Berita

Perbezaan pendapat dalam PR, ibarat kacau gula dan kopi, tapi tidak pecahkan cawan”- Abdul Hadi

SHAH ALAM, 26 FEB: Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, landskap politik dan minda masyarakat Malaysia berubah pasca Pilihan Raya Umum 2008 yang membebaskan fikrah fanatik perkauman yang dijaja UMNO-Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama memerintah.

Katanya, perubahan itu jelas apabila orang Melayu yang beragama Islam sedia mengundi calon bukan Islam dan begitu juga sebaliknya.

Abdul Hadi memberi gambaran tepat terhadap senario masyarakat Malaysia sekarang ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4, di sini, semalam.

“Melalui PR kita berjaya menterjemahkan perpaduan sebenar melalui Pilihan Raya Umum 2008 apabila orang Melayu Islam yang kuat PAS boleh mengundi calon DAP dan PKR yang bukan Islam, manakala orang bukan Islam pula mengundi calon PAS, ia bermakna kita berjaya memecahkan tembok perkauman yang diajar oleh UMNO/BN,” katanya.

Menurutnya, kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang wujud di Malaysia merupakan satu hakikat yang harus diterima semua rakyat negara ini.

“Kita terima kepelbagaian kaum satu adunan yang baik, pelbagai budaya dan pengalaman dapat disatukan. Kita boleh bina kekuatan PR dengan satukan pelbagai kaum di atas konsep dalam perlembagaan yang tak mampu dibuat BN,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurut Abdul Hadi, selaras dengan kepelbagaian yang ada di Malaysia, perbezaan pendapat merupakan satu perkara biasa, bagaimanapun PR harus berhati-hati kerana perpecahan gabungan itu cuma akan memberi keuntungan kepada BN.

“Walaupun ada ketikanya kita berbeza pendapat, boleh berbalah, boleh bertelingkah, boleh berdebat. Tetapi ia ibarat mengacau gula bersama kopi atau teh yang tidak memecahkan cawan itu,” katanya disambut tepukan gemuruh 1,500 perwakilan pada konvensyen itu.

Abdul Hadi juga menekankan betapa pentingnya lima prinsip yang harus dilaksanakan PR sekiranya diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negara pada PRU-13 nanti.

“Lima perkara itu ialah perpaduan masyarakat majmuk, bersifat adil terhadap semua, demokrasi hak rakyat sebenar, kehebatan perlembagaan dan undang-undang dan kerajaan yang bersih.

“Inilah harapan rakyat yang kita perlu sedar dan faham lima perkara itu kerana ia menjadi harapan rakyat untuk melihat satu pemerintahan yang mengikut kehendak mereka bukan seperti BN yang memperkayakan kroni dan golongan tertentu saja,” ujar beliau.-Roketkini.com