Rencana

Apa agenda Utusan? – Oleh Daing Yahya

Gambar ehsan http://nicholasleong.net

8 NOVEMBER – Lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia dan juak-juaknya seperti biasa terus-menerus mengamalkan fitnah dan dasar propaganda songsang serta tidak beretika dalam mempersenda dan mengelirukan agenda politik Pakatan Rakyat, khususnya DAP.

Kerja silap mata Utusan kali ini ialah dengan menggunakan kakitangan awam sebagai perisai manusia dalam meneruskan agenda politik kotornya, tidak kira sama ada direstui oleh UMNO dan Barisan Nasional, atau tidak.

Propaganda murahan Utusan UMNO

Sejak beberapa hari lalu, organ parti UMNO itu melaporkan kononnya DAP, apabila mendapat kuasa bersama Pakatan Rakyat, mahu mengurangkan jumlah kakitangan awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak cekap atau tidak produktif.

Tidak ada sebarang keganjilan dalam kenyataan yang dikatakan dibuat oleh DAP itu, kecuali jika dibaca bahawa majoriti besar kakitangan awam adalah orang Melayu. Maksud Utusan jelas – jika Pakatan Rakyat berkuasa, maka kuasa politik orang Melayu akan terhakis.

Sama ada munasabah atau tidak – seperti fitnah Utusan kononnya DAP yang mana majoriti ahlinya adalah kaum Cina yang berkepercayaan Buddhisme dan Taoisme dituduh mahu menubuhkan Negara Kristian – Utusan tidak peduli itu semua.

Asalkan mereka sangka emosi orang Melayu boleh dibangkitkan untuk membenci DAP, mereka akan melakukan apa sahaja kerana matlamat telah menghalalkan cara Utusan.

Dakwaan-dakwaan akhbar kawalan UMNO-BN ini begitu licik sekali, mereka masih merasakan bahawa masyarakat Melayu masih bodoh, dungu, bebal seperti tuan-tuan politik mereka.

Bagi rakyat termasuk kakitangan awam yang mempercayai bulat-bulat dakwaan Utusan UMNO ini, sewajarnya mereka bertenang, duduk sebentar dan gunakanlah otak yang Tuhan kurniakan untuk setiap hambanya. Otak orang Melayu tidak banyak bezanya dengan otak bangsa-bangsa lain di dunia.

Apa yang sebenarnya diperkatakan

Apa yang dipetik oleh Utusan tentang ‘kenyataan’ Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua tentang saiz perkhidmatan awam adalah sebenarnya adalah pandangan yang dikemukakan dalam dialog mengenai Bajet 2012 anjuran Pemuda DAP Johor di Johor Baru pada 31 Oktober lalu.

Dalam penjelasannya sewaktu dialog itu, Pua menyatakan bahawa dasar kerajaan pada pertengahan 1980-an sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri adalah untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam daripada sekitar 800,000 kepada 500,000. Yang dilakukannya ialah memperkenalkan dasar pengswastaan.

Mungkin Utusan lupa bahawa ia adalah antara akhbar yang ghairah menyokong Dr Mahathir sehingga mencanangkan bahawa pengswastaan itu baik untuk rakyat, khususnya orang Melayu. Utusan tidak pula menuduh usaha Mahathir sebagai “tak berasas”, “tak rasional” dan “mempunyai agenda politik” sebagaimana yang dilontarkan kepada DAP sekarang.

Pua menjelaskan lagi bahawa walau pun Mahathir yang membawa usaha mengempiskan saiz perkhidmatan awam, di hujung era pemerintahannya jumlah kakitangan awam terus meningkat sehingga menjadi lebih 1 juta orang.

Apa masalahnya bila kakitangan awam terlalu ramai? Seperti yang berlaku di negara-negara komunis dan fasis yang menentang sistem pasaran, kerajaan terpaksa menyediakan semua pekerjaan dalam sektor awam kerana tiada banyak ruang untuk pihak swasta bergerak bebas.

Apabila saiz perkhidmatan awam terlalu besar, perbelanjaan mengurus melambung naik. Tidak ada cara lain kecuali dengan menaikkan cukai, sama ada cukai pendapatan, cukai korporat, cukai perkhidmatan telefon prabayar, perkhidmatan telefon bimbit, perkhidmatan TV satelit dan sebagainya untuk “menyara” perkhidmatan awam.

Itulah yang Pua maksudkan dalam penjelasannya. Malah tiada apa yang baru dikemukakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu selain menyebut semula apa yang Mahathir usahakan (walau pun tidak dilaksanakan sepenuhnya) sepanjang era kebangkitan ekonomi Malaysia pada awal 1990-an.

Jika Utusan tidak melihat apa-apa cacat-cela usaha Mahathir, mengapa DAP pula menjadi sasaran kerana menyuarakan perkara yang sama? Tidak lain dan tidak bukan kerana kaca mata Utusan hanya nampak warna kulit, kaum, ras dan bangsa.

Taktik yang mengandaikan orang Melayu itu dungu

Utusan yang beroperasi sebagai penyebar fitnah mahu menakutkan orang Melayu walau pun menyedari hakikat DAP dengan sedikit kekuatan politik yang ada tidak akan mampu menubuhkan kerajaan.

