Berita

1.6 juta rakyat penentu empat projek lebuhraya, sistem trem di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 2 MAC: Sejumlah 1.6 juta rakyat Pulau Pinang akan menentukan pelaksanaan empat projek lebuhraya bernilai RM6.3 bilion dan cadangan sistem trem di seluruh negeri yang akan menghubungkan Pulau dengan Seberang Perai.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerajaan PR Pulau Pinang akan menyerahkan keputusan menentukan penganugerahan tender empat projek lebuhraya bernilai RM6.3 bilion, termasuk terowong bawah laut pertama di Asia Tenggara dari Gurney Drive ke Bagan Ajam kepada 1.6 juta rakyat negeri itu.

Katanya, pembinaan empat lebuhraya utama itu dianugerahkan kepada konsortium terdiri daripada sebuah syarikat tempatan dan Beijing Urban Construction Group iaitu syarikat pembinaan dari China yang membina Stadium Olimpik “Bird’s Nest” di Beijing.

Laksana sistem trem, bukan projek monorel

“Sekiranya memenangi kuasa di Putrajaya, PR bercadang melaksanakan sistem trem di seluruh negeri untuk menghubungkan Pulau dan Seberang Perai kerana monorel yang dicadang Barisan Nasional tidak sesuai untuk bandar warisan dunia seperti Pulau Pinang dan strukturnya yang tinggi akan merosakkan keindahan estetika negeri itu.

“Sistem trem yang bergerak atas tanah adalah sesuai dengan warisan Pulau Pinang, jalan alternatif baru diperlukan supaya jalan sedia ada dapat digunakan untuk landasan trem,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, projek monorel BN tidak akan menjadi kenyataan walaupun BN menang di Pulau Pinang kerana monorel tidak akan diizin oleh UNESCO dan pembinaannya akan mengakibatkan kehilangan taraf Bandar Warisan Dunia UNESCO, tambahan BN tidak pernah menepati janji monorel dulu yang dibuat mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2006

Menurutnya, janji itu juga tidak ditepati Datuk Seri Najib Tun Razak selama menjadi Perdana Menteri, jadi kita harus menunggu sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri untuk merealisasikan sistem trem.

“Pengangkutan awam adalah bidang kuasa kerajaan Persekutuan semata-mata. Meskipun kerajaan negeri mempunyai dana, kerajaan Persekutuan boleh menafikan lesen dan kerjasama untuk membenarkan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang.

“Keengganan bekerjasama itu jelas apabila kerajaan Persekutuan menolak cadangan bayaran RM10 juta setahun oleh kerajaan negeri untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma Rapid Penang ketika waktu puncak di seluruh negeri Pulau Pinang.

“Oleh kerana kerajaan negeri PR Pulau Pinang tidak sanggup menjadi kerajaan yang duduk diam saja, kita akan membina jalan alternatif bagi mengganti keengganan kerajaan BN menepati janji pengangkutan awam yang berkesan di negeri itu,” katanya.

Tidak ada caj masuk ke Pulau Pinang

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, PR tegas menolak cadangan ekstrim untuk mengenakan caj kemasukan bagi semua kenderaan yang memasuki George Town, Pulau Pinang kerana PR komited terhadap pergerakan bebas orang dalam dan luar negeri Pulau Pinang.

Katanya, mengamalkan “model Singapura” untuk mengurangkan kesesakan trafik adalah elitis kerana menghadkan George Town kepada penghuni sedia ada dan bersifat diskriminasi kerana hanya orang berada dapat masuk ke George Town, Pulau Pinang.

Beliau juga mencabar Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow menjelaskan kenapa BN menjual tanah 940 ekar di Tanjung Pinang dengan harga RM1 sekaki persegi?

Katanya, kerajaan negeri Pulau Pinang kesal atas fitnah Teng mengenai harga tender, sama ada kerajaan Persekutuan dimaklumkan atau meluluskan tender untuk konsortium tempatan-antarabangsa berkenaan, serta kelajuan penganugerahan tender itu.

“Kerajaan Persekutuan sedar mengenai cadangan projek itu sejak 2011 apabila Najib Razak dan Perdana Menteri China, Wen Jia Bao menjadi saksi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan saya untuk empat projek lebuh raya dan terowong yang didakan di Kuala Lumpur.

“Tender terbuka dan kompetitif dilangsungkan pada 14 November 2011 dan rundingan awam dijalankan pada 2011. Keseluruhan proses tender dilaksanakan dengan telus dan bertanggungjawab.

“Bagaimana empat projek itu dilaksanakan begitu laju apabila projek pertama dijangka siap selepas 2017 dan terowong pada 2023-2025, walaupun kerajaan negeri akan cuba menyiapnya menjelang 2020,” katanya.

Guan Eng berkata, masa pembinaan yang lama adalah kerana keperluan untuk mematuhi syarat Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Kegagalan mematuhi EIA akan bermakna empat projek itu tidak akan diteruskan.

Katanya, kontrak rasmi masih diperbincangkan dan dijangka akan ditandatangani dalam beberapa bulan akan datang dan tidak akan diteruskan jika ditolak rakyat.

Beliau berkata, lagipun, harga tender terakhir bukan RM8 bilion seperti yang dijangkakan tetapi RM6.3 bilion yang dianugerah kepada pembida terendah, iaitu Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd.

“Tidak ada bayaran dalam bentuk wang tunai tetapi bayaran akan dibuat dalam bentuk 110 ekar tanah tebusguna di Tanjung Pinang.

“Dakwaan Teng bahawa tanah tebusguna itu tidak wujud adalah fitnah kerana BN yang meluluskan penambakan tanah 940 ekar hanya dengan harga RM1 sekaki persegi dengan syarat 10% tanah diberi kepada kerajaan negeri.

“Saya minta Teng jelaskan kenapa BN menjual tanah itu dengan harga begitu murah dan tidak masuk akal iaitu RM1 sekaki persegi sedangkan kerajaan negeri PR Pulau Pinang berjaya meningkatkan jumlah tanah yang akan diberi kepada negeri daripada 10% kepada 20%, yang akan diguna untuk membiayai pembinaan empat lebuh raya utama itu,” katanya.

Guan Eng berkata, kesesakan lalu lintas yang teruk beberapa hari lalu di Jambatan Pulau Pinang Pertama adalah kerana kerja pembaikan jambatan itu dan mengingatkan kita semua betapa perlunya laluan penghubung ketiga untuk masa depan.

Tiga lebuhraya baru atasi kesesakan lalu lintas

Sementara tiga lebuhraya baru itu, katanya, akan mengurangkan kesesakan lalu lintas ke Batu Ferringhi, di sekitar George Town serta Bandar Baru Air Itam dan Farlim adalah berdasarkan keperluan, terowong bawah laut ini mempunyai fungsi lain iaitu untuk merangsang pembangunan ekonomi Seberang Perai Utara (SPU).

Beliau berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan berdiam diri dalam isu kesesakan lalu lintas dan mengambil jalan mudah menyalahkan kerajaan Persekutuan di atas kegagalannya menyediakan pengangkutan awam.

“Kita juga tidak akan mengamalkan pendekatan yang berkisar pada Pulau semata-mata, sebaliknya akan mengambil pendekatan menyeluruh yang merangkumi keperluan Seberang Perai. Jika ada jambatan yang menghubungkan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, patut ada juga penghubung kepada SPU untuk memajukan pembangunan ekonomi,” katanya. – Roketkini.com