Berita

UMNO gagal bela kontraktor Bumiputera, Bank Negara disaman RM131.9 juta

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Kerajaan pimpinan United Malays National Organisation (UMNO) terbukti gagal membela nasib usahawan Bumiputera apabila sebuah syarikat kontraktor Melayu berhadapan risiko diisytihar muflis akibat dakwaan salah urus Bank Negara.

Syarikat tersebut, H & I Niaga Sdn. Bhd. melalui pengarah-pengarahnya Datuk Ismail Mohd Hashim dan Ir Amerudin Ismail, telah memfailkan saman terhadap Bank Negara sebanyak RM131.9 juta pada 20 Jun 2012, untuk bayaran-bayaran tertunggak, tuntutan lanjutan masa dan kerosakan.

Saman dan pernyataan tuntutan tersebut menamakan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (Gabenor Bank Negara), Datuk Zamani Abd Ghani (Timbalan Gabenor bank Negara) dan Datuk Mohd Nor Manshor (Penolong Gabenor Bank Negara) sebagai defendan-defendan.

H&I Niaga Sdn. Bhd. adalah syarikat yang bertanggungjawab terhadap kejayaan projek pembinaan bernilai RM460 juta di seluruh negara termasuk Kompleks Kejuruteraan untuk Institut Teknologi Mara Shah Alam bernilai RM164.7 juta, perumahan kos rendah bagi Syarikat Perumahan Negara berhad (SPNB) bernilai RM56.7 juta, serta projek-projek untuk Universiti Malaya, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Belia dan Sukan dan juga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Syarikat ini juga telah diiktiraf sebagai ‘Kontraktor Wibawa’ oleh Persatuan Kontraktor Bumiputera dan merupakan sebuah kontraktor kelas A yang mempunyai rekod kerja dan reputasi yang baik.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang mempengerusikan sidang media bersama pengarah syarikat tersebut berkata bahawa Bank Negara bukan sahaja telah mengakibatkan kerugian besar kepada sebuah syarikat yang jujur, malah telah memusnahkan segala yang dibina oleh syarikat Bumiputera itu selama lebih 24 tahun lalu.

Katanya, Bank Negara telah menganugerahkan melalui tender terbuka projek pembinaan Financial Services Resource Centre (FSRC) pada 14 September 2005. Projek ini sepatutnya disiapkan dalam tempoh 22 bulan tetapi mengalami kelewatan kerana Bank Negara didakwa  gagal untuk membuat beberapa keputusan dan arahan segera terhadap beberapa perkara penting.

“Ismail dan Amerudin telah berhempas pulas untuk mengambil setiap langkah yang perlu bagi memastikan projek FSRC itu disiapkan, walau pun terpaksa menanggung sendiri kos tambahan puluhan juta ringgit untuk berhadapan dengan penangguhan yang disebabkan pengurusan Bank Negara” ujarnya.

Menurut Ismail dan Amerudin, projek FSRC itu sudah pun siap 97 peratus, dan Bank Negara juga telah berjaya mengadakan Persidangan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam pada 23 November 2009.

Dalam pertemuan bersama Zeti, Zamani dan Mohd Nor, kedua-dua mereka mendakwa bahawa pihak Bank Negara menjamin untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan syarikat kontraktor Bumiputera tersebut menerima bayaran yang sepatutnya.

Sebaliknya, menurut mereka, pada 27 April 2010, Bank Negara telah menamatkan kontrak dengan H&I dan membuat keputusan untuk melantik kontraktor lain untuk menyiapkan baki tiga peratus kerja yang belum selesai, sambil tetap menggunakan sub kontraktor yang serupa.

Mengenai sama ada H&I mempunyai sebarang pertalian dengan UMNO, Ismail dan Amerudin  menafikannya dengan menjelaskan bahawa kontrak-kontrak tersebut diperolehi melalui tender terbuka.

“Kalau mereka ada pertalian dengan UMNO, tentulah mereka tidak datang mencari DAP untuk membela nasib mereka sekarang,” tambah Pua pula. – Roketkini.com