Rencana

Tariq Ramadan: Mengapa nafikan hakikat dan kebenaran? – Oleh Syukri Shairi

Sapaannya mudah. Bahasanya rapi, selari dengan mesejnya yang dekat. Tariq Ramadan adalah seorang yang sedar – sedar akan hakikat konteks dirinya, sedar akan berat isu yang merangkuminya. Beliau seorang yang realis. Lebih penting lagi, Tariq Ramadan adalah seorang yang yakin, dan keyakinan inilah yang mendorong idea-idea reformisnya menuju hanya ke satu arah: ke lapangan progresif.

Tawarannya jelas. Keyakinan hanya akan membuka jalan ke arah pembinaan diri, lantas membenarkan lebih banyak keterbukaan dalam pertukaran pendapat. Bukalah diri kepada dunia, pintanya, kerana hanya dengan minda yang terbuka, ruang untuk menyapa rasa rendah diri bakal wujud.

Jika dikupas, ini adalah ajakan yang sangat pemurah. Jika dikupas, kombinasi keyakinan dan rendah diri inilah yang seterusnya menjadi titik tolak kepada pemantapan hubungan sesama insan, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat majmuk – masyarakat yang sarat dengan kepelbagaian latar belakang, keturunan dan agama. Lebih-lebih lagi untuk Malaysia, tegas Tariq, kepelbagaian ini adalah hakikat yang sama sekali tidak boleh dielakkan.

Terima, nafi dan keliru

Bagaimanakah Malaysia menangani hakikat ini? Malangnya, melihat ke masa lampau, seringkali kita mengambil perbezaan yang timbul hasil dari pertembungan budaya dengan menggunakan pendekatan yang cenderung negatif. Kes penggunaan kalimah ‘Allah’, pencetakan Injil berbahasa Melayu, tentangan terhadap pembinaan rumah-rumah ibadat, pengharaman buku-buku dan perkara-perkara yang dianggap ‘menyelewengkan akidah’ – dialog dan perbincangan nampaknya ditakuti, manakala larangan dan sekatan semakin menjadi langkah penyelesaian yang lebih ideal.

Atas dasar takut, tidak yakin, dan tentu sekali tanpa rasa rendah diri, kekuasaan yang terletak pada tangan majoriti Muslim di Malaysia telah disalurkan dengan bertujuan menyorok dan menafikan perbezaan semata-mata.

Situasi in denial ini sama sekali merugikan, apatah lagi jika kekuasaan bersifat negatif ini disokong bukan sahaja golongan pemerintah, malah diterima oleh masyarakat sebagai satu kebiasaan. Politik slogan dibiarkan berleluasa, manakala perdebatan intelek dan penekanan pada penggubaln polisi kurang diberi perhatian.

Hasilnya, perbezaan dan kepelbagaian dilihat sebagai beban, maka adalah lebih baik untuk mengelak, menghapuskan dan melupakan terus apa, atau siapa, yang ‘berbeza’ atau ‘lain’ dalam masyarakat. Corak pemikiran sebegini hanya bakal menyuburkan benih paranoia – sekiranya berlarutan, akan sedia melambatkan langkah dalam mengecapi kemajuan menyeluruh.

Mudaratkah pluralisme?

Melihat kepada perkara ini, ujar Tariq dalam satu wawancara dengan Roketkini di Pulau Pinang baru-baru ini, pluralisme tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang memudaratkan.

Rasa hormat, dan kesedaran untuk menerima hakikat kepelbagaian manusia adalah relevan untuk menjadi tunjang dalam menangani pluralisme. Kita diingatkan bahawa, terutamanya dalam konteks masyarakat plural, rasa hormat dan penerimaan terhadap kepercayaan lain tidak sepatutnya membawa kepada tindakan meremehkan atau merendahkan kemaslahatan agama atau kepercayaan sendiri.

“Bahkan, perihal tersebut seharusnya memperkasakan lagi kefahaman kita terhadap apa yang kita percayai. Tidak semestinya dengan mengatakan ‘saya hormat orang Kristian’ atau ‘saya hormat orang Cina’ akan mencetuskan penjejasan dan kekurangan budaya pada mana-mana pihak, apatah lagi terhadap kepercayaan diri sendiri.

