Berita

Tukar Jalur Gemilang satu dakwaan ‘gila’

KUALA LUMPUR 3 SEPTEMBER: DAP hari ini menolak keras dakwaan UMNO-BN bahawa Pakatan Rakyat mahu bendera kebangsaan Jalur Gemilang ditukar jika diberi mandat menerajui negara.

Menyifatkan ia merupakan sebuah dakwaan ‘gila’, Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke berkata bahawa ini adalah satu fitnah besar terhadap Pakatan Rakyat katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Loke, “Serangan jahat oleh Perdana Menteri dan beberapa orang menteri kabinet memainkan isu menukar Jalur Gemilang menunjukkan UMNO-BN semakin terdesak.”

Oleh yang demikian Ahli Parlimen Rasah itu berkata UMNO-BN perlu melakukan penipuan demi penipuan untuk menakutkan rakyat bagi menagih semula sokongan rakyat terhadap mereka.

“Ini menandakan UMNO-BN jelas cemas bahawa mereka kemungkinan ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya akan datang.”

Semalam Perdana Nenteri Najib Razak bersama tiga orang menteri UMNO, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapha Mohamed dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Noh Omar telah menyerang Pakatan Rakyat dengan mengatakan desas-desus bahawa Pakatan Rakyat akan menukar Jalur Gemilang.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, beliau sependapat bahawa tuduhan ini tidak lain merupakan sebuah tindakan terdesak UMNO-BN menghadapai pilihanraya umum akan datang.

“Dengan segala sumber risikan yang ada dan pihak polis, saya tidak percaya bahawa Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak menyedari bahawa dakwaan yang dilemparkan tersebut benar-benar tidak berasas.”

Jelas beliau, penukaran bendera kebangsaan juga bukan agenda dan tidak pernah pun dibincangkan dalam sebarang mesyuarat Pakatan Rakyat.

“Saya tidak sangka pemimpin UMNO begitu terdesak menagih sokongan rakyat seolah-olah ia dibuat seperti “arahan tuhan” untuk menuduh Pakatan Rakyat tidak setia dan anti-nasional dengan menipu dan menyebar tuduhan seperti ingin memansuhkan institusi beraja dan menukar Malaysia kepada sebuah republik.

Menegaskan kenyatannya, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata Pakatan Rakyat, melalui pengumuman pelbagai dasar, termasuk Dasar Kerangka Kerja Pakatan Rakyat pada Disember 2009 dan Buku Jingga pada Disember 2010 telah mengulangi komitmen untuk menegakkan prinsip asas Perlembagaan Malaysia, khususnya “untuk mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan.

Najib perlu diingatkan bahawa “Menghentikan politik kotor” merupakan salah satu dari tuntutan Bersih 2.0 tambah Kit Siang.

“Adakah Najib bersedia untuk menjadi pemimpin yang diteladani bagi memastikan pilihanraya yang bersih, bebas dan adil atau beliau sendiri kan menerjui “pilihanraya paling kotor” dalam sejarah negara?”-Roketkini.com