Wawancara

“Kerajaan BN tahu tapi tutup mata”

Sebelum menjadi Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago memang sudah lama aktif sebagai aktivis sosial dalam memperjuangkan isu-isu rakyat dan pekerja. Penyelaras Roketkini Mazir Ibrahim menemu bual dengan Charles, yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor, tentang isu-isu semasa menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pakatan Rakyat sedang merangka manifesto untuk pilihan raya umum akan datang. Apakah signifikannya manifesto ini dengan Buku Jingga Pakatan Rakyat?

Pada pandangan saya, apa jua dasar yang sedang kita sediakan pastilah mementingkan kehendak dan keperluan rakyat. Ini jelas dalam apa jua bidang, baik pada aspek ekonomi, politik atau sosial mestilah berdasarkan kepentingan itu, ia merangkumi semua kelas masyarakat, dengan kata lain kepentingan rakyat menjadi centre piece.

Ia berbeza dengan dasar BN, mereka mementingkan golongan pertengahan ke atas (kroni), bukan golongan pekerja atau golongan pertengahan bawah. Malah kaum-kaum Melayu, Cina, India dan rakyat biasa di Sabah dan Sarawak juga turut terabai. Jadi ia tidak menyeluruh. Ini menjadikan jurang orang miskin dan kaya terlalu besar. Hakikatnya, hasil negara mestilah diagih sama rata kepada semua rakyat, bukan hanya beberapa golongan.

Jadi, dalam Buku Jingga, satu langkah telah diambil untuk mengimbangkan jurang antara miskin dan kaya. Salah satu daripada isu yang telah dilontarkan ialah gaji minima. Isu ini telah diperjuangkan oleh kesatuan sekerja, NGO dan Pakatan Rakyat, ia adalah salah satu cara untuk mengurangkan inequality dalam negara iaitu dengan mengadakan sistem gaji minima.

Sebelum ini beberapa tahun yang lalu, kerajaan BN tidak mahu membincangkan isu ini. Tetapi kini, setelah mendapat desakan dari Pakatan Rakyat, NGO dan pelbagai pihak lain, malah menerusi kajian kerajaan juga telah menunjukan keadaan (jurang) hari ini sudah diluar kawalan, maka kerajaan BN mula bertindak dengan membincangkan isu ini agar ia menjadi dasar.

Jelas bahawa Buku Jingga telah menunjukkan satu langkah yang betul yang telah kita ambil. Dasar ini perlu diwujudkan kerana ketidakseimbangan ini telah berlaku dan ianya berpunca oleh Mahathir sendiri di mana, langkah penswastaan beliau, pada hari ini kita dapat lihat ia telah gagal. Hakikatnya, semua gagal Manakah projek penswastaan BN telah berjaya? MAS dan NFC semua itu gagal. Proton, jika tidak ada subsidi kerajaan, pasti telah lama gagal. Ini bukalah projek kebanggaan negara. Begitu juga dengan isu air, ini hanyalah salah satu cara untuk mengayakan kroni BN.

Hutang negara dilaporkan semakin bertambah, bagaimana Pakatan Rakyat boleh bertindak untuk mengatasi masalah ini?

Secara umumnya, sekitar 96 peratus hutang kerajaan adalah dari sumber dalaman dan 4 peratus lagi dari sumber luar. Dalam satu aspek, ia masih baik. Tetapi dari satu aspek lain apabila hutang keseluruhan sudah mencecah kepada 53 peratus, ini menunjukkan perbelanjaan kerajaan sudah melebihi dari sepatutnya. Angka ini sudah menjadi seperti alarm bell. Ini sudah berada di tahap bahaya dan kita mesti kawal. Ini sistem umum yang ada dan digunakan di mana-mana negara sekali pun.

Memang ianya bukan satu kerja yang mudah (untuk mengawalnya) apabila ia sudah terjadi seperti sekarang. Kerajaan (BN) kata kita boleh gunakan Good Services Tax (GST), ini cara mereka mahu mengatasi masalah ini tetapi pada hakikatnya, GST ini akan membebankan rakyat biasa khususnya orang miskin. Jika 10 peratus itu dikenakan, pastinya ia kecil bagi golongan kaya dan pertengahan ke atas, tetapi bagi rakyat biasa ianya pasti membebankan. Kesan 10 peratus itu tidak akan sama antara yang kaya dan miskin.  Maka cara ini salah.

Cara ini hanya akan menyelesaikan masalah di pihak kerajaan sahaja, tetapi ia bukan dapat menyelesaikan masalah rakyat, iaitu hanya satu pihak saja yang dapat selesai masalah. Jika ini berlaku, yang miskin akan terus tertekan, maka keadaan ini sudah jadi double jeopardy.

