Rencana

Selepas AUKU dimansuh, apa cabarannya? Oleh Mazir Ibrahim

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) belum dimansuhkan. Ini adalah kerana UMNO-Barisan Nasional masih menjadi pemerintah. AUKU hanya akan dimansuhkan selepas Pakatan Rakyat dipilih rakyat sebagai kerajaan persekutuan yang baru.

Selepas dimansuhkan, adakah budaya pengajian, pembelajaran dan pengumpulan ilmu akan kembali tumbuh subur? Atau mahasiswa menjadi kucar-kacir kerana tiada undang-undang mengawal mereka?

Kebebasan untuk main politik?

Sesetengah orang melihat AUKU sebagai satu tembok halangan untuk mahasiswa berpolitik dengan parti politik. Justeru tidak hairanlah selama ini parti politik baik kerajaan mahupun oposisi sering dilihat menghimpit golongan mahasiswa.

Masalahnya ialah jika AUKU hanya dilihat halangan kepada mahasiswa untuk menyertai parti politik, ia boleh dianggap sebagai satu kefahaman yang kurang matang dan cetek. Ia samalah dengan kefahaman bahawa bermain muzik hanya kerana mahu jadi popular. Tidak salah tetapi tidak betul.

Memanglah apabila wujud kebebasan dalam kampus, tiada siapa dapat menyekat mahasiswa untuk melibatkan diri dengan parti politik dalam apa jua bentuk aktiviti kemahasiswaan.

Tetapi parti politik itu bukanlah tujuan akhirnya, sebaliknya tujuan kebebasan dalam kampus itu adalah hak autonomi mahasiswa, bukan sahaja untuk bergiat dalam apa jua bidang tetapi juga menentukan halatuju cita-cta mereka, termasuk kebebasan akademik dan menentang campurtangan pemerintah dalam hal-ehwal universiti.

Seperti perumpamaan bermain muzik tadi, jika sudah bikin muzik, bikin album dan persembahan,  memang tidak boleh lari dari kemungkinan untuk jadi popular. Tetapi adakah mahu jadi popular itu matlamat akhir seorang pemuzik atau dia punya cita-cita yang lebih jurni dan agung daripada itu?

Uji kematangan mahasiswa

Justeru, cabaran sebenar selepas AUKU dimansuhkan adalah ujian tahap kematangan mahasiswa.
Adakah selepas ini wujud tuntutan mahasiswa kepada universiti yang mahukan pendekatan kuliah yang berbeza seperti lebih interaktif, menolak budaya hafal, berani berbahas dengan pensyarah dan tidak takut untuk berkata yang benar walaupun mungkin tidak popular?

Adakah selepas ini wujud tuntutan mahasiswa kepada universiti untuk menubuhkan fakulti yang selama ini belum atau jarang ada seperti fakulti falsafah misalnya dengan tenaga pengajar yang benar-benar mengajar falsafah, dan bukan seorang pensyarah yang mahu berkempen kononnya falsafah menyesatkan pemikiran.

Dan paling tidak, adakah selepas ini mahasiswa mampu mengamal dan mempromosi nilai-nilai dan prinsip-prinsip demokrasi kepada masyarakat?

Kesemua ini merupakan harapan, dan inilah yang dikatakan idealisme orang muda – mahasiswa. Dan sememangnya orang muda wajib ada idealisme. Jangan terlalu sinis seperti “orang dewasa” yang sudah tunduk dengan realiti semasa yang dikawal minda mereka oleh minda massa dan hegemoni UMNO-BN.

Kuasa boleh manjadikan politikus itu jahil, termasuk mahasiswa, tetapi ilmu sukar untuk menjadikan kita jahil, apatah lagi mahasiswa yang cerah akalnya. – Roketkini.com