Wawancara

“Rakyat itu tuan” – Teo Kok Seong

Profil
Nama : Teo Kok Seong
Umur : 33 tahun
Jawatan : Ahli Dewan Undangan Negeri Bahau (N8) Negeri Sembilan
Jawatan dalam parti: Ketua Pemuda DAPSY
Pengalaman: Pegawai Pemasaran Antarabangsa Kolej Stamford
Pendidikan: Master of Business Administration, Universiti Tun Abdul Razak

Dalam usia awal 30-an serta sudah berumahtangga, Teo Kok Seong mempunyai pelbagai pengalaman sebagai tokoh muda yang boleh dikongsi dengan golongan muda yang berminat untuk menceburi bidang politik. Ikuti wawancara khas wartawan Roketkini.com, Hafiz Zainuddin mengenali dan mengintai sudut pandang dari pengalaman beliau menempuh rintangan dalam perjuangan demi Malaysia tercinta. Foto oleh Wira Andika.

Bila saudara mula menceburi bidang politik?
Saya menyertai parti sejak tahun 2002, selepas tamat belajar di universiti dan pada tahun 2008 saya dipilih menjadi calon pilihanraya dan memenangi kerusi DUN Bahau.

Sejak bila dan faktor yang menarik saudara untuk berpolitik?
Memang sejak saya masih belajar, saya sudah mula aktif dengan politik dalam kampus. Dan ketika itu, kita pun sudah tahu ramai pemimpin-pemimpin parti oposisi dipenjarakan seperti Lim Guan Eng, Karpal Singh,dan lain-lain semata-mata mempertahankan hak rakyat Malaysia.

Ini adalah antara faktor yang mendorong saya untuk lebih berminat dengan politik.

Pada masa yang sama, tidak boleh dinafikan ada juga pengaruh dari keluarga saya. Ayah saya sendiri adalah penyokong DAP. Kalau ada ceramah, biasanya dia akan bawa kami bersama.
Apabila kita menyertai parti politik, kita boleh lakukan sesuatu untuk membela dan membangunkan masyarakat selama ini, bukan semua rakyat terbela. Ramai yang tertinggal, atau tidak diberi perhatian.

Masalah utama generasi muda?
Saya melihat generasi muda berhadapan dengan masalah pendidikan. Ia kemudiannya akan berkait-kait dengan perkara lain. Seperti kita sedia maklum, ramai mahasiswa lepasan universiti yang bekerja memperoleh pendapatan yang tidak setara. Gaji tak banyak tapi perlu bayar pinjaman seperti PTPTN.

Contohnya di Kuala Lumpur, oleh kerana sistem pengangkutan awam tidak baik, mereka terpaksa membeli kenderaan dan perlu bayar ansuran bulanan. Jadi, tanggungan dan bebanan mereka bertambah. Bagi saya, kerajaan seharusnya memperbaiki jaringan sistem pengangkutan awam agar lebih efisyen dan baik supaya golongan ini, pemuda-pemudi kita tidak perlu membebankan tanggungan kewangan mereka dengan membeli kenderaan semata-mata terpaksa untuk pergi kerja. Kita boleh ambil contoh di negara-negara maju seperti di UK, Singapura, Jepun dan sebagainya, walaupun mereka tinggal mungkin jauh dari pejabat, disebabkan perkhidmatan pengangkutan awam sangat baik, mereka tidak perlukan kenderaan.

Anak muda dan politik?
Saya melihat golongan muda memang berminat dalam politik. Cumanya mereka tidak menyertai mana-mana parti politik. Kita sendiri boleh lihat kalau di facebook, golongan muda mengambil bahagian secara tidak langsung mengetengahkan isu. Ramai di kalangan mereka turut serta memberi komen dan cadangan dalam pelbagai isu.

