Wawancara

Johor bukan lagi kubu kuat UMNO-BN?

Roketkini telah menemu bual Pengerusi DAP Johor Dr. Boo Cheng Hau mengenai isu dan persoalan yang semakin banyak menimbulkan tanda-tanya di kalangan masyarakat Johor dan memberi fokus kepada kesepaduan Pakatan Rakyat Johor serta isu melibatkan ekonomi dan pentadbiran negeri. Ikuti wawancara T.K Tan, Hoo Choon Heng dan Hafiz Zainduddin bersama dengan Dr. Boo yang kini berkhidmat sebagai ADUN Skudai. Gambar-gambar oleh Wira Andika.

Bagaimana senario politik di Johor secara keseluruhannya dan apakah selepas tsunami 2008 dan perhimpunan BERSIH 3.0, Johor sedia untuk berubah?

Saya rasa begitu. Berdasarkan dari beberapa ceramah dan majlis makan malam mengumpul dana, mereka yang hadir sangat ramai. Di Taman Molek, 3,000 orang hadir di majlis makan malam mengumpul dana juga lebih dari 2,000 orang hadir pada majlis makan malam di Batu Pahat dan Kulai di mana ia merupakan kubu kuat  Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (Presiden MCA).

Majlis-majlis ini bukan semata-mata berjaya menarik hadirin Cina tetapi ramai orang Melayu dan India telah datang ke ceramah kita. Kita telah mengadakan program bersama Pakatan Rakyat iaitu ceramah Merdeka Rakyat di kawasan majoriti Melayu di Pasir Gudang dan ia berjaya menarik lebih 5,000 hadirin pada April lepas.

Dalam himpunan BERSIH 3.0 yang diadakan di Johor Bahru (JB) pada 28 April lalu, hampir 10,000 peserta yang terdiri dari pelbagai kaum telah turut serta. Ramai di kalangan mereka golongan muda-mudi dan yang bekerja di Singapura.

Sesetengah laporan media mengatakan tinjauan dalaman yang dilakukan BN sendiri menunjukkan lebih 80 peratus pengundi Cina di Johor akan menyokong Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang. Komen saudara?

Pada masa lalu, pengundi Cina di Johor bersikap tipikal, mereka sangat berhati-hati dalam memilih siapa yang mahu diundi, lebih suka mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap perubahan politik di negeri lain.

Dengan prestasi efisien dan baik dari negeri-negeri yang ditadbir PR terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang, kini lebih ramai di kalangan mereka tidak lagi risau atau takut untuk menjadi sebahagian dari gelombang perubahan sedangkan pada masa lalu, orang-orang Cina mengundi calon oposisi sebagai undi protes terhadap BN, tetapi kini mereka lebih melihat kepada penubuhan sistem dua parti untuk Malaysia yang lebih baik.

Kempen BN dengan menakut-nakutkan orang Cina cuma memberi kesan yang sedikit disini. Meski pun isu Negara Islam dan hudud di dimainkan dengan kuat semasa pilihan raya kecil Tenang, sekurng-kurangnya 70 peratus pengundi Cina menyokong PAS.

Kita harus tahu bahawa pengundi di kawasan desa ini mempunyai akses yang terhad kepada internet dan media alternatif,  lebih-lebih lagi ia merupakan kubu kuat MCA dan kawasan Chua Soi Lek sebelumnya. Taktik rasuah dan fitnah oleh BN tidak berjaya ke atas orang-orang Cina lagi.

Selain itu, sokongan ini juga kerana kerjasama erat di kalangan PR terutamanya PAS dan DAP dalam usaha mendekati para pengundi. Pemimpin DAP dan PAS telah bekerjasama dengan baik sejak akhir 1990-an lagi. Kami mempunyai hubungan yang baik diantara satu sama lain.

Dulu tsunami politik bermula dari negeri-negeri utara dan pantai Barat Semenanjung, bagaimana pula dengan andaian ‘tsunami politik’ kedua akan bermula dari Johor?

