Budaya

Manifesto seorang misoginis yang marah pada Februari jahanam Oleh Izmil Amri

Cerpen/Satira

14 FEBRUARI – Bulan Februari ini bulan cinta. Bulan para kapitalis merejam panah-panah asmara demi keuntungan berlipat ganda. Bulan para sosialis menderita, terpaksa berpaling tadah dari faham ekonominya, demi perkaya para cukong bunga dan taukey coklat. Bulan para marhaen mengais apa yang ada untuk bikin senyum para isteri atau teman wanita.

Bulan Februari bulan celaka. Aku tidak suka ini bulan. Cinta ini racun sama tahap absinthe. Apa barang itu absinthe? Barang haram. Minum buat mabuk, pening, boleh nampak bidadari hijau terbang-terbang.

Di sini tak ada bikin. Mau minum, mesti letak sudu berlubang atas gelas, letak gula batu. Titis air sejuk dari atas, sampai air warna hijau jadi keruh warna putih-putih. Kalau malas, bakar saja itu gula, kasi cair sikit dan campur dalam air haram warna hijau itu tadi.

Mana aku tahu pasal ini semua? Aku tengok di televisyen lah, saluran TLC. Tengok saluran itu boleh belajar pasal semua minuman haram. Wikipedia pun ada. Apa nak hairan?

Jadi cinta ini macam menatang absinthe itu lah. Silap telan, perit dari tekak sampai ke dada. Betul cara bikin, menjadilah. Asyik dan khayal dia pun lain macam. Itu kata mereka yang ada pengalamanlah. Aku mana tahu.

Pengalaman cinta

Pengalaman absinthe tak ada, cinta ada la sedikit sebanyak. Nama pun jantan. Kalau jatuh basikal itu pra-syarat bergelar budak lelaki, maka sakit putus cinta itu pra-syarat jadi jantan. Dia punya sakit, macam langgar keretapi.

Tapi kau, kau hati tengah bunga-bunga. Dalam hati kau ada Taman Tasik Titiwangsa. Kau, kalau kena langgar lori balak tengah lebuh raya pun, kau bangun balik, ketis debu di bahu dan jalan terus. Macam tak ada apa jadi.

Sebab dalam hati kau ada taman. Kau lari pusing-pusing pokok dengan kekasih kau. Kepala otak kau la nak faham perit sakit hati orang lain bila datang bulan Februari. Jimbitlah.

Kau, kalau kena tembak dengan meriam, peluru meriam tu kau tepis. Itu kau la. Kau yang asal datang Februari saja menggelabah tempah restoran. Terkengkang-kengkang lari beli bunga sejambak, balut kotak coklat dalam kertas kilat.

Hingus meleleh-leleh pergi jumpa awek. Mengharap cinta dan mungkin balasan aktiviti ranjang. Atas nama cinta. Kau bertuhan cinta. Kau sembah cinta. Cinta yang ada di celah kelangkang wanita. Cinta yang mengekek ketawa bila kau termakan pujuk rayu setan. Dan kau gadaikan teruna kau untuk seorang yang sudah tidak punya dara. Demi cinta. Aku marah orang macam kau ini.

Februari boleh pergi mati. Februari boleh pergi mampos. Februari boleh pergi telan racun tikos. Februari boleh pergi terjun KLCC. Februari boleh ikat kakinya pada ketulan konkrit, pangku konkrit itu dan terjun dari tepi jambatan Pulau Pinang. Ini bulan penuh sial. Sial dan celaka untuk yang berhati walang.

Cinta – disukat, dirai dan di situ adanya

Ini cinta ini apa benda sebenarnya? Cinta ini ada tapi tak nampak. Tak boleh pegang. Tak ada bentuk, bau, bunyi. Tak ada sifat kuantitatif. Dan kau selalu pula tanya awek kau, ‘Baby sayang abang banyak mana?’ lantas awek kau jawab, ‘Banyaaakkk sangat tau.’

Eh, dia sukat pakai apa hah? Timbang kati? Timbang yang jadi simbol Barisan Nasional? Sukat pakai apa? Bohong lah! Cinta mana boleh sukat. Ingat boleh ukur? Ada indeks naik turun macam harga petrol? Penipu lah awek kau!

