Rencana

Ideologi, di mana PAS? Oleh Edry Faizal Eddy Yusof

Telah berlangsung baru-baru ini satu forum dengan tajuk “Islam, Sosialis, Liberal: PAS di mana?” menampilkan para pemikir dari beberapa buah parti politik sebagai panelis. Seorang teman yang turut hadir sempat berseloroh, bertanya mengapa para panelis dari pelbagai parti politik tanah air dijemput untuk mencari jawapan di mana kedudukan parti politik yang satu lagi.

Sudah tentu di sebalik tajuk itu ada kaitannya dengan insiden-insiden yang berlaku sebelum pilihan raya umum. Salah faham berkaitan kerusi, kemudian terjerumus menjadi pergeseran tentang ideologi. Apakah forum itu mahu merungkai pendirian dan ideologi beberapa parti politik di Malaysia atau membuka ruang menilai ideologi dan pendirian PAS? Pasti itu antara tanda tanya yang menyebabkan dewan penuh pada malam itu.

Panelis forum malam itu terdiri daripada Khalid Jaafar, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR; Dr Nasir Hashim, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM); Hishamuddin Rais, wira bicara yang sering memperkenalkan diri sebagai non-governmental individual, Al-Mustaqeem Rodhi, Setiausaha Perhubungan Pejabat Parlimen DAP dan Dr Mujahid Yusof Rawa, AJK PAS Pusat.

Khalid membuka gelanggang dengan mengingati “end of ideology” Daniel Bell dan tesis Francis Fukyama tentang “end of history”, yakni demokrasi liberal adalah penghujung kepada evolusi ideologi manusia. Bagi Khalid, pada akhirnya demokrasi liberal merupakan bentuk kerajaan yang akan meliputi seluruh dunia. Sudah tentu bertentangan dengan ramalan Karl Marx bahawa pertembungan dalam sejarah akan berakhir dengan komunisme menggantikan kapitalisme.

Membawa contoh semasa, Khalid mengatakan bahawa semua parti yang demokratik di dunia sekarang adalah mesra pasaran. Tanpa menafikan wujud kelompok yang masih memperjuangkan ideologi kiri – sosialisme atau komunisme – beliau melihat kelompok itu sebagai tidak signifikan. Mungkin itu juga isyarat tersembunyi yang dilontarkannya bahawa PAS sendiri tidak dapat lari daripada menjadi mesra pasaran. Melainkan PAS mahu melihat “end of PAS”.

Dr Nasir, yang gagal mempertahankan kerusi DUN Kota Damansara yang dimenanginya pada PRU 2008 kerana telah dicabar oleh calon PAS pada bulan Mei lalu sehingga menyebabkan BN merampas semula kerusi itu, tidak setuju dengan gagasan Fukuyama yang dibawa Khalid. Namun tidak pasti sama ada beliau mahu meraikan PAS atau cuba mendakwah PAS kepada sosialisme kerana pemimpin PSM tersebut mempertahankan sosialisme dengan hujah al-Qur’an!

Memetik ayat kelima dari surah al-Qasas, “Dan Kami hendak memberi karunia kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)”, Dr Nasir menjelaskan dalam al-Qur’an sendiri telah menyebut tentang dialektik, perjuangan kelas yang berakhir dengan mereka yang tertindas (kaum miskin) memerintah dunia.

Beliau seolah menjawab Khalid yang sebelum itu memetik tentang hisbah dari Ibn Taimiyyah dan mafhum hadis bahawa hanya Tuhan menentukan harga bagi menjustifikasi kewujudan pasaran bebas atau kapitalisme.

Tanpa membawa hujah Quran, hadis atau nas-nas agama, Hishamuddin Rais melibaskan kata-kata bahawa pertembungan ideologi dan politik tidak melibatkan agama.