Dari aspek demografi, Johor hampir serupa dengan Selangor. Johor mempunyai banyak kerusi campuran di mana ia tidak di dominasi mutlak oleh mana-mana kaum. Dari 26 kerusi Parlimen, cuma lima kerusi yang mempunyai lebih 70 peratus majoritinya adalah Melayu.

Pada masa lalu, SPR telah melakukan persempadanan semula kerana BN dilihat mempunyai kelebihan terhadap kawasan campuran. Tetapi, pada pilihan raya umum yang lalu, PR telah banyak memenangi kawasan majoriti campuran di seluruh negara. Ini bererti PR mempunyai lebih banyak peluang memenangi lebih kerusi di Johor.

Sebelum 2008, PR cuma mempunyai dua kerusi di Selangor. Sekarang di Johor kita mempunyai enam wakil di DUN. Itu sangat baik untuk PR. UMNO lebih risau terhadap kerusi mereka berbanding kerusi parti komponen (MCA, Gerakan, MIC). Johor adalah negeri kelahiran UMNO. Sekiranya mereka tewas di negeri atau tewas lebih banyak kerusi dari sebelumnya, ia merupakan satu pukulan hebat terhadap mereka dan ia mungkin mempercepatkan kesan domino kepada perubahan kerajaan.

Dengan suasana politik yang semakin matang, bermula dengan perubahan undi masyarakat Cina, kita malah akan menyaksikan tsunami politik bermula dari Johor. Saya sangat optimis dengan masa depan kita.

PR dan DAP secara khususnya mensasarkan untuk menang sekurang-kurangnya satu per tiga kerusi Parlimen. Buat masa ini, kami percaya PR mempunyai 45 peratus peluang membentuk kerajaan di sini. Kaji selidik dalaman yang dilakukan oleh BN menunjukkan sekurang-kurangnya 13 kerusi mereka dalam bahaya dengan empat hingga lima kerusi diletak dalam senarai hitam.

Dalam melihat perubahan landskap politik di Johor, kami telah meminta anak jati kelahiran Johor di kalangan pemimpin PR untuk pulang. Kita sangat berbesar hati atas komitmen yang diberikan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub untuk memimpin PAS di sini.

Terdapat banyak laporan negatif terhadap Wilayah Iskandar sejak mula lagi. Bagaimana saudara melihat isu Iskandar sebagai kegagalan koridor ekonomi?

Dalam laporan Star BizWeek pada 26 May 2012, dari 2008 sehingga 2012, koridor ekonomi Iskandar Malaysia (IM) hanya berjaya meningkatkan pelaburan terus asing (FDI) sebanyak RM11.38 billion walaupun dengan usaha gigih dan insentif cukai yang murah. Sebahagian besar jumlah pelaburan ini dalam pelaburan hartanah.

Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) meramalkan Iskandar Malaysia memerlukan RM383 billion pelaburan lagi untuk berjaya. Semenjak 2006, kurang dari RM38 billion pelaburan yang masuk. Dengan cara pentadbiran BN seperti sekarang, ramai pelabur masih skeptik terhadap pentadbiran Malaysia yang telus dan jujur.

Arlinda Ariff  yang merupkan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Iskandar Investment Berhad (IIB); syarikat pelaburan yang bertanggungjawab dalam membangunkan Iskandar Malaysia telah disingkirkan kerana didakwa memberi kontrak pembinaan infrastruktur kepada kaum kerabatnya sendiri. Walaubagaimanapun, masih belum ada sebarang tindakan diambil oleh SPRM atau pihak polis.

Menurut laporan akhbar The Sun, antara pertuduhan tersebut termasuklah pemberian projek kepada kaum kerabat eksekutif kanan IIB sendiri. Malah ahli perniagaan yang berkait langsung dengan BN juga tidak gembira dengan cara projek tersebut diberikan. Sejumlah besar projek tersebut telah diberikan kepda kroni kerajaan BN di peringkat pusat. Bagi pelabur asing yang turut serta, mereka cuma membeli hartanah tetapi tidak membangunkannya.