Jika kita perhatikan dalam perhimpunan seperti Bersih dan Himpunan Hijau sebelum-sebelum ini. Memang kita dapat lihat ramai penyertaan golongan muda turun ke jalan menuntut keadilan. Tidak semestinya tanpa menyertai parti politik mereka tidak boleh berpolitik. Cuma dengan menyertai parti politik, kita boleh ketengahkan bakat, sebagai satu platform. Selain parti politik, ramai juga terlibat dalam NGO-NGO atau kumpulan bebas. Ini satu perkembangan yang sihat.

Adakah kesedaran anak muda ini timbul dari parti politik?
Saya rasa kesedaran yang timbul adalah disebabkan mereka punya akses kepada maklumat. Contohnya melalui internet. Kalau dulu, kita cuma dapat maklumat dari surat khabar dan televisyen sahaja.

Sekarang semuanya telah berubah. Kini siapa pun boleh mengakses portal-portal berita dan maklumat seperti Malaysiakini, Malaysian Insider, Harakahdaily, Keadilandaily dan blog-blog. Media untuk DAP, kita ada Rocket pelbagai dan Roketkini, ini semua beri maklumat alternatif yang secara langsung mengimbangi maklumat media arus perdana yang hampir kesemuanya dikawal Barisan nasional (BN). Situasi ini membolehkan rakyat terutamanya golongan muda membuat perbandingan dan melihat perbezaan. Jadi, mereka boleh tahu apa yang sedang berlaku secara tepat.

Kalau kita lihat, kebanyakan maklumat untuk perhimpunan yang berjaya diadakan dengan mobilisasi ramai peserta adalah antara lain disebabkan publisiti yang diberikan melalui media sosial internet seperti facebook, youtube dan sebagainya.

Perlukan golongan muda bersama parti politik?
Masa dahulu, ramai menganggap politik itu kotor. Dan pendapat itu sampai sekarang kita boleh dengar. Untuk golongan muda, saya syorkan untuk mengambil inisiatif mengetahui dan memahami perjuangan setiap parti politik yang ada dan membuat pertimbangan. Ini sangat penting. Dengan memahami dasar perjuangan, pencapaian dan sejarah politik serta parti politik, persepsi negatif terhadap politik dan parti politik sedikit sebanyak akan berubah. Minat boleh timbul apabila sudah faham.

Contohnya DAP. Dulu orang ingat kita sebuah parti Cina. Tapi sekarang dengan adanya pendedahan dan usaha, orang sudah mula memahami dan menerima bahawa DAP sejak dulu lagi adalah sebuah parti berbilang kaum dan kita memang berusaha untuk mencapai matlamat itu.

Saya menyertai DAP kerana saya faham dan setuju dengan perjuangan DAP yang selama ini berjuang demi hak, keadilan, membina satu masyarakat yang adil dan saksama, mahu sebuah kerajaan yang bersih dan telus dan penghayatan terhadap demokrasi untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira batas kaum, kebudayaan mahupun agama.

Pelajar universiti sudah tentu majoritinya golongan muda. Pandangan saudara mengenai mahasiswa dan partisipasi mereka dengan politik semasa?
Selepas tsunami 2008, kita melihat minat mahasiswa kepada politik semakin berkembang. Mungkin ia tercetus disebabkan arus politik semasa yang secara langsung boleh mempengaruhi kehidupan mereka seperti isu PTPTN dan AUKU. Mahasiswa merupakan golongan cerdik pandai dan bakal memimpin negara di masa akan datang. Penyertaan mereka dalam politik merupakan satu perkara yang wajar.

Sebelum ini, kebanyakan mahasiswa mempunyai satu persepsi di mana “selepas belajar saya sertai parti pemerintah supaya senang dapat pekerjaan.” Dalam konteks ini saya ingin tegaskan bahawa DAP maupun DAPSY kita memperjuangkan peluang pekerjaan kepada semua secara adil. Maksudnya, siapapun anda, apa institusi pendidikan anda, pegangan politik, yang penting ialah kelayakan. Malah pertimbangan akan diberi bagi mereka dari keluarga miskin atau kurang upaya tanpa mengira kaum. Tapi apa yang berlaku kini, dalam Perhimpunan Agung UMNO, Pemuda UMNO minta jawatan dalam GLC diisi oleh mereka.

