Berita

MCA beli tanah murah, dapat pampasan mahal

KAJANG, 7 DISEMBER: Selepas Barisan Nasional  (BN) Selangor diasak dengan persoalan mengenai pemilikan tanah pada harga terlalu murah ketika ia masih berkuasa. kini satu lagi pendedahan di Kajang oleh Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching.

Kali ini Nie Ching mendedahkan bahawa tanah seluas 6,900 kaki persegi yang terletak di kawasan komersil di tengah bandar Kajang ‘dibeli’ MCA Hulu Langat pada Januari 2001 juga dengan harga RM1 sekaki persegi.

“Lebih memeranjatkan apabila tanah itu kini diambil pula oleh Kerajaan Persekutuan untuk projek MRT dengan bayaran pampasan kepada MCA dengan satu jumlah yang tidak diketahui,” katanya pada sidang media, hari ini..

Nie Ching juga menuntut MCA melalui pimpinannya termasuk Presidennya, Chua Soi Lek, Donald Lim dan terutamanya Chua Tee Yong untuk menjelaskan kepada umum bagaimana MCA dapat memiliki lot tanah itu pada harga yang terlalu murah dan berapa pula pampasan yang dibayar Kerajaan Persekutuan kepada mereka.

Menurut Nie Ching, pampasan yang perlu dibayar untuk pengambilan balik tanah oleh kerajaan harus mengikut harga pasaran semasa.

“Sewaktu tanah itu dibeli MCA, mereka sekadar membayar RM1 sekaki persegi.
“Pampasan yang mereka dapat daripada Kerajaan Persekutuan adalah keuntungan yang mereka perolehi,” katanya.

Daripada 24 bidang tanah yang didedahkan dibeli pada harga murah oleh parti komponen BN Selangor, lima daripadanya didaftarkan milik MCA.

“Berapa banyak lagi tanah yang diberi kepada ahlinya, kita tidak tahu,” ujar Nie Ching lagi sambil menambah bahawa tapak itu kini sedang dibina bangunan pejabat MCA Hulu Langat dan bukan untuk dibina tadika atau dewan orang ramai seperti yang didakwa.

“Kalau DAP, PKR atau PAS mahu membeli tanah, kita mesti mengeluarkan wang sendiri dan membayar harga pasaran. Kenapa MCA dapat membeli tanah berkenaan pada harga yang begitu murah untuk kegunaan sendiri dan bukan untuk kegunaan awam?” soal Noe Ching, sambil menuntut supaya bayaran pampasan yang diberi Kerajaan Persekutuan dikembalikan kepada rakyat.

Turut hadir sama dalam sidang media itu adalah Ahli Majlis MPKj, Lee Kee Hiong. Beliau memberitahu bahawa bangunan MCA yang sedang dibina itu tidak mendapat kelulusan MPKj dan diarahakan berhenti sebaik sahaja tanah itu mahu diambil untuk projek MRT.

Ditanya mengenai pampasan yang mungkin diberi kepada MCA, beliau memberi perbandingan Bangunan Dewan Perbandaran MPKj yang terletak berhadapan tapak milik MCA itu memohon RM16 juta sebagai pampasan lantaran projek MRT berkenaan. – Roketkini.com