Berita

‘Operasi gelap’ serangan laman web oposisi dijangka berterusan

KUALA LUMPUR, 15 MAC: DAP hari ini mengecam serangan mematikan laman web Distributed Denial-of-Service attack (DDoS) parti yang berlaku beberapa kali sejak minggu lalu menyebabkan ia tidak boleh dilayari pada 8, 10 dan 13 Mac lalu.

Selain laman web rasmi parti, dapmalaysia.org, turut menjadi sasaran ialah portal maklumat dan berita DAP berbahasa Malaysia, Roketkini.com.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, serangan itu dilakukan dengan lambakan pengunjung (trafik) sehingga laman web berkenaan tidak boleh dilayari contohnya satu juta pengunjung dalam satu saat.

Beliau menyifatkan ia sebagai perbuatan terdesak pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak menolak kemungkinan serangan DDoS itu bermotif politik memandangkan bahang pilihan raya umum kini semakin hampir.

“Kita jangka ini mungkin percubaan mereka dan tidak menolak akan lebih teruk pada pilihan raya umum nanti,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut mempertikaikan serangan terhadap laman web parti oposisi yang sering menjadi sasaran dan tidak terkecuali portal berita alternatif seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider.

“Pilihan raya kali ini akan menjadi pilihan raya yang penuh dengan kempen cara kotor,” ujar beliau.

Tanpa menuduh mana-mana pihak, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu menyeru semua parti politik samada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) supaya tidak menjalankan ‘operasi gelap’ sebegini untuk memenangi pilihan raya umum nanti.

“Sebagai langkah awal berhadapan dengan serangan ini, kita akan menggunakan alternatif kedua melalui Facebook,” katanya.

Pengunjung boleh melayari www.facebook.com/DAPMalaysia bagi versi Bahasa Malaysia dan Inggeris, manakala https://www.facebook.com/DAPMalaysia.zh bagi versi Bahasa Cina.

Sidang media itu turut melancarkan video kempen pilihan raya DAP bertemakan penurunan harga kereta seperti yang diumumkan dalam Manifesto Rakyat.

Klip video dua minit itu memaparkan seorang pemuda yang mahu membeli kereta dan akhirnya terpaksa menangguhkan hasrat beliau kerana cukai yang terlalu tinggi daripada kerajaan dan ia boleh ditonton melalui http://www.youtube.com/user/videoDAP

Selain itu, Pua juga melancarkan satu permainan board game “Monopoli Negara Berkebajikan vs Negara Muflis” yang berkonsepkan main sambil menambah pengetahuan mengenai dasar dan Manifesto Rakyat.

Board game “Monopoli Negara Berkebajikan vs Negara Muflis” ini boleh didapati melalui http://store.dapmalaysia.org/ yang dijual dengan harga hanya RM5.00.- Roketkini.com