Berita

Bukti Kerajaan PR Selangor mampu siapkan projek rumah terbengkalai ditinggalkan BN selama 20 tahun

SELAYANG, 4 JAN: Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor berjaya menyiapkan projek penempatan semula penduduk Bukit Botak yang terbengkalai dan gagal diselesaikan Kerajaan BN selama 20 tahun memerintah negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, projek perumahan itu dijangka siap sepenuhnya Mac ini dengan dilengkapi tapak masjid, tapak tadika dan kawasan rekreasi.

“Ini adalah bukti kerajaan PR negeri Selangor komited membela hak rakyat.

“Bila kerajaan negeri cadang menyelesaikan projek itu pada 2008, mereka pada mulanya tidak percaya kerana tertipu oleh kerajaan terdahulu yang meminta mereka menandatangani untuk beri hak kepada pemaju yang akhirnya tanah itu tergadai.

“Sekarang rumah itu sudah siap dan surat rasmi diberi, rakyat mula yakin kerajaan negeri mampu mengotakan janji. Kita mengucapkan terima kasih kepada rakyat atas keyakinan mereka terhadap kerajaan negeri,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Tawaran Rasmi tapak perumahan kepada penduduk Bukit Botak, semalam.

Pada majlis itu, Abdul Khalid turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Pejabat Daerah Gombak dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di atas usaha mereka melaksanakan projek itu sehingga berjaya.

Bagi EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah, masalah perumahan di Bukit Botak cuma memperlihatkan kerajaan BN sekadar menabur janji manis.

“Penduduk tertipu. Ia bukan satu masa yang singkat. Selepas PR mengambilalih pentadbiran Selangor, kita cuba sebaik mungkin menyelesaikan masalah itu,” katanya ketika dihubungi.

Kerja membina 1,422 unit rumah berkembar di kawasan seluas 66 hektar di Bukit Botak bermula setelah kerajaan PR Selangor mengambilalih tanah dan projek itu daripada swasta pada September 2010.

Sehingga kini, 1,020 pemohon disahkan layak memiliki rumah di Bukit Botak manakala 400 pemilik lain sedang melalui proses kelayakan yang diuruskan Pejabat Tanah Gombak.

Rumah berkembar bagi unit standard ditawarkan pada harga RM99,000 bagi setiap unit dan dibina dengan rekabentuk moden berkeluasan 850 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Biarpun hanya satu penggal mentadbir Selangor, sehingga kini 29 peratus daripada 49,451 unit perumahan terbengkalai yang ditinggalkan kerajaan UMNO-BN sebelum ini berjaya disiapkan. -Roketkini.com