Terdapat juga isu melibatkan karenah birokrasi oleh pihak berkuasa temptan dalam pemberian lesen yang mana ia akan meningkatkan kecenderungan untuk berlakunya rasuah. Pengasingan kuasa di kalangan pihak berkuasa untuk membuat keputusan juga tidak membantu.

Jika kita tidak menukar cara mengurus kerajaan, kelihatannya agak sukar untuk mengekalkan keyakinan pelabur di Malaysia. Pelabur asing menunggu untuk peralihan kuasa kerajaan sebelum memberi komitmen untuk membangunkan apa yang telah dilaburkan.

Kita juga ada mendengar salah satu sebab kerajaan negeri gagal mencapai sasaran menarik lebih banyak pelaburan ke Iskandar adalah kerana dasar. Bagaimana pula dengan dasar buruh yang juga dilihat ‘flip-flop’?

Dasar ‘flip-flop’ kerajaan terhadap dasar mengupah buruh asing juga tidak membantu. Kita perlukan sebuah kajian dan anggaran jumlah buruh yang diperlukan bagi memenuhi keperluan dan untuk mengawal selia mereka.

Kita tidak boleh memberI layanan berat sebelah kepada mana-mana perniagaan dengan membekukan dasar buruh asing tanpa merujuk kepada kebajikan ekonomi dan sosial tempatan. Kita juga memerlukan satu dasar buruh yang stabil untuk membantu peningkatan ekonomi pada masa yang sama memberikan peluang kepada ekonomi setempat.

Johor mempunyai bilangan buruh asing yang tinggi dan tidak seimbang di Malaysia. Sekitar 15 peratus dari bilangan penduduk adalah orang asing pada masa yang sama ramai pekerja mahir kita bekerja di Singapura. Ia merupakan isu yang akan menyebabkan masalah ekonomi dan sosial dalam jangka masa yang panjang untuk Johor.

Apa pandangan saudara mengenai isu salah urus syarikat GLC negeri?

Imej kerajaan negeri tercemar dengan teruk kerana syarikat GLC kerajaan negeri menunjukkan kurangnya ketelusan dalam pemberian kontrak.

Sebagai contoh, Johor Corporation Berhad (JCorp), syarikat pelaburan utama kerajaan negeri telah menanggung hutang yang besar dari pembelian milikan saham yang agresif dan angkuh pada awal tahun 2000. Ia mempunyai RM3.2 juta hutang sehingga 2013.

Bagi memperbaiki pengaliran tunai, JCorp perlu menyusun semula pelaburan utamanya dalam KFC Holding Berhad (KFCH). QSR Berhad memiliki 50.6 peratus saham KFCH, yang mana 57.5 peratus saham QSR Berhad dimiliki oleh Kulim Berhad dan merupakan 53 peratus dimiliki oleh JCorp.

Untuk membawa KFCH lebih dekat dengan JCorp, ia perlu berhutang sekitar RM5.2 billion lagi.(The Edge, 21 Mei 2012 dan The Star, 4 Disember 2010).

Satu lagi syarikat GLC milik negeri ialah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) yang menjual milikan pelaburannya di Tebrau Teguh Berhad (TTB) tanpa tender terbuka kepada sebuah badan persendirian.TTB memiliki sejumlah RM15 billion loji penapisan dan sejumlah tanah simpanan di kawasan Tebrau di mana ia boleh dibangunkan oleh pemilik baru TTB dengan nilai yang lumayan.

Banyak urusan yang dilihat tidak telus dalam kebanyakan transaksi strategik GLC. Keputusan dan pengurusan yang boleh dipersoalkan menyebabkan negeri dan rakyatnya kerugian.

