kinabalu pada 16 September lalu yang menampilkan kehadiran Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Satu agenda khusus telah diperkenalkan, iaitu Tawaran Baru Untuk Rakyat Sabah – Reformasi Pentadbiran Pakatan Rakyat Sabah yang menyediakan 20 perkara. Ia selaras dengan pendirian Buku Jingga dengan dikhususkan kepada isu-isu utama yang perlu disegerakan penyelesaian yang telah merumitkan kehidupan warga Sabah.

Perkara-perkara yang ditawarkan kepada rakyat Sabah itu adalah:

1.  Mengiktiraf dan menghormati Islam sebagai agama rasmi manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

2.  Menjunjung kedaulatan Sabah sebagai negeri sah dalam Malaysia dengan mematikan sebarang tuntutan  bertindih termasuk menghentikan bayaran kepada negara asing yang membuat tuntutan itu;

3.  Menyempurnakan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi mencari menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin.

4.  Menjaga, menghormati dan mengiktiraf hak tanah adat dan menarik semula semua kes mahkamah berkaitan, yang dibawa kerajaan negeri sekiranya kes-kes tersebut jelas mencabuli hak tanah adat.

5.  Melancarkan program Borneonisasi dalam sektor perkhidmatan awam secara berperingkat-peringkat untuk memastikan jawatan utama dipegang rakyat Sabah.

6.  Membawa usul ke Dewan Undangan Negeri untuk menuntut hak Blok L dan M yang dirampas tanpa persetujuan rakyat Sabah, termasuklah mengambil tindakan sivil dan jenayah ke atas pihak-pihak yang bertanggungjawab menyerahkan Blok L dan M tanpa izin dari rakyat Sabah.

7.  Mengukuhkan autonomi Sabah dengan menyemak kembali perkara-perkara yang termaktub dalam Perkara 20 untuk memastikan sebarang tindakan bertentangan, dihenti serta merta.

8.  Menyempurnakan tuntutan kenaikan royalti hasil minyak petroleum kepada 20% dengan menandatangani perjanjian baru dengan Kerajaan Persekutuan agar bayaran kepada rakyat Sabah adalah berkadar langsung dengan keuntungan tambahan dari hasil petroleum di negeri Sabah.

9.  Mengurangkan beban rakyat Sabah dengan mengkaji semula dasar polisi sabotaj yang menyebabkan harga barang di Sabah jauh lebih mahal.

10. Mengkaji semula bidang kuasa mengawal cukai, kewangan, dana pembangunan, tarif dan hasil-hasil Kerajaan Negeri dengan mencari formula pembahagian hasil yang adil dan saksama dengan Kerajaan Persekutuan.

11. Mengkaji semula peranan FELDA, FELCRA dan RISDA di Sabah supaya hasil pengagihan penanaman komoditi dinikmati oleh semua rakyat Sabah.

12. Mewujudkan Yayasan Orang Asal dengan dana RM1 bilion bagi merangsang sosio ekonomi komuniti Orang Asal.

13. Menaikkan bantuan kewangan untuk warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal serta golongan miskin.

14. Mewujudkan Skim Perumahan untuk semua rakyat di Sabah.

15. Menggalakkan pelaburan dan memperkasakan sektor pertanian dan pelancongan yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perkhidmatan.

16. Menuntut hak ke atas semua pulau-pulau kecil di perairan Sabah yang tuntutannya belum diselesaikan demi menjamin kedaulatan sempadan Sabah dan hasil minyak dan gas di perairannya.

17. Menubuhkan Tabung Warisan Sabah dengan modal awal RM1 bilion dari wang royalti hasil industri minyak dan gas bagi tujuan program-program pembasmian kemiskinan kepada semua rakyat Sabah di bawah paras kemiskinan.

18. Menubuhkan syarikat minyak dan gas yang dimiliki rakyat Sabah dengan modal awal berbayar RM1 bilion dengan tujuan mewujudkan sebuah konglomerat antarabangsa yang dapat dibimbing oleh Petronas untuk bersaing di persada dunia dan menyediakan peluang pekerjaan serta membina kepakaran rakyat Sabah dalam industri minyak dan gas.

19. Mewujudkan semula jawatan Kementerian Pendidikan, Pengangkutan dan Kesihatan Sabah untuk pelaksanaan polisi yang berkesan dan saksama.

20. Menyemak semula dan memastikan peranan Yayasan Sabah kembali kepada tujuan asalnya.

Yakin rakyat akan menyokong Pakatan

Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Dr Hiew King Cheu, yakin tawaran itu akan diterima baik oleh rakyat di Sabah yang selama ini telah dipinggirkan oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional.

“Saya yakin kerjasama ketiga-tiga parti Pakatan – PKR, PAS dan DAP – akan memberi semangat kepada warga Sabah untuk membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Kit Siang pula dalam ucapannya di konvensyen itu menyatakan rakyat di Sabah adalah antara golongan yang berani membuat perubahan kerana telah empat kali menukar kerajaan sejak menyertai penubuhan persekutuan Malaysia pada 1963.

Menurutnya, kemenangan awal telah pun tercapai apabila suara rakyat berjaya memaksa Perdana Menteri memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri serta berjanji untuk meminda undang-undang lain yang zalim.

Walau pun janji-janji Datuk Seri Najib Razak mungkin gagal dikotakannya, beliau menganggap, jika rakyat terus bangun menuntut hak, Perdana Menteri terpaksa tunduk kepada apa yang rakyat mahukan. – Roketkini.com