Berita

DAP gesa tubuh RCI siasat dana asing untuk UMNO Sabah

KUALA LUMPUR 14 OKTOBER: DAP menggesa kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat pendedahan gempar sebelum ini mengenai penyeludupan dana asing oleh UMNO.

Ia rentetan isu “sumbangan dana politik” RM40 juta untuk UMNO Sabah yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah Musa Aman.

Memberi respon terhadap isu ini, Najib sebelum ini dilaporkan berkata, “Semua pihak mempunyai hak untuk menerima dana politik dan “selagi ia melalui saluran yang betul.”

Dalam kenyataannya kepada media, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata  wang tersebut diseludup masuk secara tunai oleh ahli perniagaan Michael Chia sebelum beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong atas dakwaan penyeludupan dan pengubahan wang.

“RM40 juta itu bukan bersih tetapi wang kotor,”

“Sebagai pihak yang berkepentingan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden UMNO perlu menubuhkan RCI  bagi menjalankan siasatan kemasukan wang dari Hong Kong itu, sekali gus membersihkan nama mereka dan Malaysia.” katanya

Justeru yang menimbulkan persoalan ujar beliau ialah apakah  SPRM dan Peguam Negara yang diberi kuasa untuk menyiasat dan mendakwa perlu mendapat “lampu hijau” dari Perdana Menteri untuk menjalankan siasatan?

“Perkara ini akan menunjukkan sama Najib benar-benar serius melawan rasuah yang secara jelas rasuah besar melibatkan pimpinan tertinggi politik.”

Sebelum ini Najib juga didesak untuk menyiasat isu rasuah besar Taib Mahmud dan Tan Sri Gani Patail tetapi tidak menunjukkan sebarang perkembangan.

Dalam Belanjawan 2013 kerajaan baru-baru ini, Najib telah memperuntukkan sebanyak RM276 juta kepada SPRM bagi membanteras rasuah dan memperbaiki Indeks Persepsi Rasuah negara.

Najib mengumumkan bahawa kerajaan juga bersetuju untuk membuka 150 lagi perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai jumlah 5,000 anggota yang disasarkan SPRM.-roketkini.com