Pada saya salah satu cara menyelesaikan (peringkat awal) beban (hutang) kerajaan ini ialah dengan menggunakan permit import (AP) sebagai mekanisme. Ia dapat menambah hasil kerajaan tanpa mengenakan cukai kepada rakyat biasa. Cara ini mesti dikaji dengan lebih mendalam. Namun, dalam isu ini, ada banyak lagi cara lain yang harus kita fikirkan, semua pihak harus bersama untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Bagaimana dengan syarikat penjana kuasa bebas (IPP) atau syaikat beras Bernas, adakah ia boleh dilihat sebagai monopoli yang memberi kesan kepada masalah rakyat dan beban kerajaan?

Kita kena hapuskan monopoli, kita boleh gunakan wang itu supaya dapat mengurangkan beban kerajaan dan pada masa yang sama beban rakyat juga dapat dikurangkan. Memang ia tidak memadai, kita kena pecahkan banyak lagi monopoli di bidang lain, ia sekadar dapat kurangkan beban. Tetapi ini saja tidak cukup. Contohnya YTL, rate of return meraka sekarang ini adalah sekitar 20 peratus, ini sangat tinggi.

Untuk pelaburan RM100, pendapatan mereka adalah RM20, ini mesti dikurangkan dengan maksud merasionalkan semua ini demi mengimbangkan kesan ke atas rakyat, malah ia akan turut memberi kesan kepada pihak kerajaan dan swasta. Tahap produktiviti kita akan lebih berdaya saing. Ini matlamat untuk kita kaji kembali keadaan ini.

Selan dari isu perbelanjaan kerajaan yang semakin tidak terkawal, adakah ia juga ada berkait dengan masalah ketirisan?

Bukan saja soal ketirisan, ini soal integriti juga. Contohnya NFC, wang kerajaan (cukai rakyat) diberi kepada syarikat NFC. Niat kerajaan mahu membina satu industri, kita faham dan niat itu tidak boleh dipersalahkan. Tetapi soalnya, cara wang dan projek itu dibelanja dan dijalankan. Itu isunya. Bagaimana mungkin dana itu diberi kepada seseorang yang tiada kemahiran dalam bidang tersebut, malah wang yang diberi tidak digunakan untuk projek asal tetapi digunakan untuk tujuan lain seperti pelaburan hartanah untuk keluarga mereka (menteri). Bagi orang ini (elit UMNO), wang ini dianggap sebagai wang mereka.

Malah lebih bermasalah apabila tiada pemantauan oleh pihak kerajaan. Bagaimana kerajaan boleh beri wang sedangkan projeknya tidak ada. Wang dah keluar, kerajaan tahu wang ini keluar dan ke mana perginya, malah kerajaan (kabinet) tahu siapa pemilik NFC ini. Jadi mengapa ini terjadi? Mengapa dibiarkan ianya berlaku? Kerajaan langsung tidak bertanya dan ambil tahu (jika isu ini tidak dilaporkan oleh Ketua Audit Negara).

Kes ini sama seperti kes PKFZ (Port Klang Free Trade Zone). Dalam board (lembaga) ada dari Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan lain-lain agensi yang berkaitan duduk sama dalam PKFZ. Bagaimana agensi kerajaan ini boleh diketepikan dari membuat keputusan yang betul? Apakah proses yang digunakan hingga wakil kerajaan dipinggirkan? Bagaimana ini terjadi hingga membiarkan kerja-kerja yang salah berlaku? Jelas sekali bahawa kerajaan BN tahu tetapi tutup mata.

Tentang Lynas, bagaimana saudara melihat masalah ini?

Isu ini agak kompleks, banyak pihak ada alasan dan data. Namun soal asasnya ialah, adakah sisa radioaktif ini akan beri kesan pada kesihatan rakyat. Jika ada, adakah kerajaan perlu beri lesen dan adakah kerajaan boleh beri jaminan bahawa ia dapat dibendung? Soal kedua ialah, di mana pula sisa radioaktif ini akan disimpan?

Kita tahu bahawa usia sisa radioaktif ini (untuk kembali neutral) akan mengambil masa ratusan tahun lamanya. Bukan 2-3 tahun. Jadi bagaimana? Soal ketiga pula ialah berdasarkan rekod – reputasi kita (kerajaan Malaysia) dalam menyimpan sisa radioaktif ini sangat tidak bagus. Contohnya Bukit Merah.

Ini jelas menunjukan bahawa prestasi kita untuk nak maintain sisa ini sangat buruk. Kita harap kita dapat pelajari dari kes di Bukit Merah, tetapi tidak. Sebaliknya kerajaan telah buat Lynas secara senyap-senyap hinggalah lesen telah diberikan dan pembinaan sudah berjalan. Ini menimbulkan kemarahan kita. Justru, kita kena sedarkan rakyat tentang masalah ini. Ini sangat penting. – Roketkini.com