Berita

Melayu Johor sambut baik kempen Roketkini.com bantu DAP dan PR

JOHOR BAHRU, 28 MAC: Rakyat Johor makin sedar bahawa DAP bukan anti-Melayu tetapi anti penyelewengan dan rasuah.

Demikian kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan respon yang sangat positif diterima krew sukarelawan Roketkini.com yang membantu jentera kempen DAP dan PR Johor.

Menurut Koordinator Roketkini.com, Mazir Ibrahim, kempen itu dilakukan secara berperingkat dan menyeluruh meliputi kawasan bandar dan luar bandar di semua peringkat masyarakat termasuk pelajar IPT, kakitangan kerajaan dan golongan veteran.

“Ramai yang terkejut bila menatap The Rocket edisi Bahasa Malaysia sebab sebelum ini mereka tidak tahu langsung DAP ada saluran media bahasa Malaysia.

“Kami dapat macam-macam respon. Ada yang bila kita jumpa mereka tanya kenapa tak keluar awal-awal? Bagi orang lama pula, kita boleh lihat reaksi mereka seperti terkejut. Ada juga yang tanya kenapa nipis sangat. Secara keseluruhan boleh saya katakan respon memang sangat baik,” ujar beliau.

Katanya, antara isi kandungan yang dipaparkan dalam The Rocket edisi bahasa Malaysia yang diedarkan ialah mengenai latar belakang, perjuangan dan sejarah DAP, program yang dianjurkan Roketkini.com seperti ulasan mengenai wacana, isu semasa dan perjuangan Pakatan Rakyat (PR).

“Seperti di Kampung Melayu Raya, bila kita tanya pendapat beberapa penduduk, mereka kata ‘roket bahasa’ banyak dengan maklumat mengenai DAP dan PR. Ada penduduk sekitar kawasan perumahan di Kulai anggap rakyat sudah semakin sedar bahawa DAP bukan anti-Melayu, banyak maklumat yang sebelum ini mereka tidak tahu dapat disampaikan.

“Menariknya, kita ada bertemu dengan seorang bekas Jurulatih BTN, beliau kata apa yang dilakukan kami edar akhbar bahasa Malaysia boleh membuka minda Melayu. Ada juga cadangan supaya dicetak dalam tulisan jawi. Memang sambutan sangat menggalakkan. Kami sebagai krew pun rasa agak terkejut dengan penerimaan orang ramai,” ujar Mazir.

Bagaimanapun, kata beliau, ada dua insiden berlaku di mana akhbar The Rocket yang diedar kepada penduduk terus dikoyak di hadapan mereka.

“Ini antara cabaran yang kami lalui. Tapi ia tidak mematahkan semangat kami. Ramai yang terima baik. Yang tak nak terima itu hak mereka,” katanya.

Kempen yang dimulakan sejak 2 Mac 2013 hingga kini meliputi beberapa kawasan dan daerah utama di Johor seperti Kluang, Pontian, Tanjung Piai, Kulai, Johor Bharu, Gelang Patah, Kukup, Pekan Nenas, Benut, Pasir Gudang, Muar dan Simpang Renggam.-Roketkini.com