Isu Semasa

DAP terkejut Speaker ugut boikot majlis angkat sumpah Ahli Parlimen PR

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP amat terkejut dengan ugutan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang bakal mengakhiri mandatnya, untuk memboikot majlis angkat sumpah Ahli Parlimen Pakatan Rakyat supaya mereka hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan mengakibatkan pilihan raya kecil.

Katanya, mengikut Perkara 59(2) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana wakil rakyat yang gagal mengangkat sumpah dalam masa enam bulan akan hilang kelayakan secara automatik dan kerusi mereka akan dikosongkan.

Menurutnya, peranan Speaker Dewan Rakyat adalah untuk menguruskan hal ehwal Parlimen tanpa berpihak dan tidak sepatutnya Pandikar Amin masuk campur dalam hal ehwal politik.

“Sangat tidak sesuai bagi seorang Speaker dan beliau tidak ada hak untuk memboikot mana-mana Ahli Parlimen atau dengan sengaja menyebabkan seseorang hilang kelayakan dengan memboikot atau enggan menerima angkat sumpah.

“Saya harap ini hanya gurauan Tan Sri Pandikar, jika tidak pasti timbul kesangsian yang amat serius terhadap niat dan sikap tidak berpihak apabila beliau mempengerusikan sidang Parlimen nanti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, 38 Ahli Parlimen DAP tidak akan memboikot majlis angkat sumpah Dewan Rakyat pada 24 Jun ini atau persidangan Parlimen, tetapi tetap akan menggunakan proses legislatif untuk mendesak reformasi pilihan raya, terutama dalam hal mematuhi prinsip demokratik ‘satu orang, satu undi, satu nilai’.

Menurut beliau, memboikot majlis angkat sumpah Ahli Parlimen tidak akan dilihat sebagai perbuatan simbolik atau langkah berani untuk memprotes keputusan pilihan raya yang dirompak apabila Pakatan Rakyat mampu menyatakan pendirian secara lebih berkesan melalui perhimpunan aman di seluruh negara.

Katanya, bagi mereka yang melakukan penipuan pilihan raya, mereka tidak akan terkesan dengan perbuatan memboikot majlis angkat sumpah itu sahaja, berbanding kesan daripada suara sebenar pergerakan rakyat.

“DAP akan menggunakan pendekatan tiga serangkai untuk mendesak reformasi pilihan raya yang adil dan bersih serta persempadanan kawasan secara adil demi menghormati prinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai:

1.   Proses undang-undang untuk mencabar kerusi yang dimenangi oleh BN melalui penipuan, beli undi dan manipulasi daftar pemilih dengan kehadiran pengundi hantu dan pengundi ‘Bangla’ yang bukan warganegara di Mahkamah;

2.  Proses politik untuk mendesak reformasi pilihan raya di dewan legislatif, kempen awam dan forum antarabangsa.

3.   Proses rakyat dengan melakukan pergerakan kempen massa, hanya apabila perlu untuk menuntut pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

“Tidak ada yang lebih jelas ketidakadilan sistem pilihan raya seperti kemenangan BN di Putrajaya dengan hanya 16,000 pengundi berbanding Kapar yang mempunyai 150,000 pengundi yang dimenangi Pakatan Rakyat.

“Ini diikuti kekalahan Pakatan Rakyat pada PRU walaupun menang majoriti 51% undi popular sementara BN menang 60% kerusi Parlimen pada hal hanya memenangi minoriti undi popular sebanyak 47%.

“Jelas bahawa BN adalah sebuah kerajaan minoriti dengan Kabinet minoriti yang kehilangan kedua-dua kesahihan moral dan politik untuk menjadi kerajaan yang dilantik secara demokratik di Malaysia,” ujarnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mengakui bahawa ini adalah pilihan raya paling tidak adil dan kotor dalam sejarah apabila dakwat kekal yang dijanjikan kekal sekurang-kurangnya tiga hari tetapi boleh dibasuh bersih serta-merta.

Katanya, ahlii SPR mesti meletakkan jawatan memandangkan mereka tidak boleh diharap untuk melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya secara adil dan saksama.-Roketkini.com