Kerajaan negeri juga gagal menguruskan syarikat GLC dengan berhemah. Sebagai contoh ialah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ). Dalam tahun 2008, sebanyak RM73 juta pelaburannya tidak boleh dikira kerana sejumlah RM14 juta pelaburan anak syarikatnya tidak diaudit.

Kerajaan BN negeri Johor perlu membersihkan dan mereformasikan cara mereka menguruskan syarikat GLC negeri. Mungkin ada sebahagian dari pemimpin BN mahu memperbetulkan keadaan dengan tetapi khuatir kemungkinan akan wujud tindak balas politik sekiranya mereka mendedahkan terlalu banyak cacat cela pengurusan kepada rakyat. Ramai kroni tidak bersedia untuk meninggalkan cara lama kerana terlalu banyak yang dipertaruhkan.

Selain isu syarikat GLC, bagaimana dengan kedudukan kewangan dan ekonomi Johor secara keseluruhannya?

Kedudukan kewangan negeri Johor dalam keadaan yang tidak terurus. Ia mempunyai hutang terkumpul sebanyak RM1.38 billion dan sekurang-kurangnya menanggung RM700 juta hutang semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri besar. Sejumlah besar hutang ini digunakan untuk pembinaan infrastruktur pemprosesan air.

Syarikat Air Johor (SAJ), syarikat GLC yang bertanggungjawab menguruskan air negeri Berjaya mengurangkan kadar air tidak terhasil dari 49 peratus kepada 29 peratus.

Dalam waktu ini, tarif air di Johor telah meningkat beberapa kali. Dan sekarang ia tiga kali lebih tinggi dari Pulau Pinang dan paling tinggi di seluruh negara. Dengan keuntungan yang baik, kita tertanya-tanya mengapa Johor tidak boleh membayar hutangnya yang melibatkan air tersebut?

Malah sekarang, SAJ telah diserahkan kepada agensi air kerajaan persekutuan iaitu Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Sumber air merupakan salah satu dari bidang kuasa kerajaan negeri yang mana ia mempunyai kedaulatan ke atasnya. Dengan penyerahan kuasa ini, nampaknya kuasa pusat semakin meluas. Ia merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat.

Pengurusan tunai kerajaan negeri yang lemah merupakan satu lagi contoh yang ketara. Sebagai perbandingan, dari Mac 2008 hingga 2010, rizab tunai Selangor meningkat dari sekitar RM400 juta kepada RM918 juta pada 2010.

Dari 2007 ke 2010, rizab tunai Johor mencatatkan kejatuhan dari RM100 juta kepada RM38 juta. Di manakah akauntabiliti kerajaan negeri?

Kerajaan negeri juga dengan angkuh dan sewenang-wenang telah  melanggar amalan parlimen komanwel di mana satu mesyuarat Jawatankuasa Peraturan dan Perintah tetap telah diadakan di Kuala Terengganu pada April lalu. Speaker negeri menjawab pertanyaan saya dengan mengatakan tindakan tersebut merupakan hak istimewanya di mana ia difikirkan perlu. Persoalannya, apakah motif mesyuarat perundangan negeri diadakan di negeri lain? Adakah kita kerajaan dalam buangan?

Selain isu pengambilan tanah yang hangat diperkatakan di Johor sekarang, apa lagi isu yang dilihat perlu diketengahkan dan ia juga membebankan rakyat Johor?

Satu lagi isu yang membebankan rakyat ialah kutipan tol yang tidak adil. Setiap hari, sekitar sepuluh ribu rakyat Malaysia akan menyeberangi Tambak (Causeway) untuk bekerja di Singapura, belajar dan membeli belah. Sejumlah besar mereka melalui pihak Kompleks Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Iskandar.

PLUS telah mengutip tol di CIQ Iskandar sejak tahun 1990. Dianggarkan di antara RM876 juta dan RM1.32 billion telah dikutip oleh PLUS tanpa memperbesarkan lebuh raya dari CIQ Iskandar.

