Rencana

Proton bertukar tangan – apa faedahnya kepada rakyat? – Oleh Adil Mat Selamat

16 JANUARI – Selepas saham MAS dibeli oleh Air Asia, kini perkara yang sama turut berlaku ke atas Proton, satu lagi syarikat yang di anggap sebagai lambang kemegahan negara – aset negara. Ia telah dibeli oleh DRB-Hicom milik Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, jutawan yang lahir di zaman Tun Mahathir Mohamad.

Isu MAS dan Proton ini saya lihat hampir serupa. Sebagai rakyat jelata yang tidak pakar dalam bidang ekonomi, saya hanya mampu menilai keadaan ini dari kaca mata pengguna kepada produk dari dua entiti syarikat ini.

Pengalaman bersama MAS

Kali pertama saya menggunakan perkhidmatan MAS sekitar tahun 1996. Mata terpinga-pinga bila kali pertama naik pesawat, macam rusa masuk kampung. Masa itu MAS beroperasi di Subang. Kualiti layanan, perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan itu saya anggap ia sudah memadai dan baik sekali, sesuai dengan harganya yang saya anggap cukup mahal.

Zaman itu saya sedar bahawa MAS sudah diswastakan. Namun apa yang berlaku selepas penswastaan, mutu perkhidmatan Mas semakin tidak memuaskan. Tiket murah ‘waiting list’ sudah tidak ada, begitu juga dengan tambang murah waktu subuh. Bagi kami yang masih belajar ketika itu, ia menyukarkan kerana pilihan sudah tidak banyak.

Masalah ini diburukkan lagi apabila selalu berlaku kelewatan penerbangan. Masa ini, perkhidmatan AirAsia baru ditubuhkan dan tidak begitu popular. Saya pernah tersangkut di lapangan terbang lebih dari tiga jam sewaktu mahu pergi dan balik. Ini pengalaman saya, bagi orang lain saya tidak pasti, hanya mendengar rungutan di akhbar-akhabr saja.

Dalam waktu rungutan ini juga, harga tiket MAS semakin mahal. Kami budak-budak muda, menyumpah-nyumpah MAS, maklumlah masa itu terlalu muda dan gila-gila. Tetapi marah tetap marah.

Sekitar dua tahun lalu, setelah dua jam pulang dari menghantar isteri saya ke lapangan terbang, tiba-tiba dia menelefon saya. Sangkakan sudah sampai ke destinasi, rupa-rupanya masih di lapangan terbang. Malah lebih membimbangkan dan menaikkan kemarahan ialah isteri memberitahu saya bahawa kapal sudah tiga kali tidak lepas ketika take off.

Akhirnya mereka semua sedang menunggu kapal lain untuk diganti setelah 3 kali gagal terbang dan tersangkut selama dua jam lebih di lapangan terbang.

Saya tidak mahu menyalahkan MAS atau sesiapa secara membuta-tuli, tetapi saya ingin mempersoalkan bagaimana apabila MAS apabila diswastakan, mutu perkhidmatan, tahap pengurusan dan penyelenggaraan pesawat bukan saja tidak kekal atau bertambah baik, sebaliknya semakin lemah dan buruk.

Ini hakikat berniaga, MAS kenalah terima dengan terbuka dan kerajaan pula perlu menilai kembali dasar penswastaan yang telah dilaksanakan di zaman Mahathir.

Asalnya MAS milik kerajaan, diswastakan pada 1985 melalui dasar penswastaan Mahathir.  Ada seorang tokoh korporat diberi hak mengendalikan MAS tetapi akhirnya kerajaan Malaysia terpaksa membeli kembali (bail out) dengan duit rakyat. Yang bernama tokoh itu pula hilang entah ke mana tetapi kekal kaya-raya.

Setelah Idris Jala mengambil alih pengurusan, pencapaian dikatakan baik kerana berjaya mengurangkan kerugian MAS! Setelah Najib menjadikan Idris Jala menteri, MAS kembali rugi.

Inilah kisah sedih bagaimana harta rakyat yang suatu ketika dulu menjadi kebanggaan negara kini seperti barang lelongan. Rakyat seperti kita tidak dapat apa-apa, hatta kualiti perkhidmatan pun.

Persamaan MAS dan Proton

Kali pertama saya belajar kereta adalah menggunakan kereta Proton Saga. Kereta yang pertama saya miliki adalah model Wira. Tidak dinafikan, kereta itu lawa dan boleh begerak. Tetapi sebagai pembeli, pastinya kita menuntut kualiti yang senilai dengan wang untuk baik pulih, hutang, termasuk faedah ketika membelinya.

Rungutan tentang kereta Proton sama hebatnya dengan geramnya rakyat terhadap MAS. Tentang Proton, sudah menjadi jenaka lumrah sejak beberapa dekad – power window sebelah pemandu tidak boleh dibuka, model-model baru dicipta sesuka hati tanpa melihat keperluan pasaran dan sebagainya.

Kesimpulannya, masalah MAS dan Proton adalah sama, ia wujud atas dasar penswastaan untuk memugar hasil negara demi memuaskan nafsu tamak segelintir elit politik atau insan elit yang menjadi kroni sang penguasa.

Masalah kedua-dua syarikat nasional ini ialah kualiti produk dan perkhidmatan yang tidak memuaskan. Malah, produk dan kualiti itu gagal menempatkan syarikat negara ini mampu bersaing di peringkat global.

Jika benarlah alasan harta rakyat ini perlu diswastakan untuk kebaikan rakyat, kegagalan peneraju syarikat rakyat ini dipentas antarabangsa secara automatiknya juga telah merugikan kita – rakyat.

Yang bertukar tangan itu bukanlah dibeli oleh syarikat luar untuk memajukan lagi syarikat ini, sebaliknya ia terus diterajui oleh manusia yang berada dalam lingkaran elit politik itu juga. Harta rakyat digilir-gilir dan dibahagikan secara pusingan dalam kelompok mereka.

Jadi, bagaimana pula syarikat yang rugi ini akan berubah membawa keuntungan untuk kita?

Alasan dangkalnya hanyalah, syarikat nasional yang ada kepentingan Melayu mestilah diterajui oleh orang tempatan. Ini samalah dengan menggunakan wang orang lain untuk membuka perniagaan sendiri (peribadi). Ini suatu kerja yang gila, tidak masuk akal sama sekali.

Setelah dasar penswastaan Mahathir gagal, adakah penjualan Proton ini juga dari inisiatif dasar transformasi ekonomi Najib Razak?

Jika ya, kita khuatir bahawa kegagalan lalu akan berulang kembali. – Roketkini.com