Berita

Masyarakat bukan-Islam rela tanah untuk perkuburan Islam, kerajaan Pakatan bayar pampasan

Gambar ehsan http://www.facebook.com/buletinmutiara

GEORGE TOWN, 12 MEI: Masalah ‘kesesakan’ tanah perkuburan Islam di Pulau Pinang yang gagal ditangani oleh bekas kerajaan negeri Barisan Nasional sejak 13 tahun lalu, akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Kerajaan Pakatan Pulau Pinang pimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah berjaya mengumpul dana untuk mengambil alih tanah seluas 3.2 ekar di Jelutong bagi tanah perkuburan Islam dan  perumahan untuk menempatkan semula penduduk perlukan perbelanjaan RM20 juta; di mana kos pembinaan rumah pangsa pula menelan belanja RM60 juta.

Di bawah pentadbiran UMNO-BN pada tahun 1999,  Pejabat Tanah Daerah Timur Laut (DTL)  telah meluluskan peruntukan pengambilan balik tanah tersebut, namun  ia tidak dapat dilaksanakan oleh BN meski pun mendapat bantuan dan sokongan kerajaan pusat ketika itu.

Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang berkata,  kerajaan negeri Pakatan terpaksa mencari jalan dan wang untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana kerajaan persekutuan UMNO-BN enggan membantu meringankan beban umat Islam di negeri itu.

Menurutnya, kerajaan negeri Pakatan telah berusaha untuk menyelesaikan masalah ini secara musyawarah dengan semua pihak tanpa kira latar belakang politik.

Menyedari kerajaan persekutuan telah menyediakan peruntukan untuk mengambilalih tanah perkuburan Islam itu, katanya, kerajaan negeri Pakatan telah berusaha mendapatkan kata putus daripada pusat  berdasarkan beberapa surat daripada kerajaan pusat sebelum ini.

“Tetapi malangnya, kerajaan pusat  tidak mempertimbangkannya  atas faktor kepentingan umat Islam di negeri ini, apabila memutuskan untuk tidak akan menyalurkan peruntukan untuk proses pengambilalihan tanah perkuburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Meski pun tidak mendapat sokongan kerajaan pusat, Guan Eng berkata, demi  kepentingan masyarakat Islam di Pulau Pinang, kerajaan negeri telah memulakan proses perbincangan dan pengambilan balik tanah Lot 12, 13, 14, 15, 16, 17, 18 dan 19 Seksyen 4 Bandar Jelutong, Daerah Barat Daya untuk tujuan tanah perkuburan Islam dan perumahan am.

Tanah terlibat yang berjumlah 3.208 ekar di mana 1.55 ekar untuk tanah perkuburan dan 1.657 ekar untuk perumahan am.

Tanah perkuburan yang sedia ada adalah berkeluasan 1.605 ekar, yang mana  dengan pengambilalihan tanah baru itu, ia berjumlah 3.156 ekar. Proses pengambilan lot-lot tersebut bermula apabila diwartakan pada 9 Disember 2010.

Proses selanjutnya di mana pentadbir tanah telah membuat perintah pada 30 Disember 2011 di mana sehingga kini,  kesemua tuan tanah seramai 14 orang telah menerima pampasan masing-masing dan hanya terdapat 4 orang pemilik bangunan menerima pampasan mereka. Seramai 25 orang pemilik bangunan tidak hadir siasatan.

“Tanah yang diambil untuk tujuan perkuburan kini dimiliki oleh orang bukan Islam. Ia merupakan kes jarang berlaku di mana tanah bukan Islam diambil untuk tujuan perkuburan bukan Islam di Pulau Pinang. Wang pampasan yang munasabah akan dibayar.

“Memandangkan bahawa tuan milik adalah orang bukan Islam dan kebanyakan penduduk yang perlu ditempatkan semula adalah orang Islam, kerajaan negeri berharap isu pengambilan tanah ini tidak akan dimainkan sentimen tidak sihat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab baik di kalangan orang bukan Islam mahu pun di kalangan orang Islam,” kata Guan Eng.

Beliau menjelaskan bahawa walau pun dipinggirkan oleh kerajaan pusat UMNO-BN dan walau pun kerajaan Pakatan menghadapi kesulitan kewangan, ia tetap memartabatkan agama Islam. – Roketkini.com