Isu Semasa

BN perlihat wajah sebenar seakan Hitler

KUALA LUMPUR, 7 JUN – “Tindakan BN menjadikan keputusan pilihanraya sebagai isu perkauman bukan sahaja tidak bertanggungjawab dan merbahaya malah memperlihatkan wajah sebenar mereka yang sangat cela dengan ideologi perkauman, seperti yang diamalkan oleh pemimpin Nazi Adolf Hitler dan rejim apartheid Afrika Selatan.”

Demikian yang disifatkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berikutan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang mengutuk tindakan jahat Barisan Nasional (BN) yang menyerang parti tersebut tanpa henti lebih sebulan selepas parti kerajaan minoriti itu kalah undi popular dalam PRU ke 13.

Dalam kenyataan medianya hari ini, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang memberitahu bahawa mesyuarat CEC pada 5 Jun lalu memberi fokus kepada serangan tanpa henti oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan penglibatan media kawalan BN terutamanya akhbar New Straits Times dan Utusan Malaysia terhadap DAP.

“Pelbagai penipuan tentang kejanggalan dan pelanggaran undang-undang dalam Kongres Kebangsaan DAP (diwujudkan) demi membina alasan bagi mengharamkan parti DAP.

“CEC DAP secara terang mencela perbuatan jahat BN yang cuba mewujudkan penipuan kononnya tidak ada notis diberikan kepada lebih 700 perwakilan sedangkan sebenarnya notis telah dihantar,” ujar beliau.

Guan Eng mengutuk tindakan pihak-pihak terbabit yang mempergunakan agensi kerajaan dan media yang dikawal kerajaan untuk memburuk-burukkan DAP sebagai sebahagian usaha BN untuk menang dengan taktik kotor dengan mengharamkan DAP selepas mereka kalah teruk dalam pilihan raya umum

“Malah surat siasatan ROS tentang kegagalan menghantar notis pun merujuk hanya 4 cawangan dengan kurang daripada 15 perwakilan, BUKAN lebih 700 perwakilan. Dan 3 daripada 4 cawangan yang dimaksudkan telah pun menghantar perwakilan ke Kongres Kebangsaan DAP pada bulan Disember tahun lalu,” kata beliau memperjelaskan tuduhan media kawalan BN terhadap Kongres Kebangsaan DAP Disember tahun lalu.

Bagi Guan Eng, BN sedang cuba untuk membalas dendam dengan berusaha untuk membatalkan pendaftaran DAP secara tidak sah berdasarkan penipuan tidak berasas dan mendakwa pemimpin PKR, PAS dan DAP dengan dakwaan remeh di mahkamah untuk membatalkan kelayakan wakil rakyat yang sudah dilantik.

Tambah beliau lagi CEC DAP juga menekankan bahawa keputusan PRU ke 13 bukanlah Tsunami CIna tetapi tsunami rakyat bandar Malaysia dari semua kaum terhadap BN.

“DAP bukan sahaja mempunyai wakil rakyat Cina, India dan Melayu tetapi turut menang di kawasan majoriti Melayu seperti di DUN Mentakab dengan komposisi kaum 52% Melayu, 40% Cina, 6% India dan 2% lain-lain; dan juga Parlimen Raub dengan 50% Melayu, 40% Cina, 6% India dan 4% lain-lain,” katanya. – Roketkini.com