Jika benarlah menerusi pilihan raya, DAP boleh menang 100 peratus sekali pun, parti ini tidak akan menjadi parti yang dominan seperti UMNO dalam BN. Malah semua orang tahu DAP tidak mungkin berpeluang bertanding lebih dari 50 kerusi Parlimen – mengikut formula Pakatan yang ada setakat ini – daripada jumlah 222 kerusi Parlimen yang ada di Malaysia.

Maksudnya kalau DAP menang semua kerusi Parlimen pun, ia hanya menguasai lebih sedikit daripada 20 peratus jumlah kerusi Dewan Rakyat. Adakah Utusan cuba mengajar ilmu matematik baru kepada orang Melayu bahawa siapa yang mendapat 20 peratus akan lebih berkuasa daripada mereka yang mendapat lebih dari itu?

Dasar DAP bukanlah dasar perkauman seperti UMNO, MCA atau MIC. Justeru, bagi parti berbilang kaum ini, ia tidak akan mampu mewujudkan kuasa majoriti yang berasaskan sesuatu kaum. Amalan ini juga menjadi dasar Pakatan Rakyat, iaitu perkongsian kuasa.

Dengan itu, DAP tidak mampu bertanding di semua kawasan majoriti orang Melayu terutamanya di peringkat Parlimen. Ini juga cerminan realiti politik Malaysia.

Semua orang juga tahu adalah mustahil DAP dapat mentadbir berseorangan dalam kerajaan hingga mampu menghakis kuasa politik orang Melayu. Yang benar-benar mampu menghakis kuasa Melayu ialah pimpinan Melayu yang benar-benar mempunyai kuasa tetapi khianat kepada amanah orang Melayu.

Hakikatnya, bukan DAP atau Gerakan, PPP, MCA, MIC, PBB, PBS, PBRS, SPDP, LDP, UPKO yang mampu atau boleh menghakis “hak” Melayu.

Jadi di mana punca kuasanya hingga ada dakwaan mengatakan, jika DAP menang mereka akan melupus kuasa politik bangsa Melayu? Di mana?

Jika kita nak memutarbelitkan kenyataan atau fakta sekalipun, biarlah ada lojiknya. “..Jangan hentam keromo..takut-takut nak tarik ular lidi tertarik naga”! Bak kata M.Nasir dalam karyanya.

Utusan-UMNO menolak lojik

Kini jelas bahawa DAP tidak akan mampu menguasai politik tanah air, ia tidak akan mampu berbuat sama sekali, sekali pun jika ada segelintir pemimpin DAP mahukannya.

Inilah budaya DAP, rasional dan waras dalam memahami demografi politik Malaysia. Peranan DAP sangat jelas iaitu berkolaborasi dengan PAS dan PKR dalam mewujudkan demokrasi dalam erti kata yang sebenar. Itu sahaja.

Mungkin selepas ini juak-juak Utusan UMNO akan menjolok pula isu seperti “kalau dah tau tak boleh menguasai politik dan jadi pemerintah, mengapa pula nak bertanding”. Jika inilah ungkapan mereka, kita akan beri jawapan yang paling manis untuk Utusan-UMNO, “biarkan Luncai terjun dengan labu-labunya…biarkan”.

Jika sudah jelas bahawa penguasaan politik Melayu tidak akan mampu dihakis oleh DAP, sama jugalah halnya dengan dakwaan DAP mahu ‘menendang’ keluar kakitangan awam yang majoritinya berbangsa Melayu.

Ini tidak akan terjadi sama sekali kerana faktor yang sama. Malah menurut pandangan Prof. Dr Aziz Bari, beliau dengan jelas mengatakan bahawa kakitangan awam ini dilindungi oleh Perlembagaan.

Mana mungkin ada kuasa yang sewenang-wenangnya mengubah Perlembagaan. Namun, semua pandangan ini terus diputar belitkan oleh Utusan-UMNO.

Belajarlah memahami demokrasi

Pada asalnya, hujah tentang mutu perkhidmatan awam yang dibahaskan hanyalah soal dasar dalam aspek pembangunan kualiti perkhidmatan awam, baik sumber manusianya, latihan dan amalan budaya kerja dalam perkhidmatan tersebut.

Perbincangan seperti ini sudah semestinya akan wujud perbezaan pendapat, perbezaan kaedah dan pendekatan. Sudah tentu ada yang bersetuju dan ada yang menentang. Inilah asas yang menyuburkan dan menghidupkan amalan demokrasi.

Semua dasar dan perancangan harus didebat, dibincang dari pelbagai aspek. Fikir dan berhujahlah atas dasar menghidupkan demokrasi dan menyubur intelek.

Utusan menyimpang jauh dari pokok asal perbincangan tentang perbahasan untuk meningkatkan mutu kakitangan awam, sebaliknya menukar isu pokok menjadi isu sentimen bangsa. Selepas ini, tidak mustahil ia akan berjangkit menjadi isu kuasa ummah dan daulah Islam, dan segala macam isu yang bukan-bukan lagi.

Bagi Utusan-UMNO, dalam hal seperti ini, apa yang penting propaganda mereka sampai kepada pengundi.

Ingin sekali kita beritahu bahawa jika selepas ini UMNO terus berkuasa dengan “nasihat” dan “tunjuk ajar” Utusan, Malaysia akan jatuh merudum. Masa itu kita semua sebagai rakyat yang akan menanggungnya. – Roketkini.com