Berita

Exco DAP Negeri Selangor diarah isytihar harta

PETALING JAYA, 9 JULAI: DAP mengarahkan tiga Ahli Exco negeri dan Speaker Dewan Negeri Selangor daripada parti itu mengisytiharkan harta bagi memenuhi komitmennya terhadap ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Tiga Ahli Exco DAP terbabit adalah Teng Chang Khim (Adun Sungai Pinang), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan) dan Ganabathirau a/l Veraman (Kota Alam Shah) manakala Hannah Yeoh (Subang Jaya).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini menjelaskan bahawa DAP telah membuat komitmen ketika pilihan raya umum lalu untuk mengisytiharkan harta Ketua Menteri dan Ahli Exco negeri.

“DAP mesti mematuhi piawaian minimum integriti ini dan tidak akan merendahkan standard berkenaan,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kenyataan itu adalah berikutan pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam bahawa beliau tidak akan mengarahkan Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor untuk mengisytiharkan harta yang diperoleh sebelum dilantik atas faktor keselamatan Ahli Exco serta ahli keluarga mereka.

“DAP dengan penuh hormat tidak bersetuju dengan pendapat Abdul Khalid kerana ini alasan yang diberi Barisan Nasional (BN) apabila enggan mengisytiharkan harta mereka,” kata Guan Eng.

“Meskipun tidak bersetuju dengan Abdul Khalid, DAP tidak akan memaksa pendapatnya ke atas Kerajaan Negeri Selangor.

“Apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang menjadi kerajaan negeri pertama di Malaysia yang mengisytiharkan harta Ketua Menteri serta semua Ahli Exco negeri, tidak ada mana-mana Ahli Exco atau ahli keluarga mereka diancam keselamatannya,” tambah beliau lagi.

Menurutnya lagi, pengisytiharan harta sebelum dilantik Ahli Exco adalah penting demi menunjukkan bahawa tidak wujud pertembungan kepentingan atau salah guna kuasa apabila keputusan dibuat Ahli Exco atau Ketua Menteri dengan mengambil contoh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

“Janji pilihan raya ini mesti ditunaikan dengan mengarahkan Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor dan Speaker Dewan Negeri Selangor daripada DAP supaya mengisytiharkan harta mereka secara terbuka,” kata Guan Eng. – Roketkini.com