Rencana

Debat DAP-MCA – Bahagian I

Nota editor: Debat di antara Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang diadakan dalam bahasa Mandarin di Kuala Lumpur pada 18 Februari 2012 dijalankan dalam keadaan yang berat sebelah di mana hampir semua penyokong adalah daripada MCA, semua kecuali satu soalan daripada hadirin adalah daripada MCA dan semuanya bersifat menyerang peribadi Guan Eng.

Berikut adalah transkrip debat yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.

Pendahuluan  – Chua Soi Lek

Tuan pengacara, Setiausaha Agung DAP, para perwakilan sekalian, selamat petang.

Dalam negara yang demokrasi, sistem dua parti adalah sesuatu perkara yang baik jika ada persaingan sesama lain dan mekanisme ‘semak dan imbang’. Tetapi malangnya di Malaysia, apa yang kita nampak waktu 308 (nota: pilihan raya umum 8 Mac 2008), DAP tidak berhenti-henti menyerang dan menfitnah pihak saingan, mewujudkan suatu politik kebencian, dan menyebabkan berpecah-belah demi merampas kuasa.

Yang lebih serius lagi, DAP sudah berlainan dengan DAP yang dahulu. Hari ini, DAP sudah berpakat dengan PAS dan PKR menjadi barisan pembangkang. Tuan-tuan dan puan-puan harus faham bahawa PAS akan medominasi segala-galanya, kerana ahlinya lebih ramai, sumbernya lebih banyak, kerusi yang ditandinginya pun lebih banyak. Oleh sebab itu, PAS tidak akan mudah berputus asa untuk memerintah dengan Islam, melaksanakan hudud dan merealisasikan negara teokratik Islam.

Tuan-tuan dan puan-puan harus faham, agama adalah satu isu yang amat sensitif dalam masyarakat berbilang kaum. Kalau agama dijadikan agenda politik, dengan pastinya ia akan membawa kesan negatif kepada negara dalam pelbagai aspek mahu pun institusi masyarakat, ekonomi, pendidikan atau politik. Sesungguhnya, DAP akan memberitahu, “Kami akan mengimbangi kuasa PAS, jangan risau”. Saya berpendapat bahawa itu satu janji kosong politik.

Kenapa saya cakap sebegitu? Kerana perkara yang mudah pun DAP tidak dapat selesaikan. Di Kedah, perempuan dan lelaki perlu duduk berasingan, pusat penyembelihan babi diroboh; di Kelantan, arak diharamkan; di Selangor pun berlakunya isu pawagam di Bangi. Dengan jelasnya, ia menunjukkan bahawa DAP cuma sida politik kepada PAS! Sememangnya, Karpal Singh ada bersuara, yang lain pula berdiam sahaja. Tetapi ada orang memberitahu saya, ini DAP punya ‘gag order’ untuk menyelesaikan masalah.

Walau macam mana pun, kita harus mengucapkan tahniah kepada DAP, kerana dari segi mengelirukan dan mewujudkan ilusi yang palsu, dari segi promosi dan penampilan, DAP sememangnya akan dianugerahkan Oscar Award.

Kenapa saya cakap begitu? Kerana DAP di Malaysia selama 46 tahun, menampilkan diri sebagai parti pelbagai kaum. Tetapi kalau kita lihat sejarah mereka, hanya berani bertanding dalam kawasan yang majoriti pengundi Cina. DAP mengawal Cina dengan Cina, mereka memberitahu orang Cina, tibanya masa kita mengajar UMNO, UMNO terlalu berkuasa, tetapi mereka tidak berani menentang UMNO, sebaliknya mereka hanya menentang parti orang Cina.

Selain itu DAP juga memberitahu orang Cina, sokonglah kami supaya kedudukan pembangkang lebih kuat. Lepas itu mereka kata, kerana sokongan anda, sekarang DAP menguasai Pulau Pinang. Ketua Menteri pun pemimpin DAP. Mereka mewujudkan suatu ilusi palsu, suatu harapan palsu kepada orang Cina bahawa orang DAP juga boleh menjadi pemimpin tertinggi di negeri lain.

Tetapi saya ingin kata dengan sejujurnya, selain daripada Pulau Pinang, yang lain tak ada harapan lah. Hari ini kita harus terima suatu hakikat politik, iaitu DAP sekarang bukan DAP dahulu. DAP sekarang sudah menyertai PAS dan PKR menjadi barisan pembangkang. Jadi hari ini jika kamu mengukuhkan DAP, kamu bukan sahaja mengukuhkan DAP, tetapi membantu DAP untuk menyediakan jalan untuk PAS menjadi ‘abang long’.