Tol sepatutnya dipungut oleh pihak penyelenggara Causeway yang telah dibina oleh British sekitar 1930-an. Sekarang, selepas pembinaan Eastern Dispersal Link (EDL), PLUS pula akan mengenakan tol ke atas pengguna yang meninggalkan CIQ dan menggunakan EDL untuk ke bahagian lain Johor Bahru.

Pada peringkat permulaan, kadar tol yang dicadangkan ialah RM6.20 sehala yang membawa purata 76 sen per kilometer di mana ia lebih tinggi dari DUKE, AKLEH atau PLUS. Akibat dari protes dan tekanan orang awam, kutipan tol bagi EDL telah ditangguhkan kemungkinan sehingga selepas pilihan raya umum akan datang.

Ramai yang bekerja di Singapura telah menderita akibat kemelesetan dan kelembapan ekonomi Singpura serta levi buruh yang semakin meningkat. Pengutipan tol ini akan menjejaskan pendapatan mereka dengan ketara.

Berbalik kepada persediaan pilihan raya, kerjasama DAP dan PAS sangat baik dan dikatakan dicemburui UMNO-BN. Boleh saudara jelaskan?

Dalam pilihan raya umum akan datang, PAS telah memberi laluan kepada DAP di Tenggaroh untuk bertanding. Ia merupakan kawasan luar Bandar yang mempunyai majoriti Melayu yang terdiri dari ramai peneroka FELDA. Ini merupakan satu langkah yang sihat untuk PR dimana DAP berusaha untuk bertanding di kawasan luar tradisinya.

Kami telah menubuhkan sebuah cawangan berhampiran kawasan tersebut untuk memudahkan urusan disana. Malah pengundi dilihat semakin dekat dengan PR. Kami pernah mengadakan ceramah di sebuah tokong Cina berhampiran Endau baru-baru ini dan mencatatkan lebih kurang 3,000 orang hadirin, dan ramai di kalangan orang Melayu hadir untuk mendengar.

DAP menghargai PAS kerana sama-sama turut membantu dalam membawa imej Malaysia. Sama ada menang atau kalah itu perkara kedua, ia akan membantu PR meningkatkan imej masyarakat majmuk.

Saya juga sering memperingatkan pimpinan PAS tempatan agar mereka menjadi pemimpin kepada semua rakyat, termasuk kepada yang  bukan Muslim . Begitu juga ingatan saya kepada pimpinan DAP supaya menjadi pemimpin untuk semua kaum, termasuk orang Melayu.

Apa persediaan khusus PR khasnya dari DAP sekiranya berjaya membentuk kerajaan baru?

Bagi persediaan kemungkinan mengambil alih kerajaan negeri dalam pilihan raya yang akan datang, PR akan mengendalikan dan menambah skuad sukarela bagi pemantauan dokumen dan aset jabatan-jabatan kerajaan negeri serta membuat persediaan kawalan keselamatan kepada pimpinan kita. DAP akan mula menyusun skuad sukarelanya dalam masa terdekat ini.

Pimpinan PR Johor sentiasa berhubung antara satu sama lain dan mempunyai hubungan kerja yang baik sejak tahun 1990. Kami memerlukan antara satu sama lain untuk lebih kuat. Kita perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan parti untuk bekerjasama. Lihat dengan gambaran yang lebih luas, letakkan kepentingan rakyat di hadapan.

Kita perlu bertanya apa yang rakyat mahu dan rakyat tidak mahu. Bukan kita yang tentukan apa yang rakyat mahu. Kita benar-benar mahu amalkan demokrasi, iaitu suara rakyat.

Kita perlu lebih banyak berbincang dalam merencanakan manifesto dan dasar bersama. Kita perlu merujuk kepada manifesto yang dipersetujui bersama dalam Dasar Bersama serta Buku Jingga sebagai panduan. – Roketkini.com