Rencana

Paradigma jadikan Pulau Pinang negeri nombor satu di Malaysia

KETIKA pembentukan Malaysia pada 1963, pendapatan Malaysia mencapai 13.6% daripada pendapatan AS, manakala pendapatan Korea dan Taiwan, masing-masing lebih rendah iaitu 10.7% dan 12.6%.

Kini, lebih 50 tahun berlalu, Malaysia jauh ketinggalan dengan hanya separuh kekayaan dimiliki Korea dan Taiwan sedangkan dua negara itu melonjak menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, manakala Malaysia masih terjerat dalam perangkap pendapatan sederhana, walaupun mempunyai banyak kelebihan sumber semulajadi berbanding negara berkenaan.

Sebab itu, Penang Institute yang diterajui ahli ekonomi terkenal yang juga Pengarah Eksekutifnya, Prof Datuk Woo Wing Thye (Penasihat kepada Perbendaharaan Amerika Syarikat) mengusahakan pelan 10 tahun menyeluruh iaitu Paradigma Pulau Pinang untuk menjadikan Pulau Mutiara itu negeri nombor satu di negara menjelang 2023.

Paradigma Pulau Pinang akan memulihkan dinamisme ekonomi negeri itu; meningkatkan tahap kesesuaian untuk didiami dengan kelestarian alam sekitar; mempercepatkan pembangunan sosial dalam mengukuhkan keharmonian dan memperluas penyertaan sosial.

“Kami percaya dasar utama yang dicadangkan untuk Pulau Pinang juga dapat diguna pakai oleh Malaysia secara keseluruhannya. Apa yang memanfaatkan Pulau Pinang akan juga memanfaatkan Malaysia kerana Pulau Pinang adalah penyumbang hampir setengah jumlah eksport barangan elektrik dan elektronik serta 9% KDNK negara.

“Kerana itu , kami mengambil keputusan melancarkan Paradigma Pulau Pinang di Kuala Lumpur juga, bukan sahaja untuk berkongsi pelan pembangunan kami, juga untuk mendapat maklum balas daripada semua untuk memperhalusi lagi pelan berkenaan,” Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada sidang media di Hotel The Garden, Kuala Lumpur, semalam.

Dengan kata lain, katanya, kerajaan negeri Pulau Pinang mengamalkan pendekatan penyumberan ramai (crowd sourcing) untuk mendapat maklum balas bagi memantapkan lagi laporan Paradigma Pulau Pinang.

Pendekatan penyumberan ramai dan keterbukaan untuk menerima cadangan dan dasar yang lebih baik adalah pendekatan baru dan tidak sama dengan pelan pembangunan lama yang dilaksanakan tanpa rundingan umum yang tulen.

Walaupun beberapa tahun lalu, Kerajaan Persekutuan memperkenalkan pelbagai program termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) sebagai langkah untuk membebaskan Malaysia daripada perangkap pendapatan sederhana.

Namun, gagal kerana penyelesaian yang dicadangkan hanya bersifat superficial (cetek) dan tidak menghiraukan sebab asas kemelesetan ekonomi iaitu penyalahgunaan dasar sosio-ekonomi dan pemulihan berdasarkan hubungan dan bukannya pencapaian sektor kerajaan menyebabkan penghijrahan modal insan ‘brain drain’ yang ketara dan pengaliran keluar modal yang besar.

Pemusatan kuasa yang melampau di peringkat Persekutuan menghalang kerajaan tempatan menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk mendukung pembangunan tempatan dan kabur dalam operasinya, misalnya kontrak kerajaan yang tertutup dan runding terus hingga membiakkan ketidakcekapan dan korupsi.

Kesan negatif kepada pertumbuhan KDNK akibat faktor berkenaan tidak terserlah sebelum 1995 kerana diimbangi kemasukan FDI secara besar-besaran dan pelaburan negeri serta GLC yang kebanyakannya dibiayai pertumbuhan pasca-1974 dalam hasil minyak dan gas.