Menurut beliau agama adalah keyakinan (iman) di mana daerah rasional bukan padang permainan untuk keimanan. Ideologi adalah hasil akal rasional dan sentiasa boleh diperdebat dan dipersoal. Berbeza dengan iman, sekiranya Tuhan menyuruh sembahyang lima waktu mana boleh ditanya mengapa tidak dua waktu. Perkara itu harus terus diimani, kata Hishamuddin.

Seorang kapitalis boleh saja seorang Muslim, Kristian atau Majusi; begitu juga seorang sosialis boleh saja seorang Muslim, Kristian atau Majusi. Namun ideologi yang membezakan corak dan cara hidup serta amalan duniawi mereka. Bagi beliau, hanya Marx yang berjaya menjelaskan kepada beliau kekayaan itu datang dari mana, yakni lebihan ekonomi yang dihasilkan kaum buruh.

Mustaqeem mengambil pendekatan berbeza, dengan mempersoalkan tajuk forum itu sendiri. “Apakah mahu bicara tentang PAS atau membicarakan (menghakimi) PAS?” Beliau menceritakan persepsi dan pengalaman beliau berkenalan, berkawan, bersahabat dengan PAS, lalu menyatakan mustahil sesiapa dapat memahami PAS dengan tepat hanya melalui pembacaan.

PAS itu sendiri dilihat sebuah parti yang dinamik seperti mana parti-parti politik lain. Boleh dikatakan setiap parti politik itu belum lagi mendapat bentuk akhir, sentiasa terbuka dan berinteraksi dengan keadaan semasa. Maka yang penting sekali bukanlah di mana PAS tetapi ke mana?

Segala perhatian tentu sekali akhirnya dipusatkan kepada Dr Mujahid selaku wakil dari PAS. Dr Mujahid kekal mengambil pendirian kebiasaan pejuang dari gerakan Islam, bahawa dalam pertembungan antara ideologi-ideologi, PAS mengambil jalan pertengahan antara keduanya. Tidak memusuhi kekayaan namun tidak lupa membantu mereka yang miskin. Rasanya hampir setiap parti politik yang berkuasa/mahukan kuasa akan memilih jalan pertengahan.

Jadi apa yang membezakan mereka dengan PAS? Seperti kebanyakan gerakan Islam, tentu sekali agama Islam yang menjadi rujukan, sandaran dan motivasi gerakan mereka. Mengingatkan kepada tulisan lama seorang pemerhati politik Islam, Dr Maszlee Malik, ia menyebut bahawa “homo-Islamicus” (manusia Islam) itu secara semulajadinya warga politik. Ini kerana penganut ajaran Islam mempunyai misi keadilan, keamanan dan melakukan pembaikan. Namun Islam yang dijadikan sandaran itu pula dalam bentuk tafsiran yang bagaimana?

Sungguhpun Dr Mujahid menggambarkan seorang ahli PAS dengan pemikiran pertengahan dan demokratik, dan sikap itu dikatakan datang daripada tafsiran Islam yang paling jernih, timbul pula persoalan tentang bagaimana dengan mereka yang turut menjadikan Islam rujukan namun memiliki tafsiran berbeza, malah turut merasakan tafsiran mereka itu paling jernih?

Maka ada betulnya kata salah seorang panelis bahawa pertembungan idea itu jangan dilihat cuma wujud di antara parti-parti politik. Malah pertembungan dalaman itu juga wujud di dalam setiap parti politik. Apakah pertembungan ini mahu dilihat dalam bentuk lurus persis Fukuyama yang melihat ada penghujungnya, atau mahu pesimis seperti Ibn Khaldun yang melihat sejarah itu satu putaran?

Menolak realiti semata-mata kerana andaian kononnya sudah berakhir “sejarah” tidak memberi apa-apa makna. Seolah sama sikapnya dengan menolak “pasaran” kerana ia dianggap bertentangan dengan ideologi. Memang satu forum tidak menyelesaikan apa-apa namun perlu diteruskan dalam apa jua bentuk untuk menghuraikan dengan lebih lanjut lagi.

Sekalung penghargaan buat Free Public Forum Malaysia atas kesudian anjuran forum tersebut. – Roketkini.com