Berita

Guan Eng menang saman Utusan, terbukti tulisan adalah fitnah

KUALA LUMPUR, 15 DIS – Gara-gara memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, lidah rasmi UMNO Utusan Malaysia telah didapati bersalah di mahkamah dan diarahkan membayar pampasan.

Hakim G.V Varughese dalam keputusannya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam telah menyatakan bahawa Utusan sengaja memfitnah Guan Eng dengan niat jahat.

Varughese juga menyatakan bahawa artikel Utusan bertajuk “Kebiadaban Guan Eng” yang disiarkan pada 20 Disember tahun lalu cuba menggambarkan Guan Eng dan DAP seolah-olah  anti-Melayu dan anti-Islam, dan terbukti dakwaan Utusan itu palsu.

Varughese turut mengingatkan pihak media tentang sikap bertanggungjawab dalam profesion kewartawanan yang perlu mengutamakan profesionalisme melalui usaha mendapatkan fakta yang tepat dan sahih.

Utusan diarahkan membayar pampasan RM200,000 kepada Guan Eng dan RM25,000 sebagai kos mahkamah.

Dalam tulisan yang bersifat fitnah itu, Utusan telah membuat tohmahan kononnya Setiausaha Agung DAP itu adalah seorang pemimpin ‘rasis’ yang ‘anti-Melayu’ dan ‘anti-Islam’.

Tulisan yang menyebabkan Utusan disaman itu turut menuduh Guan Eng merobohkan gerai dan kampung Melayu serta membatalkan perarakan sambutan Maludur Rasul.

Guan Eng sewaktu ditemui pemberita di Pulau Pinang berkata, Utusan telah banyak kali membuat fitnah terhadap dirinya dan DAP termasuk melakukan pembohongan kononnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang meroboh rumah orang Melayu di negeri itu.

“Jika Utusan adalah media yang bertanggungjawab, ia mesti bertaubat, tetapi saya tidak yakin mereka akan berbuat demikian. Saya rasa mereka akan membanyar pampasan itu dan akan terus memfitnah saya dan DAP,” katanya. – Roketkini.com