Bagaimanapun, perkembangan globalisasi pasca-1990 negara Asia lain menyebabkan sebahagian daripada FDI global yang diterima Malaysia merosot dengan ketara.

Penurunan penerimaan FDI global oleh Malaysia, bersama daya kewangan Kerajaan Persekutuan dan GLC yang lebih lemah selepas bertahun-tahun salah urus, menyebabkan keruntuhan pelaburan pada 2000, menjerat Malaysia terperangkap dalam pendapatan pertengahan bagi setengah dekad yang lalu.

Guan Eng yang juga Pengerusi Penang Institute berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang memperkenalkan tiga kumpulan dasar untuk mengurangkan kesan mudarat rejim dasar Persekutuan di Pulau Pinang sejak Mac 2008, termasuk mengganti kapitalisme kroni dengan persaingan yang adil, misalnya tender terbuka untuk projek awam; memulakan desentralisasi dalam proses membuat keputusan, contohnya mendesak untuk pilihan raya pihak berkuasa tempatan dan menghentikan kemerosotan dalam kualiti perkhidmatan kerajaan, contohnya menggunakan prinsip Kompetensi-Kebertanggungjawaban-Ketelusan (CAT) dalam tadbir urus.

Paradigma Pulau Pinang

Komponen operasi Paradigma Pulau Pinang dibahagikan kepada strategi dan sasaran bagi dinamisme ekonomi, kesesuaian didiami dan kelestarian dan pembangunan serta keterangkuman sosial. Tiga sifat itu adalah saling bergantung antara satu sama lain.

Dinamisme Ekonomi

Paradigma Pulau Pinang bertujuan memperkukuh proses pemulihan dinamisme ekonomi dengan mencadangkan langkah dasar yang khusus dalam meningkatkan:

  • Pertumbuhan pembuatan berteknologi tinggi dan sektor berteknologi tinggi bio-pertanian, contohnya pengembangan sektor elektrik dan elektronik, industri peranti perubatan, industri makanan halal dan industri akuakultur.
  • Kemunculan aktiviti perkhidmatan moden bernilai tinggi seperti menjadi sebuah pusat global bagi pemprosesan perniagaan sumber luar (OBP).
  • Kerancakan pelancongan berpulangan tinggi, contohnya menjadi pusat perubatan serantau dan tempat percutian kegemaran bagi penduduk zon beriklim ketika musim sejuk.
  • Penubuhan hab pendidikan serantau.
  • Peralihan PKS menjadi pengeksport bertaraf dunia iaitu meniru pengalaman Taiwan.
  • Penyediaan perkhidmatan infrastruktur berkualiti tinggi, contohnya membekalkan internet paling laju untuk menyokong pusat OBP dan menjadi pelabuhan antarabangsa untuk memenuhi keperluan logistik IMT-GT;
  • Pembangunan pusat kecemerlangan dalam sains dan teknologi.

Kejayaan dalam setiap satu daripada tujuh bidang itu bergantung kepada ketersediaan modal insan yang mencukupi. Oleh itu, Paradigma Pulau Pinang juga membentangkan cadangan yang praktikal bagaimana untuk melatih, melatih semula, mengekalkan dan menarik modal insan ke Pulau Pinang.

