Isu Semasa

Tuduhan DAP rasis oleh Mahathir cuba perlekeh kebolehan berfikir Melayu

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu seolah-olah dihina dan dianggap tidak boleh berfikir apabila wujud sekelompok manusia yang mempropagandakan bahawa UMNO yang memperjuangkan “ketuanan Melayu” dianggap tidak perkauman (rasis) tetapi DAP yang berjuang malah terpenjara akibat membela rakyat tanpa mengira kaum dianggap sebuah parti perkauman.

Justeru, DAP menyeru Briged DDD (Briged Pemusnah DAP) yang diketuai bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang beriya-iya mempengaruhi rakyat supaya percaya bahawa DAP adalah parti perkauman perlu belajar semula takrifan perkauman dalam kamus dan bukan secara semberono melakukan tafsiran sendiri.

Membidas dakwaan karut ini, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata tuduhan yang dibuat terhadap DAP adalah tidak masuk akal dan mahu memastikan DAP berkubur sama ada menerusi pembatalan pendaftaran, pemenjaraan atau pun penyingkiran pimpinan parti menerusi Akta Hasutan serta undang-undang drakonian yang lain.

Dalam kenyataannya, Mahathir dipetik media berkata bahawa DAP terbukti sebuah parti perkauman kerana para pengundi Cina mengundi DAP dan jumlah orang Cina yang menyertai perhimpunan-perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat juga tinggi.

Ternyata kenyataan dangkal Mahathir itu membuktikan beliau mentafsirkan ‘perkauman’ atas penafsirannya sendiri kata Pua.

“Barangkali elok jika Dr Mahathir dan Briged DDD membuka kamus dan mencari takrif ‘perkauman’.

“Perkauman dijelaskan dalam Dictionary.com sebagai “sebuah kepercayaan, biasanya melibatkan gagasan bahawa kaum seseorang itu lebih unggul dan mempunyai hak untuk memerintah orang lain” atau “suatu dasar, sistem kerajaan, dan sebagainya yang berasaskan atau mengukuhkan doktrin sedemikian; pilih bulu”, jelasnya.

Menurut Pua, tuduhan lain Mahathir yang berkata DAP menyebarkan propaganda mempengaruhi golongan Melayu berpendidikan supaya melihat kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai korup seolah-olah menghina golongan itu dalam membuat penilaian.

“Ia memang mengarut sama sekali. Bagaimana pula penafsiran perkauman Mahathir sewaktu orang Melayu ketika itu banyak memberi undi kepada UMNO? Adakah ia dianggap perkauman?

“Bagaimana pula pandangannya apabila ada satu kumpulan yang 100 peratus anggotanya orang Melayu mengadakan protes mingguan menentang kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang dan mengapa ia tidak dianggap sebagai “perkauman”?

“Begitu juga ketika orang Cina mengundi MCA, ia juga tidak dianggap sebagai perkauman. Bagaimana pula dengan kaum Cina yang beramai-ramai mengundi PAS dan PKR dalam pilihan raya baru-baru ini yang tidak pula dituduh perkauman?,” soalnya.

Akan tetapi kata Pua, bila mana orang Cina turut memberikan sokongan padu terhadap DAP, ia telah dianggap sebagai bukti sifat “perkauman” DAP.

“Logik nyanyuk apakah ini?” soal Pua lagi.

Semua dakwaan negatif yang dilemparkan ke atas DAP ini tambah Pua semata-mata dibuat kerana DAP menyokong doktrin “ketuanan rakyat” dan menentang doktrin ketuanan kaum.

“Sebab itu UMNO kini meletakkan DAP sebagai musuh terbesar mereka bagi memastikan mereka dapat meneruskan dasar-dasar perkauman mereka. Serangan terus-menerus oleh Briged DDD yang diketuai Mahathir dengan dana ratusan juta ringgit menyebabkan DAP terpaksa berdepan dengan pertempuran terbesar dalam sejarah politiknya,” jelas beliau.

Mengakhiri kenyataannya, Pua menegaskan bahawa pemimpin DAP berpegang kepada prinsip tidak gentar dan siap-siaga untuk menanggung apa sahaja tindakan zalim rejim UMNO dan BN.

“Ia tidak lain bagi memastikan generasi masa depan Malaysia tidak akan perlu terperangkap dalam kerangka perkauman yang sedang mengepung kita hari ini,” ujar Pua.-Roketkini.com