Pandangan saudara mengenai AUKU?
AUKU mengongkong. Mahasiswa kita di negara ini hampir kebanyakan mereka telah mencapai umur layak untuk mengundi 21 tahun. Ini bermaksud, mereka juga berhak untuk memilih siapa yang bakal mewakili mereka dan memimpin negara. Jadi sememangnya sangat bersetuju pelajar diberi peluang dan kebebasan untuk berpolitik.

Sewaktu saya belajar, perkara yang membuatkan saya takut untuk menyertai politik adalah akta ini. Ini memang akta yang tidak adil dan zalim. Hanya melibatkan diri dengan parti politik berkemungkinan hilang kelayakan sebagai seorang pelajar. Ada juga kes di mana biasiswa ditarik balik.

DAP parti Cina?
Salah. DAP bukan parti Cina. Saya nak tegaskan sejak saya jadi wakil rakyat tahun 2000 sehinggalah sekarang, kita boleh lihat Mesyuarat Tahunan DAP Peringkat Negeri atau Kongres DAP Peringkat Kebangsaan samada DAPSY mahupun Wanita DAP kita gunakan Bahasa Melayu. Malahan mesyuarat bulanan DAPSY juga kita gunakan bahasa Melayu.
Saya boleh kata, pimpinan dalam DAPSY sendiri boleh menuturkan bahasa kebangsaan dan bukan satu masalah. Isunya timbul bila ada pihak menuduh kita parti Cina, kurang orang Melayu. Apa yang saya kesal, orang yang kata begitu seolah tidak menganggap dirinya sebagai rakyat Malaysia.

Saya amat yakin, mentaliti pemuda zaman ini sudah berbeza. Sebenarnya kita walaupun berlainan kaum, kita boleh duduk bersama, harmoni sebab kita menganggap kita sebagai rakyat Malaysia.

Kita sudah kenali DAP sebagai parti berbilang kaum. Adakah wajar lebih ramai di kalangan orang Melayu menyertai DAP. Apa signifikannya?
Kita amat mengalu-alukan penyertaan lebih ramai kaum Melayu ke dalam DAP. Siapapun kita alu-alukan. Di Sabah dan Sarawak kita juga ada ramai ahli yang terdiri dari kaum Iban, Kadazan Dusun dan yang lain. Dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat penyertaan ahli-ahli parti di kalangan orang melayu semakin ramai. Dalam DAPSY juga kita mempunyai ahli-ahli Melayu yang berbakat untuk memimpin.

Jauh bezanya dengan dahulu. UMNO telah menanam satu doktrin dalam minda orang melayu yang mengatakan DAP ini parti Cina dan anti melayu. Padahal itu tidak benar sama sekali. Sekarang berbeza, semakin ramai orang melayu berminat dan menyertai DAP.

Pengalaman paling pahit sepanjang menceburi bidang politik?
(Senyum) Saya pernah diheret ke dalam trak polis semasa rampasan kuasa di Perak. Saya masih ingat lagi, masa itu saya pakai baju hitam sebelum saya sampai di Dewan Undangan Negeri Perak, polis terus kepung. Mereka tak minta saya untuk berhenti tapi terus tangkap. Bila saya tanya mengapa saya ditahan, polis cuma beritahu sebab saya pakai baju hitam. Itu kali pertama ditahan. Masa itu saya rasa dizalimi. Mengapa kita sebagai rakyat Malaysia yang berhak berada di ruang awam dengan bebas, disebabkan saya berpakaian hitam saya diheret ke dalam trak polis.