Kesesuaian didiami dan kelestarian

Antara cadangan dasar utama mengenai “Kesesuaian Didiami dan Kelestarian” termasuklah langkah:

  • Untuk menjadikan perumahan mampu dimiliki semua dengan membaharui garis panduan pembangunan, memperkenalkan insentif berasaskan pengezonan dan membina rumah mampu milik melalui tender terbuka;
  • untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keterhubungan dengan menjajarkan penggunaan tanah dengan perancangan pengangkutan, mendukung penggunaan pembangunan bercampur supaya orang dapat hidup, bekerja dan bermain lebih dekat antara satu sama lain, menggalakkan budaya jalan dan basikal, membina jalan pintas strategik untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menghubungkan bahagian utara Pulau Pinang dengan bahagian utara Seberang Perai dengan laluan penghubung ketiga.
  • untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti ruang awam terbuka dengan menyusun semula keperluan ruang awam, menyediakan taman pantai lelurus di tanah tambakan baru, mengubahsuai tanah yang jarang dipakai untuk kegunaan awam seperti Dataran Warisan Prangin serta melibatkan komuniti perniagaan tempatan dalam usaha penambahbaikan bandar;
  • untuk meningkatkan kelestarian alam semula jadi dengan memerlukan pensijilan GBI, menghijaukan kawasan bandar, merekabentuk saliran induk baru dan pelan penuaian air dan mengurangkan permintaan air melalui pendidikan dan kawalan harga.

Pembangunan & Keterangkuman Sosial

Ketiga, Paradigma Pulau Pinang juga akan mempercepatkan pembangunan sosial dan meluaskan keterangkuman sosial di Pulau Pinang dengan melaksanakan program konkrit:

  • Untuk memerangi kemiskinan, ketidaksamaan dan diskriminasi dengan memastikan pendapatan isi rumah minimum RM770 sebulan, memperluaskan skim kredit mikro kepada golongan miskin, memudahcarakan mobiliti dan ketercapaian untuk warga emas dan OKU serta menubuhkan Jawatankuasa Keterangkuman Sosial dan Peluang Saksama;
  • Mengukuhkan sokongan keluarga dan masyarakat dengan memperluaskan ketercapaian penjagaan kanak-kanak dan warga emas, mewujudkan rangkaian pusat komuniti, meningkatkan rawatan pencegahan, menubuhkan klinik komuniti bergerak, menyediakan bantuan untuk rakyat Malaysia “tanpa kerakyatan” serta menubuhkan sebuah unit di bawah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) untuk kebajikan dan perlindungan hak kanak-kanak;
  • Menggalakkan pemerkasaan ekonomi melalui pendidikan dengan menubuhkan Pusat Sehenti dan memudahcarakan Kerjasama Awam-Swasta untuk penubuhan prasekolah dan pusat-pusat pembelajaran awal, memulakan program pembelajaran kreatif, menyediakan laluan pendidikan alternatif, serta memperluaskan agenda untuk melatih, melatih semula, mengekalkan dan menarik modal insan; dan
  • Menginstitusikan pemerkasaan demokratik dengan mewajibkan pengisytiharan harta oleh semua wakil rakyat, melaksanakan Enakmen Kebebasan Maklumat, meningkatkan ketercapaian umum untuk maklumat kerajaan, mengagihkan kuasa pusat dan merasionalisasikan kuasa antara ketiga-tiga peringkat kerajaan serta meningkatkan proses perundingan awam.

Kesimpulannya, Paradigma Pulau Pinang adalah kerangka untuk membentuk masyarakat seimbang: yang dinamik dari segi ekonomi, sesuai didiami dan lestari, yang memperkasakan dari segi demokrasi dan menjamin keadilan sosial.

Inilah formula bagi Pulau Pinang untuk mencapai “pilihan” tiga mata iaitu untuk menjadi habitat pilihan untuk penduduk tempatan, tempat pilihan untuk pelancong serta lokasi pilihan untuk pelabur dalam menubuhkan perniagaan.

Hasilnya, Paradigma Pulau Pinang akan menjadikan Pulau Pinang No. 1 di Malaysia sebagai masyarakat seimbang serta Negeri pintar yang bertaraf antarabangsa. Kami percaya bahawa jika dilaksanakan di seluruh negara, Malaysia dapat membebaskan diri daripada perangkap pendapatan sederhana dan menjadi negara yang pintar dan bertaraf antarabangsa.-Roketkini.com