Kita lihat dengan jelasnya di Perak, PKR dan PAS hanya mendapat 13 kerusi, DAP sepatutnya menjadi ‘abang long’, tetapi kamu sudah salah, ‘abang long’ adalah PAS! Sama juga di Kedah. Dalam negara yang pelbagai kaum, kita tidak boleh menerima pemerintahan negara dengan Islam. Kita harus tolak, tidak sokong Negara Islam.

Siapa dalang Negara Islam? (dalam dewan, para penyokong MCA menjeritkan “DAP!”) Kita lihat dalam pilihan raya Sarawak, orang Cina menyambut seruan DAP untuk mengawal Cina dengan Cina. Hari ini, 30 peratus daripada orang Cina di Sarawak menjadi pembangkang, kaum lain menjadi kerajaan. Pulau Pinang juga sama, orang Cina menjadi kerajaan, kaum lain menjadi pembangkang. Oleh sebab itu saya mengatakan, sistem dua parti dalam negara ini akan menjadi sistem dua kaum.

Pendahuluan  – Lim Guan Eng

Pertama sekali saya ingin mengucap terima kasih kepada penganjur kerana melangsungkan debat televisyen ini. Ini mencipta satu bab yang baru dalam politik berdemokrasi Malaysia, debat televisyen merupakan satu unsur penting dalam kemajuan demokrasi. Saya berharap mulai hari ini, debat televisyen akan menjadi satu phenomena yang umum dalam sistem demokrasi Malaysia seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.

Oleh itu saya berpendapat bahawa, apa yang warga Malaysia benar-benar ingin saksikan, adalah debat antara Perdana Menteri Najib dengan Anwar, untuk melihat siapa yang sebenarnya lebih layak menjadi Perdana Menteri. Siapa tidak berani berdebat, jangan harap nak jadi Perdana Menteri.

Presiden MCA Chua ada menimbulkan bahawa DAP dipergunakan oleh PAS. Tetapi jikalau tuan-tuan dan puan-puan memberi perhatian, di kalangan orang Melayu, UMNO mengatakan bahawa PAS dipergunakan oleh DAP. Oleh itu, hujah yang sendirinya bercanggah sendiri ini, saya percaya ia adalah taktik kotor BN.

Saya ingin tekankan di sini, parti komponen dalam Pakatan Rakyat, biar pun PAS, PKR atau DAP, kami tidak mempergunakan sesama sendiri, kami hanya bersiap sedia untuk ‘dipergunakan’ oleh rakyat! Pada masa yang sama, kami bukan anti-Melayu, atau pun anti-bukan Melayu, kami cuma anti kerajaan yang mereput dengan rasuah!

Tema hari ini adalah ‘Adakah Sistem Dua Parti akan menjadi Sistem Dua Kaum?’. Sebenarnya saya berasa pelik. Kerana, sekarang sudah sistem dua kaum, kami nak menjadikannya sistem dua parti. Sistem dua kaum ini sememangnya ideologi BN selama ini, sejak kemerdekaan sehingga kini, BN sudah membezakan rakyat sebagai Melayu dan Bukan Melayu, ini adalah pecah dan perintah. Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin pernah berkata, saya Melayu dahulu, kemudian baru orang Malaysia. Adakah ini Satu Malaysia? Atau pun ini Sapu Malaysia? Ini adalah sistem dua kaum. Sebaliknya, sistem dua parti itu demi ideologi, demi wawasan dan prinsip, tidak membezakan kaum, kita semua rakyat Malaysia.

Dalam BN, UMNO hanya jaga orang Melayu, MCA hanya jaga orang Cina, MIC hanya jaga orang India, Gerakan itu… tak taulah dia jaga siapa.. Itulah BN yang ‘kamu jaga kaum kamu, saya jaga kaum saya’, ini adalah sistem dua kaum. Sebaliknya, dalam sistem dua parti, kita semua bersaudara, kita jaga kebaikan sesama lain, setiap warga Malaysia adalah ahli sekeluarga.

UMNO selalu melaung-laungkan ‘Ketuanan Melayu’, adakah MCA tidak terlihat, tidak terdengar dan tidak terasa, sebab itu tidak berani untuk menghalang? Justeru itu, kita lihat masyarakat kita kini masih mengatakan orang Cina tidak berhak bermastautin di sini, tidak berhak mendapat peluang sama rata.

PR berlainan dengan BN. Apa yang kita mahu bukan ‘Ketuanan Melayu’, apa yang kita mahu ialah ‘Ketuanan Rakyat’! Anwar bukan sahaja bercakap tentang ‘Ketuanan Rakyat’ di depan orang bukan Melayu, tetapi dengan orang Melayu juga beliau cakap yang sama. Saya tidak pasti sama ada pemimpin UMNO boleh berhenti melaungkan ‘Ketuanan Melayu’ tetapi menyokong ‘Ketuanan Rakyat’.

