Berita

Teater Beng Hock: Mengapa polis ganggu penerbitnya?

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Tindakan polis memanggil penerbit teater “Beng Hock”,  Faisal Mustafa, ke Balai Polis Jinjang pada 3 Julai lalu menimbulkan tanda tanya ramai pihak. Ini kerana pementasan tersebut tidak memerlukan permit polis kerana ia dipentaskan secara percuma di tempat persendirian.

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching, kepada pemberita dalam sidang medianya, pihak polis tidak mempunyai apa-apa alasan untuk menghalang teater ini dipersembahkan kepada umum selagi ia tidak menyalahi undang-undang.

Beliau difahamkan bahawa Faisal telah menerima panggilan dari Balai Polis Jinjang untuk ke sana jam 2.30 petang 3 Julai lepas manakala seorang pegawai yang bekerja di tempat teater itu bakal dipentaskan KLPAC juga menerima panggilan sama tetapi tidak dipanggil ke balai.

“Manuskrip lengkap bagi pementasan tersebut serta senarai nama yang terlibat bagi pementasan ini telah diserahkan pada kepada pihak polis. Walau bagaimana pun tiada sebarang kenyataan rasmi yang diambil oleh pihak polis,” tambahnya.

DAP mempersoal tindakan polis yang dilihat percubaan mengganggu persiapan pementasan yang hampir siap untuk dipentaskan bermula esok di KLPAC yang dijadualkan bermula jam 8.30 malam.

“Seharusnya pihak berkuasa perlu memberikan perhatian untuk menjaga keamanan dan keselamatan rakyat dengan membanteras jenayah, bukan membuang masa untuk mengganggu orang mementaskan karya seni,” katanya.

Untuk info lanjut mengenai pementasan ini sila layari blog [email protected], facebook: Rumah-Anak-Teater atau Twitter: #BENGHOCK atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi 012-2290944. – Roketkini.com