Berita

Islamisasi Pulau Pinang: Teng Chang Yeow dedah belang perkauman.

GEORGE TOWN, 6 DISEMBER: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kelihatan bersusah payah menyampaikan mesej politik bercampur-campur mengenai Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat pimpinan Lim Guan Eng.

Terbaru, Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow pula bertanya sama ada negeri itu sedang menuju ke arah Islamisasi.

Teng dilaporkan mempersoalkan kemungkinan itu berikutan peruntukan hal ehwal agama Islam yang meningkat sebanyak 300 peratus berbanding ketika Pulau Pinang diperintah BN.

Menurut laporan Malaysiakini, Teng berkata pada majlis makan malam anjuran MCA di Bagan, kawasan Parlimen yang diwakili Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa, “Lim lebih takut kepada PAS. Mereka hanya menang satu kerusi di Pulau Pinang, kenapa mereka perlu takut (kepada PAS) seperti ini?”.

Sambil merujuk kepada peruntukan untuk hal ehwal Islam, Teng berkata, “Ketua Menteri Lim Guan Eng selalu mengusik pemimpin sebelumnya Koh Tsu Koon takut kepada UMNO tetapi ketika pentadbiran (Koh) tidak ada begitu banyak peruntukan untuk majlis agama Islam.”

Menurut CEO Penang Institute, Zairil Khir Johari, kenyataan Teng ini mendedahkan belang sebenar beliau.

“Beliau sanggup memperlekehkan agama persekutuan hanya untuk kepentingan politik. Inilah taktik BN selama ini; menggunakan isu perkauman dan agama secara selektif untuk melaga-lagakan rakyat,” kata beliau melalui wawancara telefon, sambil mengucapkan tahniah kepada Teng keran berani menonjolkan belang perkaumannya.

“Melayu Pulau Pinang harus bertanyakan sama ada mereka mahukan Ketua Menteri yang sanggup memperlekehkan agama,” ujar beliau lagi.

Zairil yang juga Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menambah bahawa langkah Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan berkali ganda untuk hal ehwal agama Islam adalah langkah yang baik dan harus dilakukan untuk menaikkan martabat agama persekutuan.

Ditanya mengenai jika orang Melayu Pulau Pinang wajar bersyukur dengan langkah Kerajaan Negeri, Zairil berkata, “Untung atau tidak, Melayu Pulau Pinang sendiri boleh mengiranya. Tidak pernah ada begitu banyak peruntukan atau program dilakukan untuk memartabatkan Islam sepertimana yang dilakukan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat.” – Roketkini.com