Apabila rakyat atau pun pemimpin PR membongkar penyalahgunaan kuasa atau rasuah dan menyoal integriti polis atau Suruhanjaya Pencegah Rasuah, kami dituduh mencabar institusi Melayu. Inilah sistem dua kaum. Kerana rasuah itu tidak ada perbezaan warna kulit. Ahmad Sarbaini, pegawai kastam itu, dia bukan orang kah?

Pakatan Rakyat membanteras rasuah, BN hendak rasuah. PR akan memastikan pemimpin yang jujur dan kerajaan yang bersih, termasuk mengumumkan aset, tender terbuka, ini barulah sistem dua parti! Yang terpenting sekali itu menahan pegawai yang benar-benar rasuah, bukan menfitnah Teoh Beng Hock yang tidak bersalah.

Pencabar saya selau berkata: “Kaum lain menjadi kerajaan, Kaum Cina menjadi pembangkang”. Ini salah sama sekali. Sebenarnya, “BN MCA menjadi pembangkang, PR DAP menjadi kerajaan” barulah kerisauan sebenar MCA. Bukan sahaja orang Cina yang menyokong PR untuk berubah, Melayu pun sama, jika kami tidak dapat sokongan Melayu 40 peratus (pada PRU 2008), tsunami politik tidak mungkin akan berlaku. Saya percaya, saya pun tidak akan berpeluang berdiri di sini sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Presiden Chua pun mungkin tidak berpeluang menjadi Presiden MCA.

Dalam sistem yang demokratik, sistem dua parti perlu pertukaran kerajaan secara alternative. Biar BN tumbang jadi pembangkang, biar PR bangkit jadi kerajaan. Jikalau PR tidak berbuat dengan baik, rakyat berhak bertukar lagi selepas lima tahun. Ini barulah sistem dua parti, pertukaran kerajaan secara alternatif, rakyat baru akan ada kehidupan yang baik.

Soalan – Moderator

Masyarakat Cina sudah mulai mengalu-alukan sistem dua parti sejak 1980, jikalau kita menggunakan keputusan 2008 sebagai satu piawaian, undi yang diberi kepada BN dan PR adalah masing-masing lebih kurang separuh. Ini menunjukkan separuh rakyat berpuas hati dengan pemerintahan BN, separuh rakyat mempunyai harapan kepada PR. Adakah ini bermaksud sekarang kedua-dua pihak telah mencapai tahap perjuangan dua parti? Macam manakah parti anda memenangi undi yang separuh lagi?

Jawapan – Chua Soi Lek

Jikalau kita benar-benar hendak menyokong sistem dua parti, hari ini kita lihat DAP dalam kawasan yang kalah, orang hilang, pejabat pun hilang. Ketua Menteri Pulau Pinang mengatakan, dia hendakkan Pulau Pinang pembangkang sifar. Para hadirin sekalian, kalau pembangkang sifar, macam mana ada sistem dua parti? Jadi bagi saya, sistem dua parti hanya satu slogan politik DAP untuk merampas kuasa. Itu sahaja.

Jawapan – Lim Guan Eng

Kalau PR berpeluang menjadi kerajaan, polisi kita adalah untuk memberi manfaat kepada rakyat. Sekarang semua barang harga naik, duit tak cukup, kita nak meringankan beban rakyat. Kalau jadi kerajaan (pusat), kita akan memansuhkan tol Utara-Selatan dan tol Jambatan Pulau Pinang. Kita juga akan meningkatkan royalti minyak dari 5 peratus kepada 20 peratus bagi Sabah dan Sarawak. Lagi, warga emas. Saya tahu, sejak Pulau Pinang memberi secara sistematik warga emas RM100 setiap tahun, BN meniru. Bukan sahaja BN yang meniru, MCA pun meniru. Jadi, selain daripada berterima kasih kepada Presiden Chua, ini harus berterima kasih kepada kerajaan Pulau Pinang juga lah.

Jika kami boleh mengambil kuasa di peringkat pusat, kita akan beritahu warga emas seramai 2.1 juta di seluruh negara bahawa kita janji akan beri RM1,000 setiap tahun secara sistematik. Ini adalah kebaikan pertukaran kerajaan secara alternatif. Kebaikannya adalah bahawa parti dinilai berdasarkan polisi mereka, kami hendak jadi negeri polisi dan bukan negeri polis. Sekian. – Roketkini.com

Ikuti sambungan perbahasan di Bahagian Kedua