Berita

Rakyat makin tak bebas selepas ISA dimansuhkan?

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Walau pun Rang Kesalahan Keselamatan 2012 dibentangkan di Parlimen hari ini untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), rakyat sebenarnya belum bebas daripada cengkaman undang-undang zalim.

Selain rang undang-undang tersebut, Parlimen hari ini juga dibentangkan dengan satu akta untuk meminda Kanun Keseksaan (Penal Code) yang memberi kuasa lebih besar kepada pemerintah untuk bertindak zalim terhadap rakyat.

Pindaan kepada Kanun Keseksaan itu memasukkan 13 kesalahan baru, termasuk 7 yang melibatkan apa yang ditakrifkan sebagai:

  • Aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen
  • Cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen
  • Penyebaran maklumat
  • Sabotaj
  • Cubaan untuk melakukan sabotaj
  • Pengintipan
  • Cubaan untuk melakukan pengintipan.

Bagaimana pun, kertas pindaan rang undang-undang Kanun Keseksaan itu tidak pula dijelaskan takrif atau maksud “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen”.

Dalam pindaan Seksyen 124 Kanun Keseksaan (yang sebelum ini telah dimansuhkan dan kini dicipta semula), kerajaan Barisan Nasional telah mencadangkan hukuman yang berat, iaitu penjara sehingga 20 tahun, bagi kesalahan-kesalahan yang sebelum ini biasanya dikaitkan dengan ISA.

Secara khusus kepada amalan demokrasi, menurut cadangan pindaan itu, antara yang akan menjadi kesalahan adalah jika mana-mana individu terlibat dengan:

  • Melakukan atau cuba melakukan aktiviti yang mengganggu atau bertentangan dengan demokrasi berparlimen;
  • Mencetak, menerbitkan, menjual, mengedar atau memiliki, atau mengimport dokumen atau penerbitan yang mengganggu atau bertentangan dengan demokrasi berparlimen; dan
  • Menyebarkan apa-apa laporan yang dianggap “palsu” termasuk melalui kaedah elektronik yang boleh menyebabkan kecemasan awam.

Difahamkan, selaras dengan Akta Perhimpunan Aman yang diperkenalkan oleh BN akhir tahun lalu, yang berhasrat untuk mencegah serta melarang perhimpunan secara aman, pindaan-pindaan undang-undang yang dibawa oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dilihat semakin mengekang hak asasi. – Roketkini.com