Berita

PRU-13: DAP bongkar kempen jahat “pihak lawan” gantung sepanduk mengelirukan

SUBANG JAYA, 8 APR: Sepanduk haram iaitu ‘Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bakal jadi Perdana Menteri Malaysia’ dan ‘DAP mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri’, adalah antara yang dipasang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya.

Sepanduk haram yang menimbulkan tanda tanya itu terbongkar apabila sekumpulan petugas PAS berjaya menahan empat pekerja upahan yang sedang melaksanakan tugas suruhan orang atasan mereka.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, sepanduk itu didapati mula dinaikkan pada 6 dan 7 April lalu dan tidak menolak kemungkinan bermotif menimbulkan kekeliruan dan menakut-nakutkan orang ramai.

“Sehingga hari ini, sebanyak 96 tempat dipasang dengan sepanduk seperti itu dan DAP dengan kerjasama PAS dan PKR berjaya menurunkan 50 daripadanya.

“Mengapa BN dan MCA Kelana Jaya terlalu takut kepada bendera kita? Mereka sepatutnya perlu takut kepada kuasa rakyat,” jelasnya pada satu sidang media, hari ini.

Menurut Naib Yang Dipertua PAS Kelana Jaya, Muzammil Hafiz, petugas PAS berjaya menahan pekerja upahan itu ketika mereka berada di pekan Semenyih ketika sedang memasang sepanduk dan satu laporan polis sudah dibuat.

“Apa yang menarik perhatian, mereka berkomunikasi menggunakan bahasa kod tertentu dan saya percaya mereka ini terlatih.

“Kami menerima maklumat bahawa mereka juga beroperasi di sekitar Bandar Tun Razak dan tidak menolak andaian bahawa kempen jahat itu akan dilakukan di seluruh Selangor,” katanya yang juga Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Wong Chen pula berkata, perkara itu perlu diberi perhatian sewajarnya dan tindakan segera perlu diambil oleh semua parti dalam gabungan PR.

Pembantu Khas DUN Bukit Gasing, Kasthuri Patto pula mendedahkan bahawa kawasan itu juga didapati mempunyai kes di mana sepanduk bermesejkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat (PR) menerajui kerajaan dipasang berhampiran gereja.

“Bukan itu sahaja, ada sepanduk lain yang dipasang bermesejkan bahawa DAP memperjuangkan kebebasan beragama dan liberalisme,” ujar beliau.

Tambah beliau, taktik kempen secara tidak beretika dan jahat itu tidak lagi boleh diterima kerana negara sudah matang dan bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

“Ini menunjukkan mereka sangat takut dengan kerjasama utuh parti dalam PR,” kata beliau.-Roketkini.com