Yang keduanya apabila saya pertama kali merasai gas pemedih mata dalam Perhimpunan Mansuh ISA. Pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Saya ingat bila Kit siang sudah sampai, Anwar sudah sampai maka selamatlah. Tapi masa itu juga FRU tembak gas pemedih mata. Ini paling teruk. Masa itu ada seseorang bagi garam. Bila saya letakkan di mulut, itu bukan garam tapi gula (ketawa). Dalam pahit pun ada yang manis.

Pilihanraya makin hampir dan saudara adalah Ketua Pemuda DAPSY yang baru. Apa visi saudara untuk memperkukuhkan parti?
Dalam tempoh tiga tahun ini, kita boleh nampak banyak aktiviti yang dijalankan antaranya gerakan hijau yang memperjuangkan alam sekitar telah dilancarkan. Sebabnya seperti semua sudah maklum, banyak isu yang berlaku seperti Lynas di Kuantan, perlombongan menggunakan sianida di Bukit Koman dan Pengerang.

Kerajaan BN dilihat semakin melampau dalam membuat keputusan tanpa pedulikan pendapat masyarakat setempat dan rakyat seluruhnya. Mereka seolah-olah tidak ambil pengajaran dari tsunami politik 2008. Macam di Johor dan Pahang, mereka anggap negeri-negeri ini seperti deposit tetap bagi mereka. Mereka silap!

Dalam konteks ini, DAPSY telah menubuhkan Biro Alam Sekitar dimana melalui biro ini kita akan lebih mudah bekerjasama dan mengeratkan lagi hubungan dengan NGO-NGO alam sekitar yang ada melalui pelbagai aktiviti dan melakukan pemantauan terhadap pencemaran alam. Biro ini baru ditubuhkan.

Satu lagi melibatkan golongan mahasiswa. Kita akan menambah baik Biro Hal Ehwal Varsiti. Sebenarnya bagi DAPSY, selama ini kita dapat lihat kita kita kurang menjalinkan hubungan dengan persatuan-persatuan pelajar di universiti. Jadi kali ini kita akan berusaha untuk mendekati dan menjalinkan hubungan persatuan-persatuan ini. Lagipun, kita telah turunkan had umur keanggotaan DAPSY dari 40 kepada 35 tahun dan kita harap golongan pelajar juga akan dapat mendekati kita.

Antara perkara yang akan kita buat ialah memberi sebarang bantuan atau nasihat kepada mereka. Dari situ, apabila hubungan semakin rapat, saling mengenali, kita juga harap dapat menarik mereka menyertai parti setelah tamat belajar.

Sebagai ADUN Bahau, bagaimana penerimaan pengundi, penduduk di sana?
Berbanding sebelum 2008 saya akui ada sedikit kesukaran. Tapi sekarang tak ada masalah. Kita boleh buat program ceramah di kampung-kampung melayu dan ramai ramai yang datang.

Apakah falsafah hidup yang membuatkan saudara boleh terus berjuang dan berkhidmat kepada rakyat?
Sebagai ADUN, saya terima banyak tekanan dan cabaran bukan sahaja dari parti dan orang awam, kita maklum bahawa kita berhadapan dengan tekanan pihak lawan, BN. Apapun, kita harus sentiasa tenang terutamanya dalam membuat keputusan.

Saya berpegang kepada “rakyat itu tuan”. Jika berlaku masalah atau tekanan, saya biasanya akan cool down, saya akan mengimbas balik janji saya kepada masyarakat kepada pengundi ketika kita jadi calon pilihanraya. Bila dikenangkan, segala masalah, kesusahan dan tekanan boleh dilupakan.

Kedua, apabila saya sertai parti, saya berharap dengan menjadi ahli saya boleh melakukan sesuatu yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat. Saya juga teruja dengan semangat yang ditunjukkan pimpinan-pimpinan utama DAP, walaupun mereka sudah berusia mereka masih bersemangat berjuang, turun padang kesana sini memberi input kepada rakyat, mesej yang benar.-Roketkini.com