Berita

Mengapa pengundi Cina tidak akan menjadi faktor penentu dalam PRU13

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Kaum Cina Malaysia bukan faktor penentu atau kingmaker dalam pilihan raya umum ke-13 kerana bilangan pengundi dari kalangan etnik itu tidak membolehkan mereka menentukan keputusan pilihan raya.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, hanya 34 yang mempunyai komposisi pengundi kaum Cina sebagai majoriti.

Menurutnya, jika pun Pakatan Rakyat menyapu bersih kesemua undi kaum Cina bagi kerusi-kerusi tersebut, ia hanya mewakili 15% daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen.

Katanya, bagi 55 kerusi Parlimen lagi di mana pengundi Cina membentuk 30% hingga 50% bilangan pengundi, jika pun Pakatan Rakyat memperolehi 80% undi kaum Cina bagi kerusi-kerusi itu, ia masih memerlukan di antara 35% dan 40% sokongan  kaum lain untuk memenangi kerusi-kerusi tersebut.

“Ini bererti hanya ada 89 kerusi Parlimen yang mempunyai pengundi kaum Cina yang membentuk 30% jumlah keseluruhan pengundi.

“Andai kata Pakatan Rakyat memenangi kesemua kerusi Parlimen ini, ia hanya akan membentuk 40% jumlah kerusi Parlimen, yang jelas tidak cukup untuk mencapai bilangan majoriti kerusi Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur menjelaskan perkara itu sebagai respon kepada kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada Khamis lalu bahawa pengundi Cina akan menjadi faktor penentu dalam PRU13.

Beliau menjelaskan bahawa Mahathir sengaja bermain politik perkauman kerana sedar Barisan Nasional telah ditolak dalam keadaan di mana kawasan pengundi adalah majoriti Melayu serta kawasan “campuran” kaum yang dahulunya kubu kuat BN.

Sebagai contoh, katanya, dalam PRU 2008, gabungan majoriti pengundi Melayu dan bukan-Melayu telah menolak BN di kerusi majoriti Melayu seperti Pokok Sena dan Kuala Kedah di Kedah, Parit Buntar dan Bagan Serai di Perak, Shah Alam dan Kota Raja di Selangor dan Titiwangsa di Kuala Lumpur.

Manakala majoriti pengundi Melayu dan bukan-Melayu juga telah menafikan mandat BN dalam kerusi campuran seperti di Padang Serai di Kedah, Bayan Baru dan Nibong Tebal di Pulau Pinang dan Bandar Tun Razak di Wilayah Persekutuan.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak 2011, majoriti pengundi Cina dan pengundi bukan-Cina, khususnya Iban, dalam kawasan kerusi DUN Kidurong telah menolak BN yang membawa kepada kemenangan bersejarah dengan majoriti 7,000 undi bagi calon DAP Chew Chin Sing.

“Dengan taktik mengapikan-apikan isu perkauman, Mahathir kini menggunakan cara lama untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang sudah serik dengan korupsi, kronisme dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan BN.

“Pilihan raya umum yang akan datang adalah satu peluang bagi semua rakyat Malaysia untuk memahat sejarah bersatu padu dan menghantar mesej yang jelas untuk menamatkan 54 tahun pemerintahan rakus BN dan memberi mandat kepada kerajaan baru Pakatan Rakyat,” kata Kit Siang.

Menurutnya, mandat kepada kerajaan baru adalah penting untuk melindungi hak, kebebasan dan kebajikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira sama ada orang Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan. – Roketkini.com