Februari konon raikan cinta. Raikan kekasih. Maka belikan dia bunga, mesti warna merah. Tak boleh warna putih? Mesti pakaikan juga topeng sosialis kepada satu pesta kapitalis? Kapitalis, seperti aku sebut awal tadi, akan lancarkan anak panah asmaranya tepat ke hati para pemuda. Sehingga rasa betul sakit terdesak terseksa, mesti cari perempuan untuk dihadiahkan bunga dan coklat.

Cinta yang di celah kelangkang tadi ketawa mengekek, ‘Lihatlah si jantan diperbodohkan, dia perkaya cukong coklat dan taukey kedai bunga demi dapat habuan celah kelangkang.’

Kebencian aku kepada Februari mengakar dari hati dan berpaut pada akal. Bukanlah tak ada hujung pangkal benci aku itu. Benci aku pada Februari ini seakan benci PKR kepada UMNO. Demikian adanya benci aku itu. Mengakar tunjang ke dasar masalah yang berpunca dari satu benda – reproduksi.

Reproduksi

Ya.. Kau tak salah baca. Reproduksi lah punca segala masalah dengan bulan celaka ini. Reproduksilah yang dikapitalkan oleh para pemodal untuk menjual ide-ide romantis bulan Februari supaya sang cukong kedai bunga boleh bawa keluar Mercedes sebijik lagi menjelang awal bulan tiga.

Reproduksi adalah modal paling besar Hollywood, menjual tubuh perempuan dengan beralasankan cinta dan romansa. Menjual tubuh perempuan yang difikirnya ideal, dengan fesyen yang mengikut musim, menonjol lurah dan celah, hanya demi menarik perhatian lelaki; hanya demi reproduksi.

Tidak ada yang bikin genitalia lelaki lebih menggigil selain sosok tubuh perempuan yang dijaja para kapitalis jahanam atas nama cinta. Atas nama cinta, bulan celaka ini dipergunakan untuk bikin laku minyak wangi, pakaian dalam, kondom, gari berbulu, wayang gambar, coklat, ais krim, dress, kasut tumit tinggi, lagu, konsert, champagne, kucing, cawan, bunga, implan silikon dan segala sesuatu yang boleh dikaitkan dengan cinta dan reproduksi.

Kepada Aphrodite, ini dia jari tengah aku kepada kau wahai betina celaka yang bikin kaya para kapitalis dengan hanya modal air gatal celah kelangkang. Eh jahanam betul kau Februari. Kau carik-carik hati aku macam serunding daging.

Lembu, kucing dan cinta

Daripada aku bersentuhan dengan kau wahai Februari, ada lebih baik aku sentuh lembu. Pastilah lembu-lembu NFC punya lebih perasaan berbanding kau wahai bulan durjana yang merperdagangkan cinta dan menjerit ria atas nestapa hancur hati mereka yang berduka. Lembu NFC sekurang-kurangnya hidup mewah dengan bil kad kredit ditanggung kerajaan. Ahh.. Alangkah rawannya hati menjelang tengah bulan dua. Celaka, celaka, celaka!

Tuhan kenapa perlu kau ciptakan cinta? Alangkah senang kalau aktiviti reproduksi itu tidak perlu kepada emosi. Bukankah lebih mudah kerja reproduksi jika tidak ada permainan tarik tali antara jantan dan betina, mempersoal emosi dan perasaan yang mungkin ada mungkin tak ada.

Seperti halnya kucing Schrodinger. Kau tahu tentang kucing Schrodinger? Hati kau ada taman, mana kau peduli perihal kucingnya si Erwin Schrodinger yang dikurung dalam kotak atas nama mekanik quantum.

Secara mudah, kucing yang dikurung dalam kotak, adalah tidak diketahui hidup matinya. Maka kucing Schrodinger yang terkurung itu wujud dalam keadaan hidup dan juga mati. Hanya jika dibuka kotak itu maka kita tahu hidup mati kucing tersebut.

Demikian juga halnya hati perempuan dalam permainan cinta. Dia mahu kau atau tidak, tidaklah kau tahu. Sebiji keadaan halnya dengan pilihan raya. Bubar parlimen atau tidak, tidaklah kau tahu. Dia biar kau tertanya-tanya dan kau percaya dengan semua kemungkinan.

Permainan cinta dan permainan politik seakan serupa. Kedua-duanya suka permainkan hati teruna. Dan cinta ketawa sakan, melihat si jantan dipermainkan UMNO dan juga perempuan. – Roketkini.com