Berita

Kerajaan Pakatan Pulau Pinang bina kompleks mahkamah syariah

Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 4 MEI: Usaha meningkatkan syiar Islam di Pulau Pinang diteruskan lagi dengan pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah bernilai RM36 juta yang dijangka siap dalam masa dua tahun lagi.

Kompleks Mahkamah Syariah Pulau Pinang setinggi tujuh tingkat yang mesra orang kelainan upaya (OKU) akan menyediakan dewan bicara, kamar hakim, dewan serba guna, surau, perpustakaan, balai polis, kafeteria dan pusat penjagaan kanak-kanak.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang puas hati dengan proses pembinaan projek tersebut menyatakan bahawa 3.49 ekar tanah telah diperuntukkan untuk pembinaan yang mengambil keluasan 2.93 ekar di Jalan Batu Gantung/ Jalan Scotland di daerah Timur Laut.

“Nilai tanah adalah RM36.5 juta. Tetapi, ia merupakan taksiran awal pada 2010. Kini, nilai tanah telah meningkat sekali ganda,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat termasuk dalam hal-ehwal kebajikan dan agama.

“Walau pun ada pihak menuduh kononnya kerajaan negeri Pakatan tidak mempedulikan orang Melayu dan Islam, inilah bukti sebenar. Saya harap rakyat Malaysia tidak mudah menelan fitnah daripada golongan yang tidak bertanggungjawab itu,” tambah beliau.

Beliau berterima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Tun Dr. Abdul Rahman Abbas, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mansor Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Abdul Malik Abul Kassim kerana berjaya memperoleh peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk pembinaan projek tersebut.

Dalam lawatannya ke tapak projek Komples Mahkamah Syariah itu baru-baru ini, Guan Eng diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Ahmad Latif Abdul Hamid.

Rombongan Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut disertai oleh Ketua Hakim Syarie Negeri, Datuk Yusof Musa; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Utiliti, Lim Hock Seng; Mansor, Abdul Malik dan wakil perunding projek. – Roketkini.com