Berita

Keadaan kesihatan Ustaz Azizan makin stabil

GEORGE TOWN, 20 MEI: Keadaan kesihatan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dilaporkan semakin stabil namun masih belum boleh bercakap dan masih lemah.

Menurut bekas Setiausaha Akhbarnya, Mohd Helmi Khalid dalam satu laporan media semalam, Azizan sudah mula menunjukkan respon yang baik.

“Beliau sudah mengenali orang yang berada di sekelilingnya. Beliau juga masih belum boleh makan dan bergantung kepada ubat diberikan melalui suntikan,” katanya.

Helmi berkata, Azizan dijangka berada di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) sehingga rawatannya selesai.

Kelmarin, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang datang melawat Ustaz Azizan buat kali kedua dan turut menjelaskan berhubung keputusan penting yang perlu dibuat bagi membenarkan pihak hospital melakukan pembedahan terhadap kedua-dua kaki beliau.

“Lawatan Presiden PAS semalam menjelaskan bahawa keputusan pembedahan kedua-dua belah kaki Ustaz Azizan itu diambil demi menyelamatkan nyawanya,” kata bekas Setiausaha Politik Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor.

Sanusi berkata, Tuan Guru Abdul Hadi semalam banyak memberi nasihat kepada mantan Menteri Besar Kedah itu agar tabah dan sabar menerima ujian Allah.

Pada 8 Mei lalu, Azizan dilaporkan koma kerana alah dengan antibiotik untuk menghalang jangkitan virus di bahagian kaki beliau akibat komplikasi diabetes.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Azizan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau apabila menewaskan sepupunya Fazillah Mohd Ali mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,774 undi.-Roketkini.com