Berita

DAP tolak tawaran 10 minit di RTM

GEORGE TOWN, 25 MAC: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menolak tawaran masa 10 minit untuk membentangkan manifesto, menyifatkan tawaran tersebut sebagai suatu jenaka dan usaha BN untuk berlakon seolah-olah mereka melaksanakan kebebasan media.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media hari ini, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata bahawa tawaran 10 minit itu seolah-olah memperlihatkan Pakatan Rakyat seperti pengemis.

Menurut Guan Eng, Pakatan Rakyat menuntut supaya mereka diberi hak untuk menjawab pertuduhan dan fitnah yang disiarkan secara berterusan oleh media arus perdana yang dikawal UMNO dan Barisan Nasional; bukan sahaja sewaktu musim pilihanraya tetapi sepanjang masa.

“Kita tidak mahu 10 minit, satu jam atau dua jam. Apa yang kita mahu ialah hak untuk menjawab,” kata beliau memberi respon kepada pengumuman yang dibuat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari Jumaat lalu.

Rais Yatim mengumumkan bahawa parti-parti politik akan diberikan sepuluh minit setiap satu parti untuk muncul di saluran RTM untuk menyampaikan manifesto yang telah siap dirakam.

Pakatan Rakyat terbina daripada tiga parti komponen, DAP, PAS dan PKR. Barisan Nasional yang merupakan parti pemerintah mempunyai 13 parti komponen. – Roketkini.com