“Malahan, ianya adalah mesej yang terbaik yang dapat disampaikan seorang warga Muslim kepada seorang warga berkepercayaan lain – bahawa kita tidak takut antara satu sama lain. Akhirnya, semuanya berbalik kepada soal keyakinan dan rasa rendah diri dalam individu,” kata beliau.

Merungkai dengan lebih dalam hujah-hujahnya, Tariq percaya bahawa tiada keuntungan akan diperoleh sesiapa pun sekiranya semua pihak mengambil jalan pasif dan memencilkan diri dalam menangani kepelbagaian. Langkah yang terbaik adalah dengan mengenalpasti titik rujukan dalam kelainan yang membanjiri pemikiran manusia, dan seharusnya proses pertukaran pendapat, diskusi yang membina, dan seterusnya penambahbaikan sosial boleh bergerak dari titik tersebut ke arah yang lebih produktif.

Tawaran-tawaran ini seeloknya diterima dan difikirkan oleh rakyat Malaysia, baik Muslim mahupun rakan-rakan dari kepercayaan lain. Peluang untuk pemantapan budaya yang berakar umbikan kepelbagaian yang telah lama kita warisi ini tidak sepatutnya mendapat layanan enteng.

Minda terbuka, umat nikmati hasil yang halal

Bayangkanlah apa yang akan dapat dihasilkan oleh daya kreativiti dan upaya imaginasi masyarakat sekiranya peluang untuk mara dengan keterbukaan fikiran tidak disia-siakan. Bayangkanlah apa yang bakal dicapai oleh masyarakat seluruhnya sekiranya ruang dialog dibuka dan darjah kefahaman terhadap cara hidup dalam struktur masyarakat plural bertambah dengan sihat.

Sekurang-kurangnya ramai yang telah bersetuju bahawa semua proses ini akan mustahil tanpa pengukuhan dalam praktis pendidikan di samping pengamalan prinsip-prinsip yang lebih membina dalam struktur pentadbiran. Pokoknya adalah pemahaman yang lebih mendalam dan tegar terhadap konsep dan nilai-nilai yang boleh digarap daripada sistem kepercayaan yang telah tersedia.

Adalah penting, menurut Tariq, terutamanya bagi Muslim, untuk pulang kepada asas kepercayaannya yang bertaut pada kasih sayang dan rasa murah hati.

“Hakikat bahawa kita seharusnya mengurangkan kekerapan dalam usaha untuk semata-mata melarang, ‘prohibit’, harus disedari, dan sebaliknya kepelbagaianlah yang sentiasa wajar dirai, di samping meletakkan fokus selari dengan usaha untuk membenarkan, ‘permit’, kepada jalan-jalan yang menawarkan pembebasan pemikiran,” katanya.

Hakikatnya, yang berbeza-beza di kalangan manusia adalah idea, dan cara menangani idea boleh dicipta, dipupuk, diubah. Idea-idea ini kemudiannya berpeluang diolah, didalami, dipercayai, lalu ditukarkan kepada perbuatan-perbuatan yang menyokong idea-idea tersebut. Proses ini seharusnya melalui tahap-tahap yang sihat, dan berbekalkan keyakinan, rasa rendah diri dan keperluan untuk menghormati dan menilai idea-idea lain, produk dari kepelbagaian ini sewajarnya mengarah ke yang lebih baik.

Sapaan-sapaan ini nampaknya mesra, ringkas namun penuh dengan ajakan ke arah perubahan. Sekilas dengar, mesejnya juga menghidangkan cabaran kepada audiensnya. Apa pun persepsinya, hadirnya Tariq Ramadan dalam kalangan rakyat Malaysia telah menyajikan jemputan untuk berfikir dan melihat semula hubungan sesama kita dalam sudut pandang yang lebih ke hadapan.

Adakah kita bersedia membuang rasa sangsi dalam mencerna kepelbagaian demi menghasilkan produk budaya yang lebih positif lagi progresif, atau sebaliknya?

Keputusan sentiasa di tangan kita. – Roketkini.com