Roketkini.com  
Ikuti kami di Facebook dan Twitter.  RSS
 
    

   

BR1M hanya gula-gula politik PRU13

22 February 2012

IPOH, 22 FEB: “Bantuan Rasuah 1Malaysia” mungkin lebih tepat daripada nama rasmi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana ia terang-terangan usaha kerajaan Barisan Nasional untuk memancing undi bagi pilihan raya umum ke-13.

Timbalan Pengerusi DAP Perak V Sivakumar berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya mengambil kesempatan daripada tekanan inflasi sebenar yang dihadapi rakyat dengan memberi BR1M tanpa memikirkan kesan hutang negara yang semakin meningkat dan terpaksa dibayar oleh generasi akan datang.

“(Najib) berlagak seolah-olah menjadi pembela rakyat dengan memberi BR1M. Pada hemat saya, pemberian ini adalah satu program ‘Bantuan Rasuah 1Malaysia’ untuk memancing undi bagi PRU13,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelas Sivakumar yang juga Adun Tronoh, pokok kepada peningkatan inflasi negara adalah berpunca dari dasar-dasar BN yang tidak langsung menunjukkan kejujuran atau kesungguhan mahu membantu rakyat, kecuali hanya untuk menarik undi.

“Dasar Pakatan Rakyat adalah untuk mengubat penyakit yang disebabkan oleh Barisan Nasional. Manakala, pemberian RM500 (BR1M) adalah satu usaha kerajaan ‘memabukkan rakyat’ supaya melupakan kesakitan dan keperitan hidup untuk sementara waktu,” katanya.

Beliau menambah, pemberian itu hanya untuk sekali sahaja dan bukan untuk jangka masa panjang, sama ada setiap tahun atau setiap bulan.

Katanya, peningkatan harga barang akan menurunkan pendapatan sebenar seseorang yang mana akan menjalar menjadi masalah lain seperti sosio-ekonomi sesebuah masyarakat selain menyebabkan hutang juga bertambah.

“Adakalanya seseorang tidak mampu membayar hutang bank kerana wang pendapatanya tidak memadai untuk menaggung kos saran keluarga. Ini pula akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi yang lain seperti rumah dilelong, menjadi muflis dan sebagainya,” katanya.

Beliau memberi contoh yang sering menjadi rungutan rakyat iaitu harga petrol yang merupakan kunci kepada peningkatan harga barang.

Jelasnya, berbanding dasar BN, Pakatan Rakyat lebih realistik untuk mengubat kesakitan poket rakyat, iaitu menurunkan harga petrol sebaik mengambil alih kerajaan pusat nanti. – Roketkini.com

Print Friendly

 

 

RENCANA

   
   
   

BERITA

   
   
   

WAWANCARA

   
   
   

SENI-BUDAYA

   
   
   

 

 
Roketkini.com
MENGENAI KAMI
HUBUNGI KAMI
DASAR PRIVASI
 
Roketkini.com © Copyright Protected.