Berita

Sokongan Abdul Rahman terhadap Ibrahim Ali, bukti slogan 1Malaysia palsu

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Tindakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan mempertahankan seruan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali untuk membakar kitab bible membuktikan slogan 1Malaysia tidak pernah wujud dalam Barisan Nasional (BN) tapi hanya ‘1Kaum dan 1Agama’.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, kenyataan Abdul Rahman yang mempertahankan tindakan Ibrahim itu adalah untuk memperbetulkan kesilapan mencetak Bible dan tidak salah untuk membakarnya.

“Tidak ada rakyat Malaysia yang akan percaya kata-kata berapi dan penuh emosi Ibrahim itu hanya sekadar ‘membetulkan kesilapan cetak Bible’.

“Tindakan Abdul Rahman adalah perilaku yang jelas menghasut supaya orang Melayu dan umat Islam dalam negara membakar kitab suci Kristian kerana ianya ‘tidak salah’.

“Ini adalah penghinaan kepada penganut agama lain dan tentu ia tidak boleh diterima dan  beliau sepatutnya dikenakan hukuman sewajarnya, namun pihak berkuasa langsung tidak mengambil sebarang langkah,” katanya.

Pua yang juga Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara menyifatkan tindakan pihak berkuasa dan kerajaan membiarkan Ibrahim membuat kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan antara agama sebagai berat sebelah dan tidak adil.

“Kita lihat dalam kes blogger, Alvin Tan dan Vivian Lee, hukuman terlebih dulu dijatuhkan sebelum mereka diberi peluang membela diri. Mereka juga dinafikan ikat jamin atas alasan ‘kedua-duanya mempunyai kecenderungan untuk memuat naik gambar yang boleh menimbulkan kemarahan orang ramai’.

“Sikap ‘double-standard’ dalam sistem pendakwaan Malaysia ini membuktikan kepura-puraan slogan 1Malaysia yang diucapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.  Ibrahim yang membuat hasutan secara terbuka dibiarkan lepas bebas dan malah dipertahankan Menteri UMNO sedangkan Alvin Tan dan Vivian Lee terus dihukum tanpa diberi peluang langsung.

“Ia juga satu penghinaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa semua rakyat Malaysia adalah sama di sisi undang-undang,” tegasnya.-Roketkini.com