Rencana

“Kuala Lumpur sudah sedia balik asal” – Lau Weng San

Susunan: Hafiz Zainuddin

DULU, pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan bertapak di Jalan Duta, Kuala Lumpur dan beberapa kawasan sekitarnya sebelum pampasan RM200 juta diberi untuk mentransformasi Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1974.

Ketika tahun-tahun berakhirnya pemerintahan Tun Mahathir, beliau berjaya memindahkan pusat pentadbiran kerajaan ke Putrajaya, satu lagi kawasan jajahan milik negeri Selangor yang diserah kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan satu lagi Wilayah Persekutuan.

Sekarang, Kuala Lumpur yang menyaksikan pertemuan dua sungai bersejarah ini sudah pun berusia 39 tahun di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri Wilayah Persekutuan.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tunku, Lau Weng San, sudah tiba masa yang terbaik bagi Kerajaan Persekutuan menyerahkan semula pentadbiran Kuala Lumpur kepada Kerajaan Negeri Selangor.

“Pada 1974 Menteri Besar UMNO pada masa itu membuat keputusan untuk menyerah seluruh Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan atas sebab politik dan kononnya kerajaan Persekutuan hendak menaiktaraf  Kuala Lumpur sebagai sebuah “Wilayah Persekutuan”.

“Kuala Lumpur kemudian diletakkan di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diketuai Datuk Bandar Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Weng San, Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan telah banyak memperlihatkan keburukan pentadbiran dalam beberapa perkara sehingga pernah pada suatu ketika DBKL terpaksa diambil alih oleh Pemudah kononnya untuk “merawat” DBKL.

Masalah yang timbul menurut Weng San adalah disebabkan pemusatan kuasa pentadbiran Kuala Lumpur di tangan Datuk Bandar dan Menteri Wilayah Persekutuan.

“Keputusan untuk menyerahkan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan dilakukan secara terburu-buru malah rakyat yang mendiami Kuala Lumpur ketika itu juga tidak diberi peluang menyuarakan pandangan mereka,” jelas beliau.

Kini, Kerajaan Persekutuan telah memiliki Putrajaya sebagai pusat pentadbirannya dengan rekabentuk senibina yang gah dan indah.

“Kuala Lumpur ini boleh kita ibaratkan sebagai darah daging negeri Selangor. Kuala Lumpur banyak merakam peristiwa bersejarah jatuh bangun rakyat di Selangor. Tujuan saya mengulangi seruan ini adalah untuk mengingatkan Kerajaan Persekutuan bahawa mereka tidak boleh terus mendiamkan diri dalam perkara ini.

“Malahan, Kerajaan Persekutuan harus mengakui peranan Kerajaan Selangor di dalam pembangunan Kuala Lumpur yang mesti diberi penghormatan dan pengiktirafan yang sepatutnya,” jelas Weng San lagi.

Bagi kita, Kuala Lumpur adalah permata buat negeri Selangor, inilah tempat yang menyaksikan 1,001 sejarah negara terukir, di sinilah bermulanya pencarian jati diri anak-anak seluruh bangsa dari desa dan kota bertemu dan di sinilah letaknya Kampung Baru, sebuah Kampung Melayu terbesar di ibu kota  yang nasibnya makin tidak menentu direbut tangan-tangan sakti yang boleh menggadaikan segalanya. -Roketkini.com