Berita

Status projek KLIA2 indah khabar dari rupa

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) diminta menjelaskan status terkini projek pembinaan KLIA2 yang dimulakan pada 2007 kerana apa yang dilihat, status projek itu sekadar indah khabar daripada rupa.

Persoalan itu timbul berikutan kenyataan Pengarah Besar Kanan MAHB, Faizah Khairuddin pada 8 Mac lalu yang dilaporkan media berkata, bahawa 80 peratus “bangunan terminal” sudah selesai dan dijangka siap pada 1 Mei serta dibuka pada 28 Jun ini.

Menyifatkan kenyataan Faizah sebagai tidak berterus-terang, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua menunjukkan bukti bergambar keadaan sebenar tapak pembinaan KLIA2 itu kepada wartawan dalam sidang medianya bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di sini.

“Dalam gambar ini kita dapat lihat jelas, kerja tanah belum selesai, lepas itu kena letakkan batu dan tar. Ini semua masih belum selesai. Sekurang-kurangnya ia perlukan tiga bulan untuk diselesaikan,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Menurut Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula, perkara ini perlu dibangkitkan kerana ia bukan perkara baru dan membabitkan penggunaan dana awam yang besar.

“Sebelum ini kos asal RM1.7 bilion, kemudian meningkat kepada RM3.4 bilion dan sekarang RM3.9 bilion.

“Jadi sebab itu kita mahu mereka bagi perincian kenapa berlakunya kelewatan dan kenapa tidak pula dimaklumkan. Dulu mereka menaikkan gambar pada laman web mereka, dan sekarang dah berhenti lakukan,” kata Izzah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut membangkitkan isu mengenai perisian sistem radar oleh Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT) yang bertanggungjawab terhadap gangguan bekalan elektrik pada sistem itu sebelum ini.

“Kita bukan saja bercakap mengenai pembangunan infra tetapi juga mengenai sistem,” katanya.

Menyimpulkan perkara ini, Tony dan Izzah meminta agar kementerian menjelaskan keadaan sebenarnya dan mencadangkan kepada MAHB dan kementerian pengangkutan mengadakan lawatan tapak dengan segera. – Roketkini.com