Berita

Perbalahan Karpal-Ramasamy selesai, kekalkan perpaduan dalam DAP

KUALA LUMPUR, 15 DIS – Perbalahan di antara Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dr P. Ramasamy telah berjaya diselesaikan dengan baik.

Ia dapat diselesaikan setelah akhbar Makkal Oosai mengakui kesilapan membuat laporan yang telah menjadi punca salah faham di antara Karpal dan Ramasamy.

Semalam, Ketua Pengarang Makkal Oosai, M. Rajan dalam kenyataannya berkata:

“…kita juga mendapat maklumat bahawa perkara asas yang menyebabkan semua masalah ini berlaku adalah berita yang terpapar di muka hadapan dalam surat khabar Makkal Oosai pada 28.11.2011.

“‘DAP akan menurunkan tiga calon wanita. Diumumkan oleh Timbalan ketua menteri Ramasamy’ adalah tajuk berita yang menyebabkan berlakunya pergaduhan ini, diberitahu oleh penyokong-penyokong DAP kepada kita.

“Tambahan pula berita seperti ini tidak diberikan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Profesor Ramasamy. Ditegas bahawa, berita yang keluar atas nama Ramasamy adalah salah.

“Berita seperti ini dikatakan salah, maka Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Profesor Ramasamy tidak memberikan berita ini kepada surat khabar.

“Maka, kita mengambil kesempatan ini untuk memberitahu kepada pucuk pimpinan DAP bahawa Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Profesor Ramasamy tidak menyatakan berita seperti itu kepada Makkal Oosai.

“Untuk kita, Karpal Singh dan Professor Ramasamy adalah pemimpin yang terpenting.

“Karpal Singh adalah pejuang dalam barisan pembangkang yang amat disanjungi di negara kita. Beliau telah melalui banyak penderitaan dan dugaan. Beliau berpegang teguh kepada prinsip parti dan berjuang sehingga masuk ke penjara.

“Seperti itu juga, pemberian jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada seorang India adalah sejarah dalam politik negara kita. Pada pilihanraya lepas, Professor Ramasamy telah memenangi DUN dan Parlimen di Penang dan menjadi Timbalan Ketua Menteri. Beliau juga memberikan khidmat yang baik kepada masyarakat India Pulau Pinang dengan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri tersebut.”

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang melantik tiga pemimpin kanan pada Selasa lalu untuk menyelesaikan salah faham itu berpuas hati dengan penjelasan Makkal Oosai.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Penasihat Seumur Hidup DAP Dr Chen Man Hin – dalam satu kenyataan bersama hari ini, menyatakan spihak CEC serta Karpal dan Ramasamy menyedari tentang harapan rakyat terhadap DAP untuk berjuang menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dengan itu, mereka bersetuju untuk bergerak bersama sebagai satu pasukan yang komited dengan usaha membawa perubahan kepada negara, khususnya mendapatkan mandate rakyat untuk menubuhkan kerajaan pusat yang baru, dalam PRU ke-13 akan datang.

“Kami akan menangani dan menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat melalui saluran-saluran parti bagi mengkukuhkan perpaduan, solidariti dan keberkesanan parti bagi memastikan DAP dan Pakatan Rakyat dapat berhadapan serta menewaskan UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU13,” kata mereka. – Roketkini.com